BUDAK JAHAT II
17 MEI 2014
PENNYLANE STUDIO
SUNWAY MENTARI
Hakikatnya, sudah lebihkurang empat tahun saya tidak menjejakkan kaki di lantai gig. Untuk makluman, gig terakhir yang saya hadiri/sertai adalah KL METALCAMP III (2 Mei 2010, One Café, Kuala Lumpur) dan EKSTRIM TERRORISM IV (19 Jun 2010, KB Bazaar, Kota Bharu – itupun disebabkan band saya sendiri OMEN mengambil bahagian). Entah mengapa, hati ini terasa terbuka untuk kembali meninjau suasana gig metal tempatan; Budak Jahat II bertarikh 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Ada beberapa nama (band) yang sedikit sebanyak menarik saya untuk ke sana dan sesungguhnya merasakan perlu ditunaikan kebertanggungjawaban EKSTRIM sebagai Rakan Media kepada gig ini.
Setelah berdolak-dalik dengan diri sendiri, saya membuat keputusan bertolak dari Selayang pada jam lebihkurang 3 petang. Itupun sesudah menyelesaikan tanggungjawab saya kepada keluarga; menyediakan makan tengahari, kerja sekolah anak-anak dan sebagainya. Saya kira saya sudah sedikit lewat memandangkan informasi di flyer menyatakan gig ini bermula jam 2 petang. Ditambah pula dengan kesesakan lalu-lintas sepanjang Lebuhraya Persekutuan serta sesat mencari lokasi di mana letaknya Pennylane Studio ini (maklumlah, ini pertama kali saya ke sana), akhirnya saya tiba destinasi dituju tepat jam 4 petang. Setelah bertanya kepada salah seorang sahabat metal di situ, rupanya acara masih belum bermula. Alhamdulillah saya tidaklah terlewat.
Lebihkurang jam 4:30 petang saya memanjat satu persatu anak tangga ke pintu masuk Pennylane Studio, bertemu penjaga tiket berwajah bengis tapi mesra (Zul a.k.a Narraka Asyura), melunaskan bayaran RM15 dan sempat juga meneliti aturcara (susunan persembahan band-band) pada gig tersebut. Gig dibuka oleh EXOTHERMIX, disusuli SECRET AGENDA, DESECRATE, MU-ARU, PUAKERYSM, HELDRASIL, BATTLE HYMN dan CORONATION. Jujur mahu dikata, agak terkilan juga bilamana dua nama band dipotong menandakan mereka tidak dapat terlibat sama menjayakan Budak Jahat II, membatalkan penyertaan di saat akhir mungkin. Sedangkan IMPERIAL dan PUTREFIED REMAINS adalah antara nama-nama yang mempengaruhi saya untuk datang ke sini. Tidak mengapa, sokongan saya kepada muzik metal tempatan tiada belah-baginya. Malah, ini peluang keemasan saya untuk menjengok aksi dan kemampuan sebahagian band-band muda kita pada hari ini.
EXOTHERMIX – Satu nama baru yang begitu asing kepada saya. Tidak pernah mendengar nama mereka sebelum ini, apatah lagi menyaksikan aksi-aksi mereka di pentas. Dibarisi tiga ahli; Yazzif (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah (dram) [Nota: Maaf saya tidak mengenali mereka dan maklumat line-up ini saya perolehi dari rilisan demo “Extreme Disaster” mereka], EXOTHERMIX mempamerkan aksi yang bersemangat, persembahan-persembahan yang cukup garang, agresif dan sound yang saya kira cukup padu selaras dengan hentaman Thrash Metal mainan mereka. Menurut vokalisnya, band ini baru dua bulan lalu ditubuhkan. EXOTHERMIX mengalunkan beberapa lagu dari Demo “Extreme Disaster” mereka termasuklah Extreme Disaster dan Thrash Mentality. Satu persembahan berwibawa dari sebuah band yang berpotensi. Sebagai pembuka acara, saya harus memberikan tabik hormat saya kepada semangat EXOTHERMIX walaupun kuantiti penonton pada ketika itu boleh dihitung dengan jari. Tahniah!
