Pada mulanya EKSTRIM menjangka MU-ARU adalah band yang terbentuk dari serpihan sebuah band lama dari Muar iaitu PENANGGALS namun telahan kami tidak benar. Mu-Aru adalah satu entiti yang baru dilahirkan, menyusun langkah membangkitkan kembali semangat Gerakan Amalan Hitam Muar – “Mu-Aru bermula dari perjumpaan aku dan line-up lain melalui facebook yang kebetulan dua orang dari kami (aku dan lead) baru pindah dari Kuala Lumpur ke Muar.. dari situ timbul idea untuk setup satu band bergenre Death Metal kemelayuan.. antara sebab kenapa kami mahu menubuhkan band ini adalah kerana ingin menghidupkan semula suasana kegelapan dalam daerah Muar seperti mana yang pernah dilakukan Penanggal's pada tahun 1999 dulu.. haha..” menurut penjelasan seorang ahlinya yang mahu dikenali dengan nama Raja Bunian. Menurut beliau juga, pengeluaran demo pertama Mu-Aru bagaikan satu detik bersejarah buat komuniti Gerakan Amalan Hitam Muar di mana sebaik sahaja ianya dikeluarkan telah menyusul kemunculan semula Penanggal's dan wujudnya Nirrajim (band baru Black Metal Muar).
Mu-Aru pada masa ini dibarisi oleh Raja Bunian (vokal dan bass), Api (gitar utama), Menthols (gitar kedua) dan Jembalang Bukit (dram). “Setakat ni, ini sahajalah ahli yang tetap, sebelum ni cuma posisi drummer saja yang ada berubah sedikit.. tapi itupun masa di awal penubuhan.. sebelum kami merekod demo dan mula bermain gig.. biasa la tengah cari yang satu kepala..”, ujar Raja Bunian merujuk kepada keanggotaan Mu-Aru dan perubahan keahlian yang pernah dialami.
Ketika diminta supaya diberi satu deskripsi kepada gaya dan halatuju muzikal Mu-Aru, Raja Bunian bingkas menerangkan tafsirannya: “Erm.. senang cerita muzik kami adalah Death Metal kemelayuan.. kami menggabungkan riff ala-ala Thrash dan Death Metal dalam setiap lagu kami.. walaubagaimanapun semua terpulang pada pendengar untuk menilai sendiri muzik kami.. kerana ada di antara komen yang kami terima yang memberitahu muzik kami terdapat influence dari Cromok, Sil Khannaz dan Samurai.. respon kami, yup.. itu antara band yang kami cover ketika jaming.. haha..”.
“Dari segi gubahan lagu, kami biasanya berkumpul di rumah gitaris kami dan mula mencari riff-riff baru untuk lagu kami.. kadang-kadang dibuat saja di studio semasa sesi latihan.. riff yang datang secara tidak sengaja terus dirakam dan diperhalusi lagi selepas itu.. dari segi penulisan lirik, semuanya aku yang uruskan sebagai vokalis.. bagi aku sesebuah lagu yang berkualiti datang dari pembabitan sepenuhnya setiap ahli band dengan idea masing-masing kerana itu yang sebenar-benar mencerminkan identiti band”, kata Raja Bunian berkaitan proses penggubahan lagu serta pendapat beliau terhadap persoalan pembikinan sebuah lagu yang berkualiti.
Penulisan lirik yang digunapakai dalam Mu-Aru kebanyakannya bertemakan mitos dan hikayat Melayu Lama, secara amnya berkisarkan pengkisahan daerah Muar itu sendiri. Sebagaimana yang diberitahu oleh Raja Bunian, untuk demo pertama Mu-Aru, mereka menceritakan kisah-kisah sejarah dalam daerah Muar di mana kebanyakannya adalah berasaskan fakta sejarah di samping suntikan imaginasi beliau sendiri. Walaubagaimanapun, Raja Bunian agak khuatir mesej-mesej yang disalurkan melalui lirik tidak sampai kepada pendengar. “Mesej dalam lirik?? Maybe tak akan sampai kot lirik pada pendengar.. sebab bukannya orang faham pun apa aku jerit.. haha..”, katanya.
Mu-Aru telah mengeluarkan demo pertama mereka berjudul "Evil Sadistic Mythology" sekitar April 2013. Demo ini mempertaruhkan 4 buah lagu; 3 lagu sendiri dan sebuah saduran. Tajuk-tajuk lagu sebagaimana yang disenaraikan adalah (1) Returning Vengeance, (2) Time Will Come, (3) Puaka Mythology, dan (4) Freezing Moon (Mayhem cover). Proses rakaman material untuk demo ini telah dilaksana di Studio Adam, Cheng, Melaka. “Barangsiapa yang berminat dengan demo pertama kami boleh hubungi aku kalau berkenan dengan muzik metal kampung.. haha.. Overall kami berpuas hati dengan demo ini dan akan cuba memperbaiki apa yang kurang jika dirasakan perlu untuk keluaran akan datang.. Maybe pertengahan tahun depan kami akan memulakan projek yang baru”, maklum Raja Bunian berhubung demo pertama mereka.
Bercakap mengenai persembahan live, Raja Bunian menyatakan: “Gig memang sangat penting bagi kami dalam mempromosikan band dan stuff kami.. walaupun sekarang dah ada facebook dan sebagainya, tapi kami mahu merasai pengalaman sebenar mempromosikan diri di hadapan kawan-kawan dan juga supporter Metal Malaysia.. antara gig yang paling best bagi kami adalah ketika menjadi opening ketika gig Southern Metal Assault 2013 anjuran TFHM di Johor.. sebab, venue sejuk dan backline yang agak gempak dari gig sebelumnya.. hahaha.. sehingga sekarang kami telahpun bermain dalam lebih kurang 6 buah gig dan yang ke 7 akan diadakan pada 7/7/2013 ini di Waterplace, Kuala Lumpur”.
Raja Bunian (atau dikenali dengan nama Brader Buang melalui laman facebook) memaklumkan bahawa Mu-Aru masih belum memulakan sebarang projek (material dan rilisan) baru walaupun secara dasarnya telah ada dalam perancangan mereka. Mu-Aru buat masa ini cuma menumpukan kepada usaha mempromosi demo pertama mereka "Evil Sadistic Mythology". “Kami semua berharap agar sokongan dari kawan-kawan metal akan terus bersama khidmat nasihat untuk kami terus bersama-sama membangunkan scene metal kita. Harap juga Mu-Aru akan terus diterima dalam scene ini”, kata RajaBunian memaklumkan harapannya.
“Penghargaan buat sekalian kawan-kawan metal, KL Hellbangers, Gerakan Amalan Hitam Muar, band Penanggals, Nirrajim, perjuangan kita hanya baru bermula!! Dan yang paling penting, kepada nenek moyang kita dengan kisah-kisah dongeng zaman silam.. anda inspirasi kami! Terimakasih sebab sudi menemubual kitorang boss.. long live malay metal scene! Hail puaka!!! Untuk keterangan lanjut, kontek je kat FB aku "brader buang"..”, kata Raja Bunian menutup perbualan \666/
Muaru anak buah Penanggals la ni? Band lagend muo..
BalasPadam