2013-06-20

MALAYANEUM: PERINTIS METAL MALAYSIA - RATOR 1987-1993

NOTA EKSTRIM: Penulisan ini diambil dari laman MALAYANEUM, sebuah portal Muzik Metal/Rock Malaysia yang mana kali terakhir dikemaskini pada Ahad Julai 16, 2006. Rencana menarik ini adalah sebuah penceritaan mengenai RATOR, salah sebuah band Metal Underground terawal di negara ini malah penulis asal (tidak diketahui namanya) mengangkat RATOR sebagai “Perintis Metal Malaysia”. Pengkisahan ini adalah berkaitan RATOR dan sedikit sebanyak menyentuh gerakan underground tempatan bagi tempoh 1987-1993. EKSTRIM menyiarkan kembali artikel ini bagi tujuan perkongsian dan penyampaian maklumat. Baca dan komen jika perlu!!!


Rator adalah sebuah kumpulan underground yang cukup aktif dalam pergerakan underground di awal 80an. Kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1987 oleh empat orang pemuda di Selangor yang dahagakan muzik Thrash Metal! Anggota asal kumpulan ini ialah Shah Jahan [vokal], Roslee Hasan [gitar], Ogy [bass], dan Hamid [dram]. Mereka bermula ketika mereka berempat masih lagi di sekolah menengah. Di peringkat awal Rator membawakan lagu-lagu cover dari SYJ, Venom, Bathory, Sodom dan Celtic Frost.

Di awal 1988 apabila mereka meninggalkan alam persekolahan, kumpulan ini menjadi lebih aktif dan berlatih bersama-sama kumpulan underground veteran yang lain seperti Punisher dan Nemesis. Rator berkongsi tempat latihan yang sama iaitu di Hellion, Medan Mara. Mereka cuma menggunakan apa yang terdaya untuk mereka untuk bermain muzik. Mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menggerakkan Rator. Rator pada waktu itu sama juga seperti juga kebanyakan kumpulan Thrash Metal tempatan yang lain seperti Nemesis, Punisher, Slapdeath, Merciless Death dan lain-lain lagi yang memainkan lagu cover sahaja. Peninggalan Ogy sebagai bassis telah diambil alih oleh Shah Jahan dan posisinya berperanan sebagai bassis/vokal. Pengunduran Ogy kemudiannya telah menubuhkan Voices bersama Bart Rulshah [Bart Rulshah kemudiannya menubuhkan Carburetor Dung dan Tormentor]. Voices kemudiannya bersama-sama Picagari [sebuah lagi kumpulan lagenda dalam arena underground tempatan] mengadakan konsert di Sungai Wang pada lewat 80an. Selepas itu Voices berpecah... 

Seterusnya di tahun 1989, Hamid pula mengundurkan diri dan tempatnya digantikan oleh Lee Space yang merupakan bekas pemain dram kumpulan Thrash Metal, Exorcist. Malangnya, tidak lama selepas itu Lee Space pula memutuskan untuk meninggalkan Rator. Roslee Hasan selaku gitaris pada waktu itu mula memperkotakan janjinya untuk bermain di posisi dram. Oleh itu Rator ditunjangi oleh Shah Jahan [vokal/bass] dan Roslee Hasan [gitar/dram]. 

Ketibaan tahun 1989, Rator semakin mengganas dengan aktiviti mereka. Mula bermain di gig dengan rancaknya. Gig pertama mereka ialah di Galactica Club bersama-sama Black Fire, Necrofist dan beberapa kumpulan Thrash Metal yang lain. Bermula dengan titik permulaan ini, Rator mula bermain di Expo Taman Dato` Harun, Fun Fair di Serdang dan kelab-kelab seperti Metallica Lounge, Paradise Club, Semua House Rock Roller serta pertandingan-pertandingan slow rock yang sengaja dimasuki. Pertandingan tersebut mempertandingkan kumpulan rock tempatan yang mendendangkan lagu-lagu rock bertema cinta. Lagu-lagu yang diwajibkan untuk pertandingan tersebut ialah lagu-lagu dari Wings, Search, dan M.A.Y. Ini bertentangan sekali dengan imej dan muzik yang Rator mainkan! Rator langsung tidak membawakan lagu-lagu seperti yang diwajibkan sebaliknya 'memperkosa' kemurnian majlis tersebut dengan membawakan lagu-lagu Thrash Metal yang mereka gilai seperti dari Slayer, Sarcofago, Sodom dan bermacam lagi. 'Pencabulan kejam' yang mereka lakukan telah mengakibatkan semua orang terperanjat dengan persembahan dan muzik yang Rator bawakan. Rator tidak akan sekali-kali membawakan lagu cinta seperti yang disyaratkan kerana inilah antara usaha mereka untuk mempopulasikan irama Thrash Metal, di mana ketika itu irama muzik rock tanahair sedang tenat dengan lagu-lagu yang meleleh-leleh. 