SECRET AGENDA – Sebuah unit yang pada perkiraan saya datang dari kelompok Rawk One Army (Rawang's Music Community) atau Bukit Beruntung kalau tidak silap pendengaran saya. Mereka juga memaklumkan bahawa SECRET AGENDA sebuah band baru ditubuhkan dan ini merupakan aksi pentas sulung mereka. Gabungan lima pemuzik ini memulakan persembahan dengan lagu berjudul ‘Jiwa Besi’. Maaf kiranya telinga saya kian kurang tajam untuk menangkap apakah lagu-lagu (judul) yang dimainkan seterusnya. Yang pasti, persembahan mereka bertenaga, ligat, sound yang penuh (mungkin disebabkan mereka band yang lengkap; penggunaan dua gitar, vokalis tanpa instrumen). Mereka adalah kumpulan Heavy Metal / Thrash yang perlu diberi perhatian!
DESECRATE – Juga nama baru yang singgah di pemerhatian saya. Mereka pada hari tersebut tampil dengan konsep dual-vocal. Dengan jumlah kehadiran (crowd) yang kian meningkat, DESECRATE dilihat sebagai band yang semakin menghangatkan suasana gig. Sokongan penonton kepada aksi band ini diperkukuhkan oleh pesta headbanging dan moshing bertali arus. Memulakan persembahan dengan lagu berjudul ‘Preaching The Words Of Violence’, DESECRATE menyalurkan muzikal yang agak bercampur-aduk generanya dan ketika berdiri menyaksi dan meneliti satu-persatu lagu yang dipersembahkan, saya menafsir mereka berada di landasan Grindcore, memandangkan adanya konsep dua vokal, penyampaian saling berbalas jeritan, serta sound yang bingit juga. DESECRATE menjadikan gig Budak Jahat II ini pentas mempromosi rilisan “Rehearsal Demo 2014” mereka. Hebat dan berbakat!
MU-ARU – Unit Death-Thrash dari Muar yang semakin meningkatkan prestij mereka di persada muzik berat tanahair. Ini juga band yang mana salah seorang ahlinya (Buang – vokal/bass) merupakan penganjur kepada berlansungnya gig Budak Jahat II – di bawah nama G.A.H Production. Sebagaimana dinyatakan, mereka pada hari tersebut muncul bersama seorang pemain dram undangan. Empat buah lagu dipersembahkan dan semuanya dipetik dari “Evil Sadistic Mythology” Demo 2013 mereka; Returning Vengeance, Time Will Come, Puaka Mythology serta Freezing Moon (sebuah saduran lagu asal Mayhem). Jujur mengikut pendapat saya, sound gitar agak kurang kedengaran, terasa jauh dan sedikit tenggelam (atau mungkin kedudukan saya yang agak jauh terkebelakang kerana gentar dengan suasana lantai gig yang menggila, haha!). Namun ia bukan alasan untuk para penonton tidak bergembira malah keseronokan para hadirin dan hadirat sekalian digambarkan dengan hayunan kepala tanpa henti. Sebagai anak Johor (bukan berniat bersifat kenegerian), saya bangga melihat adanya MU-ARU meneruskan warna-warni arena metal senegeri, merilis material dan beraksi di pentas. Ini bakat besar yang sedang mengambil tempatnya di mata Metal Malaysia.
PUAKERYSM – Suhu persekitaran kian menaik menerusi penampilan kuasa Thrash Rawang ini. Karisma Zarn (vokal) dan rakan-rakan sekumpulannya meletakkan PUAKERYSM dalam kelas yang tersendiri. Mereka memperagakan beberapa lagu yang dipetik dari “Conspiracy Of Madness” EP 2013 mereka. Turut disampaikan sebuah saduran ‘Breaking The Law’ lagu asal Judas Priest. Persembahan energetik, Thrash yang kencang serta sound yang mantap menjadikan PUAKERYSM sebuah band yang tidak boleh dinafikan kemampuan mereka. Aksi PUAKERYSM ditutup dengan lagu ‘Conspiracy Of Madness’ mengakhiri sessi petang gig Budak Jahat II.
