2013-07-05

KARAMAH - KESINAMBUNGAN CURAHAN IDEA WAN AS-SAHAR


Pengunduran diri Wan As-Sahar ataupun lebih dikenali sebagai One Barchiel daripada As-Sahar pada Mei 2012 sedikit sebanyak telah mengejutkan sebilangan besar fans band tersebut. Mana tidaknya, band ekstrim Metal yang telah mula mengeluarkan demo tape pada 1993 itu mempunyai fan-base yang agak besar di Malaysia ini berbekalkan diskografi 6 album penuh, satu album live, satu split-album serta 3 EP dalam jarak masa 1993-2011. Masih banyak spekulasi mengenai sebab utama Wan As-Sahar meninggalkan As-Sahar. Terdapat juga desas-desus mengenai politik dalaman band tersebut di mana Wan As-Sahar bertindak keluar kerana di kalangan anggota band tersebut ada yang berpakat mahu menyingkir beliau kerana keengganan beliau bermain live. Wallahu’alam. Hasil risikan EKSTRIM, ternyata fans As-Sahar masih merindui penampilan Wan As-Sahar dalam As-Sahar. Majoriti dari mereka akui bahawa Wan As-Saharlah orang utama ataupun mastermind di sebalik komposisi muzik As-Sahar selama ini.


Yang pasti, kini Wan As-Sahar kembali dalam arena underground muzik kita bersama band baru beliau KARAMAH. KARAMAH telah mengeluarkan mini-album mereka “Huraisy” sejak Mei lalu dan bernaung di bawah label Mariners Music dari Singapura. Hanya setahun setelah meninggalkan As-Sahar, Wan As-Sahar yang telah memainkan hampir kesemua alat muzik kecuali dram telah meledakkan sesuatu yang amat unik, berkualiti tinggi dan menggemparkan melalui KARAMAH. Gempar ke arah yang positif. KARAMAH dilihat sebagai kesinambungan karya-karya Wan As-Sahar sebelum beliau meninggalkan As-Sahar di mana beberapa album As-Sahar sejak 2001 terdapat banyak unsur-unsur keagamaan, ketuhanan dan kerohanian. Dengan konsep lirikal Islamiah menyentuh isu perjuangan Palestin dan juga alam akhirat, KARAMAH boleh dilabel sebagai white-metal. Satu genre yang Wan As-Sahar sendiri tidak menafikannya. Lagu seperti “Huraisy” umpamanya mengisahkan tentang azab, siksa neraka dan menggambarkan suasana di Padang Masyhar nanti, dapat meningkatkan kesedaran warga Metal amnya di Malaysia ini yang majoriti beragamakan Islam. 

Dari segi muzikal, lenggok muzik KARAMAH tidak lari jauh dari apa yang Wan As-Sahar telah hasilkan bagi band beliau yang terdahulu. Metal yang ekstrim, kaya dengan riff-riff yang melodik dan dimainkan pada tempo sederhana. Sesekali sahaja ianya mencapai tahap blast, namun elemen ambient iaitu lapisan keyboard memainkan peranan utama dalam menghidupkan lagu-lagu yang ada. 

Rakaman semula lagu As-Sahar yang amat diminati ramai iaitu “Tinggam” merupakan satu bonus buat mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan seni Wan As-Sahar. “Tinggam v.k.2013” adalah lebih garing, lebih heavy. Terdapat hanya pertambahan minimal dari versi asal, misalannya solo gitar yang asalnya akustik diganti dengan solo gitar distortion. Pada penghujung lagu tersebut juga kedengaran solo gitar ala-ala Jawa yang dimainkan Wan As-Sahar. Keseluruhan, originaliti lagu tersebut tetap terpelihara.

Lain-lain lagu yang terdapat dalam mini-album “Huraisy” ini adalah “Sehitam Saduranmu” dan “Yang Dilaknati”. Berada di posisi dram bagi KARAMAH pula adalah Hamza Hellbasher, juga merupakan pemain drums bagi kumpulan Margyyah dan bekas pemain drums Sadiztik Impaler.


Berita yang EKSTRIM terima, penjualan mini-album “Huraisy” yang dihadkan kepada 500 sahaja telah langsai dalam masa sebulan sahaja dari tarikh ianya diedarkan. Mungkin masih ada cara lain bagi mendapatkan album “Huraisy” ini melalui lain-lain pengedar individu. Bagi maklumat lanjut, bolehlah bertanya terus kepada Wan As-Sahar melalui inbox (FB): www.facebook.com/wan.assahar

Mungkin Wan As-Sahar kini tampil bersama band baru beliau, namun bagi ramai pendengar pastinya mereka akan akui KARAMAH adalah As-Sahar, hanya nama band sahaja yang berbeza. Hakikatnya mastermind di sebalik muzik As-Sahar selama ini, kini mencurahkan idea-idea muzikal beliau di dalam KARAMAH.

4 ulasan:

  1. Secara peribadi aku rasakan yang Wan taknak perform live dengan As Sahar disebabkan isu dia memanggil fan 'anjing' dalam Facebook tak lama dulu..Justeru ada yang menggugut utk bertindak terhadap beliau bla bla bla bla.....

    BalasPadam
  2. hehe xkan sbb tu dia keluar as sahar..pada aku senang ja, wan lebih selesa dgn lirikal yg lebih spiritual spt unsur2 kerohanian, tp ahli as sahar byk cuba masuk elemen evil aka elemen yg trlalu gelap dan lirikal ekstrim yg x sesuai dgn jati diri wan.

    BalasPadam
  3. Wan keluar sbb hal komitmen... Dgn Karamah dia boleh wat kerja own timing punya. Dia takde masa utk gigs... Dia kerja kat Singapore, ujung minggu ajer baru balik ke JB jumpa femeli. Hal femeli diutamakan.. Gigs menjadi hal ke 9-10 dlm priority hidup dia

    BalasPadam
  4. pada pendapat aku wan kuar as sahar sebab tak bengam dgn malik.. malik nak bawa as sahar kearah muzik yg lebih extrim dan wan pula nak as sahar mcm karamah ni hahahaha

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...