Dari satu pertandingan ke satu pertandingan mereka cerobohi dan mereka pernah dihalau di dalam sebuah pertandingan disebabkan imej dan muzik mereka. Peminat dan penggiat muzik rock pada masa itu tidak dapat menerima bentuk muzik yang Rator bawakan. Rator pernah dicemuh pada ketika itu tetapi semua itu bukan penghalang bagi mereka. Setiap gig yang dimainkan oleh Rator akan menggunakan khidmat Lee Space untuk 'membanting' lagu-lagu yang dibawakan. Di era 80 an Rator pernah berakdi bersama lagenda underground tempatan seperti FTG, Nemesis [bekas kumpulan Aru Koffin Kanser], Silent Death. Punisher, Hijrah [kini The Pilgrims], Picagari, Slapdeath, Necrofist dan beberapa perintis lain. 

Rator merakamkan demo pertama mereka yang berjudul 'Evil Symphony' di tahun 1989 dan dirakamkan di studio Hellion, Medan Mara. Empat lagu dirakamkan 'Antichrist War', 'Death Metal Warrior', 'Spell from Fire' dan 'On Sin' yang dilagukan berbentuk Brutal Death Metal, atau lebih tepat lagu kalau dikelaskan sebagai Old School Death Metal!

Lagu mereka dipengaruhi oleh Sodom, Sarcofago, Venom, Bathory, Slayer dan Celtic Frost. Imej pula dengan pengaruh spikes, muka diconteng, rantai dan jaket kulit menjejaki imej kumpulan Sarcofago serta penampilan seperti imej lama Venom, Sodom dan Celtic Frost serta kumpulan lagenda Brazil seperti Mutilator, Sextrash dan Vulcano amat ketara! Dengan kelahiran demo ini, Rator menggugat muzik metal tanahair yang satu ketika dulu dihimpuni oleh lagu-lagu Slow Rock. 'Evil Symphony' juga menjadi pembakar semangat kumpulan underground yang wujud ketika itu seperti Black Fire, Silent Death, Picagari, Sil Khannaz dan ini telah 'menjangkitkan' pejuang-pejuang veteran seperti Sil Khannaz, Hijrah dan Brain Dead untuk menghasilkan demo. 

Demo 'Evil Symphony' dirakamkan dengan line up Shah Jahan [bass/vokal], Roslee Hasan [gitar/dram] yang ada ketika itu bermain dram untuk beberapa lagu. Mereka telah dibantu oleh beberapa anggota FTG. Bassist FTG iaitu Mie bertanggungjawab menerbitkan demo ini. Demo tersebut dirakamkan dalam keadaan yang tergesa-gesa dan mereka tidak sempat berlatih dengan secukupnya untuk persediaan demo ini. Sound untuk demo tersebut kurang bermutu tetapi ini bukanlah satu batu penghalang buat mereka malah batu loncatan untuk Rator disanjungi di seluruh dunia.

Hanya berbekalkan demo 'Evil Symphony' Rator mula memporak-perandakan pergerakan underground di seluruh dunia pada lewat 80an. Ulasan, temuramah dan cerita mengenai Rator tersiar dalam majalah-majalah primitif underground yang terkenal seperti Master of Brutality [Holland], Morbid [Sweden], Mutilation [Jepun], Slimy Sucker [Sweden], Mutilador [Mexico], Slayer [Norway] dan banyak lagi. 

Selain itu Rator banyak menyertai kompilasi kaset di seluruh dunia dan bermula dengan pergerakan inilah banyak media-media barat mula membuka mata mereka terhadap Malaysia, di mana sebelum ini kumpulan-kumpulan underground death metal dari Singapura seperti Nuctemeron, Abhorer, Dread telah memedihkan pandangan pihak barat lantas memaksa mereka membuka mata terhadap kumpulan-kumpulan di Singapura melalui demo-demo mereka. Persamaan stail muzik antara Rator dan Abhorer tidak dapat digusarkan. Jika Abhorer ialah jawapan terhadap pergerakan scene underground di Singapura, Rator pula adalah jawapan untuk Malaysia!! 