Jam 7:15 petang majlis direhatkan buat seketika untuk memberi ruang kepada pengunjung dan band-band terlibat menikmati udara luar, mendapatkan persegaran dan yang paling penting menghormati waktu masuknya Maghrib. Berhenti untuk Maghrib – sesuatu tindakan mulia yang tidak pernah dipandang oleh media umum dan perdana tetapi yang mereka nampak hanyalah kesesatan yang sengaja diada-adakan. Kesempatan ini saya gunakan untuk minum sambil berbual dengan beberapa kenalan (yang sebenarnya tidak pernah bersua-muka sebelum ini, hanya di laman facebook) serta menunaikan solat Maghrib di Stesen Petrol Shell berdekatan. Semoga Maghrib itu menjadi kenangan manis buat saudara Daeng Andika (Jugra) dan Yunus Azinzan (MTD Production).
HELDRASIL – Acara disambung oleh HELDRASIL, sebuah jentera Melodic Death Metal yang mula mencipta nama menerusi “Son Of Darkness” EP 2010. Persembahan pada awal malam itu mereka dibarisi oleh 3 ahli sahaja. Ketika saya naik dan masuk semula ke Pennylane Studio, HELDRASIL telahpun memulakan persembahan mereka. Saya kira mereka menyampaikan lagu-lagu yang diambil dari EP 2010 tersebut termasuklah sebuah lagu baru yang diperdengarkan dalam aksi mereka jika tidak silap saya. Gaya persembahan HELDRASIL agak santai di pentas namun sokongan penonton di lantai begitu menggalakkan. Penyampaian HELDRASIL mengikut pandangan saya adalah mantap dan kemas. Terbaik!
Ketika ini mula tersebar satu berita yang kurang enak. Gig lain pada hari yang sama itu iaitu JASAD (Brutal in Malaysia) di U-Rock, Subang Jaya telah diserbu pihak penguasa. Setelah berbincang dan memperhalusi keadaan (apatah lagi adanya khabar angin bahawa pihak berkuasa juga akan ke Pennylane Studio), maka penganjur mengambil langkah memberhentikan acara – walaupun awalnya agak kurang pasti samada berhenti sementara (disambung kemudian) atau setakat itu sahaja. Jujur, saya agak kecewa kerana CORONATION yang telahpun mula naik ke pentas dan bersedia untuk beraksi serta BATTLE HYMN, dua band yang agak saya tunggu-tunggu juga untuk saya lihat dalam gig ini tidak dapat beraksi. Apapun, tindakan pemberhentian oleh penganjur harus dipuji dan diterima baik demi kepentingan ramai. Akhirnya, pemberhentian pada jam lebihkurang 9:00 malam itu muktamad dan berakhir hanya di situ. Berikut adalah kenyataan rasmi dari pihak penganjur.
KENYATAAN G.A.H PRODUCTION:
“Budak Jahat II 2014 berakhir separuh jalan.. walaupun tiada ada yang terjadi tetapi persediaan perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak terlibat.. kepada kawan-kawan yang hadir, aku memohon ampun dan maaf atas kekurangan gig ini.. kepada dua band terakhir yang tidak dapat perform, aku agak terkilan dan berharap dapat kembali melihat anda beraksi di masa akan datang.. macam biasa di mana-mana gig tujuan aku adalah untuk berjumpa kawan-kawan baru dan lama.. itu sahaja objektif yang aku rasa tercapai dalam gig kali ini.. bagi pihak Mu-Aru pula, jutaan terima kasih kepada crowd yang menggila!! Kepada pihak yang berkenaan, kami bukan haiwan untuk diburu dan dipersalahkan sepanjang masa.. kami berhibur dengan cara kami.. tidak pernah sesat tidak pernah lupa diri.. 3 gig dalam satu hari, semua berakhir separuh jalan.. namum semangat kami tidak akan pernah luntur!! anda lontar batu ke arah kami dan akan kami simpan batu itu jadi penguat kami di masa akan datang.”
