2013-07-01

TORCH - BERSIAP UNTUK ALBUM TERBAHARU


TORCH dari Raub, Pahang adalah grup Death Metal yang tampil dengan kelainan. Mula ditubuhkan sekitar Julai 1997, Torch menggabungkan elemen-elemen unik, pelik dan di luar kebiasaan dalam struktur serta pengolahan muzikal mereka. Fandi Razali, individu yang bertanggungjawab membentuk Torch ketika dihubungi EKSTRIM memaklumkan bahawa mereka akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembikinan album baru selepas gig terakhir mereka Jejak Kasih The Gig. Khabarnya semua lagu untuk tujuan album baru tersebut telahpun disediakan.

“Lagu-lagu Torch untuk album baru sudah ada. Buat masa sekarang kami giat jamming lagu-lagu tersebut. Proses rakaman sebenar dijangka sekejap aje. Macam Daroh Dagir tahun lepas, tak sampai dua hari dah selesai rakaman. Kali ini inshaa-Allah akan ada 10 lagu dalam album baru berbanding Daroh Dagir 8 lagu jer”, maklum Fandi yang turut memberitahu belum diputuskan akan judul album baru ini.

Proses rakaman akan diadakan di sebuah home studio di Bentong yang juga merupakan sebuah studio jamming. “Inshaa-Allah... kalau tiada aral... dua trek pertama - Bandor Maksiek (Bandar Maksiat) dan Penagih Dadoh akan dirakamkan Ahad (30 Jun 2013) ini”, kata Fandi atau nama sebenarnya Mohd Affandi bin Haji Razali. Album baru ini keseluruhannya dikatakan masih mengekalkan mood album-album terdahulu. Masih dalam aliran yang sama dengan “Daroh Dagir” dan “Iron Curtain” kata Fandi. “9 daripada 10 buah lagu adalah dalam dialek Raub. Manakala sebuah lagu lagi dalam Bahasa Malaysia standard. Clue untuk album baru ni, lagu kami pendek-pendek, macam Iron Curtain”, tambah beliau.

Untuk rakaman album baru ini, Torch menampilkan line-up baru, terdiri daripada; Fandi Razali (gitar utama/suara latar), Fazlie Cullen (gitar utama), Azwan Wolf K-One (vokal), Sue Cullen (bass) dan Ain Joe (dram & perkusi). “Rakaman kali ni Torch dengan line-up yang ada sekarang. Ini album pertama bersama line-up sekarang. Yang Daroh Dagir tu rakaman dengan line-up lama. Gig selepas rilis album ni ke hadapan adalah line-up sekarang”, kata Fandi Razali memberikan penjelasan.

Secara tentatif, album ini dijangka akan dikeluarkan sekitar penghujung tahun 2013 ini. Seperti “Daroh Dagir”, album ini juga bakal dikeluarkan oleh RDL Records. “Sebenarnya mengikut rancangan asal bersama pihak label, album baru ini dijadualkan siap pada akhir Mei lepas tetapi ekoran beberapa kekangan, ianya sedikit tertunda”, maklum Fandi. Torch meneruskan kerjasama dengan RDL Records dalam urusan pengeluaran album kerana label ini dilihat dapat memberikan produksi yang memuaskan dan memenuhi keperluan Torch. “Setakat ini RDL sahaja yang sudi approach aku dan bagi packaging yang aku rasa terbaik sepanjang sejarah Torch. Digipack format untuk Daroh Dagir pun beyond aku punya expectation... RDL delivered untuk aku” kata Fandi lagi berhubung kerjasama yang ada antara Torch dan RDL Records.

Sebagaimana maklum, Torch akan turut serta beraksi dalam Jejak Kasih The Gig di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu, 6 Julai 2013 nanti. Fandi memaklumkan pada hari gig tersebut akan diedarkan limited edition T-Shirt Torch sebanyak 10 unit sahaja melalui pihak Empayar Distro. Turut dimaklumkan, kemungkinan selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 17 Ogos 2013 akan diadakan sebuah gig di Raub – Bertukang Malam-Malam Aidilfitri Special. Gig ini bakal menampilkan 4 buah band sahaja; Torch, Al Azazhil, The Dirty Dogs dan Sense of Crisis. Bertempat di Studio Kecapi, jam 9:00 - 12:00 malam dan kemasukan percuma. Gig ini sebenarnya merangkap open house Studio Kecapi.

DISKOGRAFI
1998 – State Of Unconciousness MCD
2001 – Lautan Mayat Demo Tape
2005 – Nuclear Doom CD (dikeluarkan 2009 oleh RDL Distro)
2007 – Iron Curtain CD (Necropapic Records)
2012 – Daroh Dagir CD (RDL Records)

Bagi yang belum memiliki album “Daroh Dagir”, anda masih boleh memiliki CD berkenaan melalui pihak pengeluarnya, RDL Records. Ia menghidangkan 8 buah lagu yang didefinasikan oleh pihak label sebagai Unique Weird Fusion Death Metal. Bersama pembelian album “Daroh Dagir” ini juga anda akan menerima sekeping pelekat (indoor sticker) dan seunit poster mini (24cm x 24cm). Harga: RM20 (ditangan) / RM25 (melalui pos). Hubungi: 012-7814198 / darklegendzine@yahoo.com

Daroh Dagir CD 2012
01. Kaberh De Bukik Nage
02. Daroh Dagir
03. Kayu Api
04. Keh Tak Nok Kene Pedo Oh Doh
05. Mate Ari Doh Tenggelar
06. Pengorbanay Ayoh
07. Kubor Dekek Hek Doh
08. De Bataeh Gedour


HUBUNGI:

RDL Records:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...