Kebanyakan orang-orang barat yang mengkagumi Rator menasihatkan mereka supaya merakamkan sesuatu yang lebih berkualiti untuk mereka bergerak dengan lebih kejam lagi. Demo 'Evil Symphony' juga disanjung oleh kumpulan-kumpulan black metal dunia yang cukup terkenal pada hari ini seperti Rotting Christ dan Beherit! Apa yang menariknya mereka menyatakan yang Rator adalah salah satu sumber inspirasi mereka.

Kesadisan Rator juga telah membuatkan pemilik Spine Farm Records dari Finland untuk menawarkan 7"Ep buat peringkat permulaan tetapi atas dasar-dasar tertentu kontrak itu dibiarkan begitu saja. Selain Spine Farm Records, Rator juga pernah ditawarkan oleh syarikat rakaman lain. Cengkaman Rator diperkukuhkan lagi dengan adanya pengikut-pengikutnya yang tersendiri. Mereka menubuhkan kelab peminat bernama 'Army of Fans'. Pengikut-pengikut Rator sangat ditakuti oleh peminat-peminat lagu Slow Rock kerana penampilan mereka seperti juga Rator, mengenakan warna hitam di muka, rambut yang bergerbang dan memakai baju-baju yang tertera nama Rator! Mereka memberikan sokongan yang tiada retak kepada Rator. Di ketika itu juga semua aktiviti dan surat menyurat diuruskan oleh Abd Aziz, editor majalah Vortex From the East 'zine dan juga merupakan vokalis untuk kumpulan death metal, Necrofist! Abd Aziz adalah orang yang bertanggungjawap mewarnai nama Rator. Kebencian terhadap Rator bukan sahaja datang dari kumpulan-kumpulan Rock, ada di antara peminat muzik Thrash Metal pada ketika itu yang merasa janggal dan kurang senang dengan penampilan Rator yang agresif! Ada yang pernah bertelingkah dan 'berperang lidah' dengan Rator dan pengikut-pengikutnya. 

Dekad baru memulakan sesinya, permulaan tahun 1990 Rator masih rancak dan aktif dalam pergerakan underground tempatan. Di sebalik keaktifan mereka, Rator sering dilanda masalah peribadi yang tidak pernah kesudahan. Akhirnya pergeseran masalah-masalah yang ditimbulkan tidak dapat dielakkan lagi, lantas Rator berpecah pada lewat tahun 1990 meninggalkan satu takuk sejarah underground di Malaysia sampai bila-bila. Rator berpecah tetapi nama mereka tidak berkubur begitu sahaja. 

Dengan perpecahan Rator, kumpulan-kumpulan tempatan yang lain bangkit dengan segarnya mencipta nama seperti FTG, Sil Khannaz, Silent Death, Suffocation dan banyak lagi. Bekas anggota-anggota Rator seperti Ogy telah menubuhkan Carburetor Dung pada tahun 1990 bersama Bart Rulshah [Tormentor], Che Mat [Silent Death] dan CD Khanzab [Sil Khannaz]. Kemudian kumpulan ini berpecah dan Ogy menubuhkan sebuah kumpulan Grindcore/Death Metal bergelar Mutilation! Mutilation menghasilkan demo mereka pada tahun 1991 bertajuk 'Massacre On Bodies'! 

Pemain dram Rator pula selepas berkhidmat dengan Exorcist/Rator terus menjadi pemain deram untuk demo pertama Sil Khannas [sekarang Sil Khannaz] 'Doctrine to Hell' pada tahun 1990. Sil Khannas merupakan kumpulan kedua selepas Rator yang merakam demo di studio Hellion. Selepas 'menggasak' untuk demo pertama Sil Khannas, Lee Space kemudiannya menganggotai kumpulan rock sensasi dan glamor iaitu XPDC. Penyertaan Lee Space ke dalam XPDC menimbulkan rasa tidak puas hati pengikut-pengikut underground dan seterusnya dicemuh kerana merempuh ke arena mainstream! Lee Space bersama XPDC hanya buat sementara waktu sahaja. Kejanggalan Lee Space bersama XPDC dapat diperhatikan dalam gambar-gambar XPDC ketika itu. Lee Space berimejkan seorang pemuzik Thrash Metal, manakala semua anggota XPDC berimejkan glam rock. Kesemua anggota-anggota XPDC 'hairan bin ajaib' dan terpinga-pinga dengan corak permainan Lee Space yang sangat' kejam' mengendalikan pukulan dram. Mungkin disebabkan muzik yang Lee Space mainkan terlalu ganas buat mereka pada ketika itu merupakan sebuah kumpulan glam rock yang sedang meningkat naik. Bersama XPDC, Lee Space sempat mengkotakan sebuah album 'Darjah Satu' pada tahun 1990. Perhitungan dibuat dan akhirnya Lee Space kembali ke pangkuan arena underground. Beliau mula memukul dram untuk kumpulan Death Metal, Tormentor dan menjadi pemain drum undangan dalam kumpulan grind/death metal iaitu Slum Scum di dalam album pertama mereka 'Menace to Insanity'. Di ketika ini [1992-94] Lee Space adalah pemain dram yang terulung di Malaysia selain Olie [Silent Death] dan Lan Bye [Infectious Maggots/Sil Khannaz]. Stamina, kepantasan dan kebuasannya 'menghentam' dram sangat dikagumi. 

Dua orang anggota asal Rator iaitu Shah Jahan dan Roslee Hassan selepas perpecahan membina haluan sendiri melalui karier masing-masing. Shah Jahan telah mendapat sebuah pekerjaan dalam bidang lukisan. Kulit mini album Nebiras [dahulunya Necrofist] 'As The Sky Turns Black' adalah hasil karya Shah Jahan pada awal tahun 1993. Roslee Hassan pula cuba untuk kembali ke dalam bidang muzik melalui projek solo yang dirancangkan oleh beliau tetapi terkandas begitu sahaja. 

Rator hidup kembali pada tahun 1993 setelah lama terdampar di pinggiran arena underground tempatan. Ditubuhkan semula oleh Shah Jahan [bass/vokal], Roslee Hassan [dram] dan Ogy [gitar]. Kedatangan mereka semula diraikan, mereka beraksi di dalam sebuah gig di tahun 1993 bersama-sama Langsuir, Social Infection, Inhuman, Parasite dan Modar! Dengan penubuhan semula Rator, sebuah label underground tempatan [Dark Journey Records] bercadang untuk menandatangani kontrak dengan Rator untuk mengeluarkan album pertama mereka. Malangnya di penghujung tahun 1993, Rator buat kali kedua menjerut kariernya! Mereka berpecah dan gig mereka bersama Langsuir, Social Infection, Inhuman, Parasite dan Modar adalah gig terakhir buat Rator. Rator terus berkubur selamanya tetapi nisannya tertulis lagendanya yang tersendiri di dalam muzik Metal tempatan. Mereka terlebih dahulu mengganas dalam persada muzik underground tanahair sebelum FTG, Silent Death, Sil Khannaz, Braindead, Infectious Maggots, Pilgrims dan lain-lain malah sebelum ketibaan Cromok di celah-celah keributan irama berat. Mereka merupakan kumpulan irama berat terawal di Malaysia yang mencipta lagu sendiri di era 80an selain Blackfire, P.R.O.V. [kumpulan dari Terengganu yang mengeluarkan demo pada 1989] dan Slapdeath! Di ketika Rator sedang aktif nasib yang sama menghukum mereka seperti yang dialami oleh kumpulan veteran Thrash Metal tanahair yang lain. Mereka dikritik kerana perbezaan naluri muzik yang mereka bawakan dengan kebiasaan lagu-lagu slow rock. 

Rator, perintis irama berat, pelopor arena underground, pejuang muzik ekstrim dan maharaja Metal Malaysia.

Rator - [ 1987 - 1993 ]


Teks / Foto / Sumber: MALAYANEUM.TRIPOD.COM

4 ulasan:

  1. RALAT: "Bekas anggota-anggota Rator seperti Ogy telah menubuhkan Carburetor Dung pada tahun 1990 bersama Bart Rulshah [Tormentor], Che Mat [Silent Death] dan CD Khanzab [Sil Khannaz]. Kemudian kumpulan ini berpecah dan Ogy menubuhkan sebuah kumpulan Grindcore/Death Metal bergelar Mutilation! Mutilation menghasilkan demo mereka pada tahun 1991 bertajuk 'Massacre On Bodies'! "

    Sebenarnya Ogy Rator dan Ogy (Oji) Mutilation bukan orang yang sama. Juga penubuhan awal Carburetor Dung tidak langsung melibatkan CD Khanzab.

    terima kasih.

    BalasPadam
  2. Lopong mutilation:- Setuju dgn ralat....ogy rator dan ogy mutilation bukan org yg sama...

    BalasPadam
  3. Lopong mutilation:- Setuju dgn ralat....ogy rator dan ogy mutilation bukan org yg sama...

    BalasPadam
  4. Lee space..steady bro. Ingat. - billy, Exorcist.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...