Syukur. Saya tidak melihat ketidakupayaan Budak Jahat II diteruskan dengan persembahan dari baki band; Coronation dan Battle Hymn sebagai kekurangan penganjuran dan keberlangsungan gig ini. Saya telah lama faham dengan lumrah dan resam scene muzik metal kita. Ditindas, diganggu, dipandang serong. Kita menerimanya dengan lapang dada dan perjuangan, pengorbanan menghidupkan, memartabatkan muzik metal di negara ini sememangnya sesuatu yang tidak akan pernah selesai. Biarlah, yang penting kita tahu siapa, apa dan di mana kedudukan kita.. itu sudah cukup membahagiakan.
Kuantiti kehadiran penonton di Budak Jahat II tidaklah ramai, mungkin sekitar 50-60 orang termasuk bandboy. Jumlah ini sebenarnya sudah cukup untuk sebuah gig berskala kecil. Jangan dijadikan jumlah kehadiran kayu pengukur tahap kejayaan sesebuah gig, apatah lagi Budak Jahat II ini berlangsung pada sama harinya dengan dua gig lain di sekitar Lembah Kelang; Jasad (Brutal in Malaysia) di U-Rock, Subang Jaya dan Nonserviam (Album Launch) di Rumah Api, Ampang. Kelebihan (di mana inilah yang saya lihat sebagai kejayaan) Budak Jahat II adalah sebagai satu medan untuk band-band muda, band-band generasi baru mempamirkan aksi langsung mereka di pentas sambil mempromosikan rilisan-rilisan baru mereka. Ini pentas yang menjadi pemangkin untuk band-band sebegini mengorak langkah untuk lebih ke hadapan. Ini pentas di mana Malaysia tidak putus generasi Metal-nya mewarisi menyambung legasi Metal terdahulu, meneruskan revolusi Metal di hari-hari depan. Awas: Ia tidak akan mati walau dicincang lumat, dihina dicerca tanpa henti!
Bagi diri saya sendiri, saya cukup berbangga dengan anda semua; G.A.H Production sebagai penganjur, band-band yang terlibat menyertai gig ini serta semua rakan-rakan yang meluangkan masa menghadiri Budak Jahat II. Anda membuatkan scene Metal Malaysia terus bernyawa! Tahniah!!!
Budak Jahat II memberi saya peluang untuk berjumpa bersua muka dengan rakan-rakan lama, kenalan-kenalan baru, mendapatkan produk-produk rilisan dari band-band terlibat terutamanya. Benar kata Wan Matt (orang kuat Gempita Records), “Metal Malaysia gah membina reputasinya”. Benar jua kata Jamal (HePeace Band T-Shirt), “Metal scene mengeratkan silaturrahim sesama kita”. Terima kasih semua!
Nota: Maaf jika kualiti foto yang saya kembarkan agak kabur. Koleksi lengkap gambar-gambar yang saya ambil semasa Budak Jahat II boleh dilihat di facebook saya, laluan berikut: Budak Jahat II, 17/05/2014, Pennylane Studio, Sunway Mentari
Dilaporkan oleh: Pyan Nathias – 19 Mei 2014
ulasan menarik bro, sayangnya aku dah plan nak turun gig ni, last minit bos panggil kerja, barang urgent.. kalau tak dapat bertemu bro disana...
BalasPadamAiseyyy... gua cari lu kat sana bro.. xpe2, next time insya-Allah.
PadamTerima kasih yg teramat sangat kerana meriview gig ni... Xtau nak ckp apa dah... Terima kasih yg x terhingga bro!!!...
BalasPadamSama2 bro.. maaf jikalau kualiti review tak begitu baik.. sekadar yg mampu dan tertulis bro..
PadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam