TARIKH: 15 JUN 2014 | LOKASI: PENNYLANE STUDIO, BANDAR SUNWAY | MASA: 3PTG | TIKET: RM10 | BAND: CORONATION / SUCCUBUS / MORGGORM / ANTABOGA / CAFERGOT / MALAPETAKA / CATARRH / EXOTHERMIX | SOKONGAN: KUALA LUMPUR HELLBANGERS / KLANG METAL WARRIOR
2014-05-31
06/06/2014 - MARINE MYCOLOGIC INFESTATION GIG
TARIKH: 6 JUN 2014 | LOKASI: RUMAH API, AMPANG | MASA: 6PTG | TIKET: RM10 | BAND: MOULDY PORPOISE (Australia) / SKUNFIX / KEBULUR / PSYCHOTIC SUFFERANCE | ANJURAN: TEMPANG RECORDS
INFORMASI:
USUS - BUILT FOR THE KILL PROMO 2014
EARBLAST RECORDS telahpun mengeluar dan mengedar rilisan Promo 2014 dari unit Grindcore Sandakan, USUS berjudul "Built For The Kill" [Cat.No: ER014]. Ia terhad kepada 50 salinan sahaja dan boleh dimiliki pada harga cuma RM10 (termasuk kos penghantaran). Promo CD ini menghidangkan 4 buah lagu (rakaman studio) seperti berikut:
1. Sickness of Body Cell
2. Fucked with Cannibale
3. Dead Body Processor
4. Mentality of White People is Dirty
HUBUNGI:
VIDEO MUZIK: CREATUFALL - SWEET WHISPER
Unit metalcore Kuala Lumpur CREATUFALL melancarkan video muzik rasmi pertama mereka untuk lagu berjudul Sweet Whisper yang diambil dari album sulung "Tindas" keluaran 2013. Video tersebut dikongsi di laluan: youtu.be/RuveJQzV2Xs. "Tindas" boleh diperolehi secara digital di: creatufall.bandcamp.com atau salinan fizikal sila hubungi Saiful (vokalis) di talian: 0192113075 atau di laman facebook mereka.
INFORMASI:
2014-05-30
14/06/2014 - M:PIRE OF EVIL LIVE IN JOHOR
TARIKH: 14 JUN 2014 (SABTU) | LOKASI: STOPZONE ARENA LARKIN, JOHOR BAHRU | MASA: 7:30MLM | TIKET: RM40 | BAND: M:PIRE OF EVIL (menampilkan anggota VENOM; Mantas dan Tony Dolan) / KATHGOR / INSINNER | ANJURAN: GRINDERS BALL
INFORMASI:
2014-05-27
GORESLUTS - ALBUM BARU: DIVISI PANJI MERAH
Sindiket Gore Erotik, GORESLUTS dijadualkan kembali meawarkan album penuh kedua setelah 5 tahun album pertama "Cumshot Kamikaze" (bertarikh 25 Julai 2009) dikeluarkan. Kumpulan berhaluan Death-Grind/Gore bertemakan porno, erotik dan penderaan seksual ini bakal merealisasikan karya-karya terbaharu mereka melalui album kedua berjudul "Divisi Panji Merah", dikeluarkan oleh GRUNDAR PRODUCTION [GP011] pada sekitar Julai 2014 ini. Turut dikeluarkan, t-shirt eksklusif bersempena rilisan album tersebut.
INFORMASI:
31/05/2014 - METAL PARTY
TARIKH: 31 MEI 2014 | LOKASI: EMBRACE HALL, TAMAN TAMPOI UTAMA, JOHOR BAHRU | MASA: 8MLM | TIKET: RM10 | BAND: DEFILED (Jepun) / DIEMORECRUSHT / EYES POPPING OUT | ANJURAN: JBDM / MUZIK BOX PRODUCTION / GRUNDAR PRODUCTION
2014-05-24
BULETIN METAL MALAYSIA BIL.02/2014
Memaparkan berita-berita ringkas, terkini dan perkembangan semasa dari: PUAKERYSM, ANTABOGA, INFERNAL VOID, USUS, PUNAHRANAH, ATARAXIQUE, NIHILIST VOLCANIC TERROR, AGONIZED, DYSGUSTED dan SYMPHONY JIMBALANG.
PUAKERYSM
Rejimen Thrash Rawang PUAKERYSM menjanjikan sebuah rilisan baru dalam tahun 2014 ini. Perancangan ini diperkuatkan oleh vokalis utamanya Zarn yang dilaporkan berkata: “Semua lagu telahpun ada disediakan cuma mencari waktu yang benar-benar sesuai untuk memulakan kerja-kerja rakaman”. Rilisan baru itu nanti dijangka meneruskan manifestasi Thrash kental sebagaimana yang dibuktikan PUAKERYSM melalui usaha terdahulu, “Conspiracy Of Madness” EP 2013. Zarn bersama rakan-rakannya; Ejai (gitar), R-Man (bass/vokal) dan Adhy (dram) baru sahaja tampil mempamirkan persembahan bertenaga dalam gig Budak Jahat II bertarikh 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Sambil itu, Edisi “Reprint 2014” untuk EP “Conspiracy Of Madness” bermuatan 5 buah lagu telah diedar dan boleh diperolehi dari pihak band sekarang! Rasai bahang Thrash Metal dari komuniti Rawk One Army!!
ANTABOGA
Black Metal mistikal ANTABOGA kembali mengalunkan irama penuh keseraman mereka melalui karya terkini “Mayang Mistik II (Semayam Sihir)”, dijadual rilis secara rasmi pada 2 Jun 2014. Menurut laporan Hantu Kepalang (vokal), Mayang Mistik II adalah kesinambungan dari rilisan mereka yang dahulu yang lebih berunsurkan amalan sihir gelap!! ANTABOGA sebelum ini mengeluarkan album pertama “Mayang Mistik” pada 5 Mei 2013 lalu. “Mayang Mistik II (Semayam Sihir)” CD 2014 akan menghidangkan 10 buah lagu, dikeluarkan hanya sebanyak 50 cetakan sahaja! Dapatkan album ini nanti yang dijual pada harga RM30 (edaran tangan) / RM35 (melalui pos).
INFERNAL VOID
Begitu lama tiada kedengaran berita tentang INFERNAL VOID, sebuah unit Death Thrash Metal dari pekan Kampong Gajah, Ipoh. Band ini berada di persada muzik metal sejak era 90’an lagi, malah merilis demo pertama “The Rise Of Life” pada tahun 1994. Tanpa disangka, malah tiada amaran pun yang dikeluarkan, INFERNAL VOID kembali dengan bekalan album sulung berjudul “Anger Grow” mengandungi sejumlah 10 buah lagu + outro. Album dicetak profesional ini boleh diperolehi dari pihak pengedar METALZONE DISTRO pada harga RM20 (+RM3 untuk poslaju). Promo: youtu.be/vcv-Ko7koHs
USUS
Sandakan Grinder dikenali sebagai USUS diberitakan akan merilis Promo 2014 berjudul “Built For The Kill”. Promo CD ini dikeluarkan oleh EARBLAST RECORDS [Kat#: ER014] dilancarkan pengeluarannya pada 5 Jun 2014 dalam kuantiti terhad 50 keping sahaja! Menurut maklumat pihak label, USUS menampilkan bekas pemain dram KILATUS dan rilisan promo “Built For The Kill” ini didedikasikan kepada mereka-mereka yang menggilai irama Grind/Gore.
PUNAHRANAH
Gut-Defecating-DeathGrind. Begitulah bunyinya definasi aliran muzik PUNAHRANAH. Trio dari Petaling Jaya ini terdiri daripada Azan (gitar/vokal), Bess (bass/vokal) dan Ashie (dram). Dipengaruhi band-band seperti Brutal Truth, Decapitated, Cattle Decapitation dan Cephalic Carnage, PUNAHRANAH dilaporkan berada di peringkat akhir pengeluaran material terbaharu, “Perceive The Ignorance” EP 2014. Rilisan ini bakal menjadi susulan terbaik kepada “First Chapter Of Killing Process” EP 2010. Sebagai introduksi kepada penangan DeathGrind buatan PUNAHRANAH yang bakal diketengahkan dalam “Perceive The Ignorance”, mereka memperdengarkan sebuah lagu dari EP tersebut, berjudul Deranged Nation.
ATARAXIQUE
Dari Kuala Lumpur, band Metal Progresif dengan keanggotaan 6 ahli bergelar ATARAXIQUE baru sahaja merilis karya pertama mereka berupa sebuah EP selftitled mengandungi 3 buah lagu. Terdiri daripada Prthiv (vokal), Gerard (gitar), Johan (gitar), Sharon (kibod), Howe (bass) dan Christian (dram), EP tersebut mula dipasarkan pada 17 Mei 2014 semasa turut sama mengambil bahagian dalam showcase NonserviaM - "A Spectral Ascension" Album Launch di Rumah Api, Ampang. ATARAXIQUE turut dijadualkan beraksi di acara A Taste Ov Sin - Ataraxique's Penang EP Launch Show pada 14 Jun 2014 di Soundmaker Studio, Pulau Pinang. Sesiapa yang meminati band-band seperti Dream Theater, Dimmu Borgir, Symphony X, Iron Maiden dan Lamb of God bolehlah segera dapatkan EP dari mereka. Dengarkan Pride di: youtu.be/JM4CVx0fc2Q
NIHILIST VOLCANIC TERROR
Organisasi Bestial Black/Death Sabah bergelar NIHILIST VOLCANIC TERROR atau sering disebut NVT mengeluarkan sebuah rilisan berjudul “Torment in Hell - Rehearsal in Hell 666 (Total Pain & Death!!!). Rilisan rehearsal dalam format Pro-CDR ini mengandungi 5 buah lagu, termasuklah sebuah cover lagu asal Inquisition berjudul ‘Crush the Jewish Prophet’. “Torment in Hell...” diriliskan pada 1 Jun 2014, terhad kepada 50 salinan dan diedarkan pada harga RM7 (melalui tangan) / RM12 (pos berdaftar). Hubungi Jack A.C. (vokal) di facebook.com/Jack.AC.87 untuk maklumat lanjut!
AGONIZED
Ini merupakan sebuah unit Grindcore dari Sandakan, Sabah. AGONIZED dibarisi oleh Duff (bass/vokal), Endeng (gitar/vokal) dan Wan Baltan (dram). Dengan bantuan BROKEN NOISE RECORDS (sebual label dari Johor Bahru), trio ini merilis pro-tape berjudul “Consumed” mengandungi 10 buah lagu yang dirakam sekitar September 2013. Dipasarkan pada harga RM8 (tidak termasuk caj pengeposan), anda boleh menghubungi pihak label di emel: ladingsatu@gmail.com untuk pesanan dan pertanyaan lanjut! Kenali AGONIZED melalui Wan Baltan di: facebook.com/shahrizwanDj
DYSGUSTED
Brutal Death Metal Kuala Terengganu, DYSGUSTED telah mengeluarkan sebuah Promo CD berjudul “Stripped, Erected and Twisted” melalui GRUNDAR PRODUCTION [Kat#: GP010]. Promo 2014 tersebut mengandungi 3 buah lagu; Eat Pussy Alive, Bloodcum Festal dan Vomit Through Cunt. Dua lagu terakhir yang dinyatakan sebenarnya adalah versi remastered lagu-lagu lama yang pernah ditampilkan dalam “Molestation Into Violence” Promo 2003. “Stripped, Erected and Twisted” mula diedarkan pada penyertaan DYSGUSTED di gig Jasad Live in Johor Bahru (Stopzone Arena, Larkin) pada 18 Mei lalu dan masih boleh diperolehi dari pihak label pada harga (termasuk poslaju) RM16 (Semenanjung) dan RM20 (Sabah/Sarawak). DYSGUSTED yang ditubuhkan pada lewat 2001 kini dianggotai oleh Amir (vokal), Awi (gitar), Ajim (bass) dan Yoe (dram).
SYMPHONY JIMBALANG
Band Black Metal dari Pulau Pinang ini sudah agak lama menyepi. SYMPHONY JIMBALANG pernah mengeluarkan Promo 4-lagu pada sekitar tahun 2010 (keluaran Nusantarajim Productions) dan setahun kemudian turut terlibat dalam 5-way split Misanthropic Congregation Chapter II (keluaran Eastern Myth Records). Terkini, SYMPHONY JIMBALANG memaklum bahawa mereka akan tampil kembali berbekalkan sebuah rilisan berformatkan pro-tape berjudul “Sumpahan Terlakhnat”. Ianya terhad kepada 100 salinan dikeluarkan label dari Thailand, ROOTS ACTIVE PRODUCTIONS.
Kepada mana-mana pihak band, label, zine dan sebagainya yang ingin memuatkan maklumat terbaharu dalam dokumentasi BULETIN METAL MALAYSIA BIL.03/2014 akan datang, sila emel kepada ekstrimzine@gmail.com atau mesej di facebook.com/piankvlt.
2014-05-23
14/06/2014 - A TASTE OV SIN
TARIKH: 14 JUN 2014 | LOKASI: SOUNDMAKER STUDIO, PULAU PINANG | MASA: 4:30PTG | TIKET: RM10 | BAND: ATARAXIQUE [Penang EP Launch Show - KL Progressive/Melodic Metal] / A CITY AFIRE [Penang Groove Metalcore] / WEOT SKAM [Penang Thrashing Hardcore Punk] / PANDORATH [Penang Melodic 'Waltz' Metal] | ANJURAN: QBP.MUSICK.CUM
INFORMASI:
2014-05-22
EVIL ROTTING MAGAZINE - AKAN TERBIT ISU KE-5
Susulan kejayaan serta sambutan positif terhadap isu ke-4 yang dikeluarkan pada 1 Mei 2013 lepas, EVIL ROTTING MAGAZINE bakal kembali dengan penerbitan isu ke-5 pula. Isu terbaharu ini bakal menampilkan NECROTIC CHAOS (lagenda Death Metal dari Ipoh) dan TORMENTRESS (wirawati Thrash Metal Singapura) sebagai highlight kali ini di samping paparan-parapan dari band antaranya POSSESSED, SAVAGEDEITY, SORCERY, ABHORER, VAULT, VULCANO, MARTYRDOM, DIVAHAR, NUCLEAR STRIKES, NECROPHOBIC, DEATHEVOKER, VRYKOLAKAS, UNSU, SOULINSIDE, WHIPLASH, HUFFIN PAINT, DOWN AMONG THE DEADMEN, SCENT OF DEATH, OBSCENITY, INTERNAL BLEEDING, PESTILENCE, RECIDIVIST, SADISTIK IMPALER, TYRANTS BLOOD, NEKRAD dan banyak lagi. Turut dimuatkan beberapa artikel, ruangan ulasan, informasi label dan sebagainya. Isu kelima ini juga akan turut disertai dengan CD Sampler diberi percuma! Asalnya berpengkalan di Kota Singa, kini EVIL ROTTING MAGAZINE beroperasi di Johor Bahru, Johor. Emel: agigi_gore@hotmail.com
INFORMASI:
TERDAHULU:
SABAHAN CHILD UNITED COMPILATION - VOLUME ONE
Setelah agak lama tertangguh, akhirnya keluaran pertama kompilasi Sabahan Child United diriliskan. Kompilasi ini menghimpunkan 20 buah band pelbagai jenisan muzik dari seluruh pelusuk Sabah yang terkenal dengan jolokan Negeri di Bawah Bayu. Band-band yang ditampilkan dalam Volume One ini adalah: RIOT IN ASIA (Kota Kinabalu), ROGGON (Beaufort), MORTUARY ANCESTOR (Kota Kinabalu), GORE IN ANAL (Penampang), CON-DAMN THE CORRUPTOR (Inanam), MASKBURN (Kota Kinabalu), HARLOTNYMPH (Bongawan), ART OF NATION (Putatan), PERPETUAL (Sandakan), INSIDE (Kota Kinabalu), MUTT (Petagas), PARAVEL (Tuaran), PENGUASA ANJING (Inanam/Penampang), GAYANG KULINTANGAN REVOLT (Penampang), SPERMATTACK (Penampang), DISGUSTING (Tuaran), SEVENTH HATRED CONFESSION (Putatan), MAKAN DALAM (Tawau), ROTTEN DISEASE (Penampang) dan juga INSECTIVORE (Putatan).
Harga: RM12 (edaran di tangan) / RM15 (melalui pos berdaftar). Hubungi: facebook.com/benny.pangazou. Terbitan: Monsopiad Collective Movement / Headhunter Records & Distro
MISTIK - TOTAL WAR II T-SHIRT
Selaras dengan penyertaan MISTIK beraksi di pentas TOTAL WAR II di Black Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 1 Jun 2014, MISTIK turut mengeluarkan t-shirt ekslusif mereka sempena acara tersebut di bawah kendalian DIABOLICURST PRODUCTION. Ianya pasti menjadi suatu koleksi dan tanda ingatan buat para penyokong tegar band Black Metal berasal Pulau Pinang ini.
T-shirt edisi terhad 50 helai sahaja ini akan dijual di pintu masuk TOTAL WAR II pada harga RM45. Kepada yang ingin mendapatkannya secara online, sila hubungi Ruy Zal [facebook.com/ruy.zal] atau Diabolicurst Production. Pembayaran terus ke akaun Maybank 1574-2906-9108 (Nordini Bt Kamaruddin). Mobil: 012-4693743 (Ruy Zal). Penghantaran akan dibuat pada 30/05/2014.
INFORMASI:
CENTRAL DISPOSAL - ILUSTRASI & SENARAI LAGU ALBUM SULUNG
Sepertimana diperhebahkan, CENTRAL DISPOSAL kini semakin dekat kepada tarikh lahirnya album penuh pertama mereka. Menurut vokalisnya Jeff Disposal, proses cetakan CD dan kulit album di kilang sedang diusahakan dan kiranya tiada halangan, buahtangan sulung band dari Kelang ini dijangka berada di pasaran pada 31 Mei 2014 (sempena kedatangan SABBAT di SABBATICAL MALAYSIAAARGHHH!!! - Live in Kuala Lumpur).
Kulit album "selftitled" ini dihiasi dengan sebuah ilustrasi karikatur menarik hasilkerja seni saudara Lee (EPHEMERAL). "Artwork cover album ni dibuat oleh pemain dram Ephemeral, Lee. Dia memang aku suka pakai dia dari dulu. Setakat ini aku puashati dengan artwork dia", kata Jeff yang juga sebahagian daripada ahli anggota EPHEMERAL, band berpaksikan muzikal Death Metal.
Selain hiasan hadapan kulit album, CENTRAL DISPOSAL turut mendedahkan senarai 10 buah lagu yang dihidangkan dalam album tersebut. Sepuluh lagu yang dijangka berinspirasikan Bay Area Thrash Metal adalah sebagaimana berikut:
01. Wall of Fear
02. Holocene Extinction
03. Thrash or be Thrashed
04. Toxic Death
05. Thrashing Hour
06. Hostile World
07. Mind Wars
08. Under Attack
09. Liege of Inveracity
10. Death Row
EKSTRIM berpeluang menikmati dua buah lagu dari album ini, iaitu Thrash or be Thrashed dan Thrashing Hour. Kemantapan kualiti bunyi bakal menjadi kekuatan menyeluruh album ini. Konsep Thrash-the-American-way begitu terserlah dari komposisi lagu yang diperdengarkan, dipadankan pula dengan format vokal yang menepati kriteria Bay Area/East Coast Thrash! Ini sebuah album 'mesti-milik' kepada mereka yang menggilai Thrash ala Sacred Reich, Vio-lence, Exodus, D.R.I. dan seumpamanya!
Album ini diriliskan secara independen atau self-financed oleh pihak CENTRAL DISPOSAL sendiri. Ianya diedarkan pada harga hanya RM20 (tidak termasuk kos pengeposan). Kepada pihak distribusi yang berminat menjadi wakil pengedar album ini, sila hubungi facebook.com/jeffdisposal. CENTRAL DISPOSAL turut merancang pengeluaran t-shirt sedikit masa lagi.
INFORMASI:
TERDAHULU:
KHEROW - ALBUM KEDUA BAKAL MENYUSUL
“Aveciena” dijadualkan menjadi sandaran terbaru dari KHEROW tidak berapa lama lagi, susulan kepada album pertama “Bintang Timoer” CD 2010 (rilis pada 1.1.11). Band berorientasikan sulaman Black Death dan Progressive Metal asal Bumi Kenyalang, Sarawak ini telah tertubuh semenjak tahun 2000 lagi dan pernah juga melahirkan demo “Melodramatic of Raging War” sekitar 2003.
“Perkembangan sekarang ini KHEROW akan meriliskan album kedua bertajuk Aveciena, insya-Allah dalam tahun ini juga. Album ini akan menampilkan vokalis baru kami. Rilisan kali ini banyak yang berubah dari segi sound dan ada penambahan dari sound string keyboard”, ujar Zizie Row memberikan gambaran awal intipati album kedua mereka. Kemasukan Nana sebagai vokalis berganding bahu bersama Afdzal (dram), Zizie Row (gitar utama), Emmanuel Radin (gitar kedua) dan Satar (bass) dijangka membuahkan impak segar dalam album baharu itu nanti.
“Aveciena” ini akan memuatkan keseluruhannya 8 buah lagu di mana salah satu daripadanya adalah gubahan berasaskan kesemua lagu dari album “Bintang Timoer” disatukan menjadi sebuah instrumental. “Album akan ada 8 buah lagu. Satu darinya lagu-lagu dari album pertama dijadikan satu lagu. Kita gabung, mainkan dan rekod dengan sound baru. Dalam ertikata lain, ia seperti sebuah medley (lagu-lagu album pertama) dipersembahkan secara instrumental selama lebih 4 minit”, kata Zizie Row mengemukakan penjelasan.
Pengkaryaan KHEROW mendapat sokongan padu dari sebuah label berpengkalan di Perlis Indera Kayangan di mana FAITHCRAFT PRODUCTIONS yang bertanggungjawab mengeluarkan “Bintang Timoer” dilaporkan juga akan menyalurkan komitmen mereka terhadap produksi “Aveciena”. Turut dimaklumkan, KHEROW bakal berkunjung kali kedua ke Indonesia berikutan adanya perancangan melakukan tour di Jakarta pada penghujung tahun 2014 ini.
INFORMASI:
2014-05-21
14/06/2014 - KUAT TAK SEMESTINYA HEBAT SHOWCASE 2014
TARIKH: 14 JUN 2014 | LOKASI: MKB STUDIO, BANGI | MASA: 3PTG | TIKET: RM10 | BAND: SILENT'DRA / REHEARSE / TONGUE TWISTER / ENDZEIL / SACWRATH / 1300 / ACO/ABO / DESECRATE / INCRIES / CAKERAWALA / ARHEUM REVERT | ANJURAN: ROADS RECORD / TFHM PRODUCTION / FRIENDS
INFORMASI:
08/06/2014 - STRAIGHT TO YOUR FACE: REMATCH II
TARIKH: 8 JUN 2014 | LOKASI: 10TH MILE COMMUNITY HALL, KUCHING | MASA: 3PTG | TIKET: RM40 (PRESALE) / RM60 (DOOR) | BAND: ABORTED / AKAGRISH / OSSUARY / SICKSOCIETY / 13 / DANCE ON YOUR GRAVE / BENCANA / KOLBENFAUST / DEATH INFERNAL / WINGS OF AREILIA | ANJURAN: THORNWIRE RECORDS
INFORMASI:
facebook.com/STYFEVENT
facebook.com/thornwire.recs
PEMBATALAN DEFILED / SARAWAK METAL REGIME 2
Borneo bakal menerima kunjungan Death Metal ternama DEFILED dari Jepun yang dijadualkan turut beraksi dalam SARAWAK METAL REGIME 2 pada 31 Mei 2014 di Apollo KTV & Lounge, Sibu. Pihak penganjur telah mula membuat persiapan rapi untuk sebuah acara yang bakal menjadi sejarah buat persada metal Malaysia Timur, khususnya Sarawak. Warga metal di sana kian teruja dan menghitung hari tibanya penampilan DEFILED berserta beberapa band tempatan terpilih di hadapan mata mereka sendiri. Namun, perancangan tidak selalunya dapat diterjemahkan dengan perlaksanaan. Kegusaran masyarakat awam, serongnya pandangan umum terhadap muzik dan gerakan metal underground di negara ini seakan tiada titik akhirnya. Tiada daya tiada upaya untuk golongan minoriti metal ini menyangkal dan menghalang semua persepsi buruk yang dilemparkan. EKSTRIM itu apakah membawa maksud pengganas? Metal Extremist itu adakah disama-ertikan sebagai penjenayah?? Tiada siapa mahu situasi ini diulang berulang kali. Atas dasar keakuran kepada kehendak persekitaran, kehadiran DEFILED di Bumi Kenyalang dan keseluruhan SARAWAK METAL REGIME 2 itu sendiri diputuskan BATAL.
Berkaitan pembatalan tersebut, berikut adalah PENGUMUMAN PENTING dari pihak DEFILED dibuat pada 19 Mei 2014 melalui laman facebook.com/defiled:
Bagi memberikan lebih penjelasan kepada situasi sebenar yang mendorong pembatalan Sarawak Metal Regime 2, Tazudin Hj Murni [facebook.com/xudin] mewakili pihak penganjur mengemukakan KENYATAAN RASMI bertarikh 20 Mei 2014:
BERKAITAN:
2014-05-20
DESECRATE - EKSPERIMENTASI REHEARSAL DEMO 2014
DESECRATE muncul di celahan hiruk-pikuk underground tempatan dengan sesuatu yang segar identitinya. Perisa mereka adalah kepelbagaian rempah-ratus genera, malah pihak DESECRATE sendiri lebih terbuka menerima apa jua definasi dan kategori yang pendengar ingin letakkan ke atas bentuk muzikal mereka. Eksperimentasi seolah-olah menjadi tunjang utama dalam lagu-lagu buatan band ini. Kombinasi jenisan muzik samada berasaskan Death, Thrash dan Grindcore berlanjutan ke variasi Industrial, Sludge dan Progressive Metal diadun kemas disusun rapi dalam menentukan haluan dan landasan DESECRATE.
Nama ini sedikit asing di mata underground tanahair. Diasaskan di Lembah Kelang dengan keanggotaan terdiri daripada Fariz Fury (vokal), Zul Lander (gitar), Muniff (bass) dan FJ (dram), DESECRATE mengharapkan lahirnya “Rehearsal Demo 2014” sebagai satu material yang akan membuka langkah perjalanan mereka, tersebarnya nama DESECRATE dan pemangkin usaha band ini mencerna revolusi muzikal underground di negara ini.
Rehearsal Demo 2014 mempertaruhkan 4 buah lagu bertemakan greenpeace, anti nuklear dan bebas radio-aktif. Empat lagu yang tersenarai dalam rilisan tersebut adalah sebagaimana susunan berikut:
1. Preaching The Words Of Violence
2. Divine Remanufactured
3. System Disintegration
4. Desecrated Alliance
Promosi memperkenalkan DESECRATE dan rilisannya Rehearsal Demo 2014 sedang giat dilaksana. Mereka baru sahaja mengambil bahagian dalam gig Budak Jahat II pada tanggal 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari dan seterusnya dijangka tampil dalam di acara Kuat Tak Semestinya Hebat, dijadualkan pada 14 Jun nanti di Bangi, Selangor. Berikan tumpuan anda terhadap band ini. DESECRATE sedang membina jatidiri dalam format muzikal mereka. Paling tidak, mereka mencipta satu kelainan berbanding seribu kebiasaan!!
INFORMASI:
BERKAITAN:
EXOTHERMIX - DEMO 1.0 "EXTREME DISASTER"
Petaling Jaya menawarkan sebuah lagi penjana Thrash Metal berpotensi. Di situ lahirnya kumpulan EXOTHERMIX hasil gabungan tenaga 3 anak muda berbakat besar; Yazzif Black (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah Nukehammer (dram). Kedatangan mereka bertiga dengan taruhan demo pertama "Extreme Disaster" bukan sekadar ingin memeriahkan suasana yang sediada, tetapi bersama misi memperkasakan irama Thrash Metal tulen juga visi mengangkat scene Thrash Metal Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan dihormati.
"Sebenarnya, kami wujud dari serpihan band SLAYDEATH dan juga BACTERIA (generasi 2013). BACTERIA waktu itu terdiri dari Man16 (vokal), Black (gitar), Wai (gitar), Angah (bass) dan Mamat (dram) di mana sempat juga beraksi di Kuala Lumpur Headbangers Metalfest 2013. Posisi saya sebenarnya bass, tetapi untuk teruskan perjuangan dalam Thrash Malaysia ni saya ambil langkah pro-aktif bermain dram untuk EXOTHERMIX. Al-maklum, susah nak dapatkan pemain dram, jadi saya ambil tanggungjawab tersebut", cerita Angah serba-sedikit tentang bermulanya EXOTHERMIX dan penglibatan beliau dalam band ini.
Demo pertama berjudul "Extreme Disaster" baharu sahaja dikeluarkan, secara rasmi dilancarkan pada 17 Mei 2014 sempena penglibatan EXOTHERMIX dalam gig Budak Jahat II di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Demo bermuatan 5 buah lagu ini dirakam di D'Chorus Studio, Shah Alam pada 6 Mei 2014 di bawah kendalian jurutera bunyi Sunny Razak. Kesemua lagu adalah ciptaan bersama ahli-ahli EXOTHERMIX sendiri manakala lirik pula ditulis oleh Yazzif Black. Angah Nukehammer juga menyalurkan kreativitinya menghasilkan kulit demo dengan grafik dan susunatur yang nampak menarik. Berikut adalah senarai lagu yang terkandung dalam Demo 1.0:
1. Extreme Disaster
2. Total Death
3. Thrash Mentality
4. Infinite Brutality
5. Kemusnahan (bonus track)
"Untuk pengetahuan, lagu-lagu dari demo tu kami siapkan dalam tempoh dua bulan. Itu pun selepas dapat jemputan buat persembahan kat gig (Budak Jahat II) tempohari. Mungkin hasil produksi agak kurang memuaskan.. dan dram saya agak keciciran. Maklumlah, benda baru.. cuma berbekalkan semangat kami teruskan impian kami", ujar Angah dalam nada rendah diri. "Saya kurang puas hati dengan skill dram saya, tapi rata-rata kawan-kawan faham dan terus beri kata semangat. Terima kasih tidak terhingga. Saya, Wai dan Black memang rapat dan kami boleh bertoleransi soal permainan", tambah beliau, pemilik nama sebenar Mohammad Shafiq Shariffuddin.
Hasil pendengaran kesemua 5 buah lagu dari demo ini, EKSTRIM berpendapat inilah rupa sebenar Thrash Metal sejati, tanpa putar-belit, tanpa teknikal keterlaluan. Agresi yang terus ke muka, menerobos telinga dan menghentam dada. Kualiti underground tidak memerlukan tingginya profesionalisma dalam kemahiran mengendali instrumen mahupun komposisi lagu, tetapi kejujuran yang menjadi roh sebenar sesebuah produk underground, semangat dan kesungguhan yang dijiwai serta cinta kepada apa yang dilakukan. siapa sangka, "Extreme Disaster" yang masih panas di pasaran dimaklumkan mendapat sambutan menggalakkan malah habis dijual sebanyak 50 salinan. Lirik kesemua lagu dalam demo ini turut dicetak di kulit dalam dengan harapan agar pendengar memahami lebih jelas akan mesej-mesej yang mahu disampaikan EXOTHERMIX. War!! Total Death... War!!!
INFORMASI:
BERKAITAN:
SECRET AGENDA - TIDAK LAGI BERAHSIA...
Band ini berdiri atas nama sebuah projek gabungan beberapa ahli daripada LYING KISSES dan ROCKTONE. Ditubuhkan lebihkurang dua bulan yang lalu (sekitar Mac 2014), band yang lebih cenderung ke arah Groove Metal diberi gelaran SECRET AGENDA. Anggotanya terdiri daripada Fathi (vokal), Atan (gitar), Caon (gitar), Aman (bass) dan Nor (dram).
“Muzik kami ini lebih kepada Heavy / Power Groove Metal di mana rujukan lebih tertumpu kepada American Metal. Line-up semua dari Trolak kecuali aku seorang sahaja yang menetap di Bukit Beruntung tetapi masih boleh dianggap berada di bawah komuniti Rawk One Army”, jelas Fathi Ismail, vokalis SECRET AGENDA.
Menurut Fathi juga, SECRET AGENDA telahpun merakam dua buah lagu, dikeluarkan dalam format single, diedar semasa persembahan julung kali mereka di Budak Jahat II, 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Single 2014 tersebut mengandungi dua buah lagu; The Dark Mission dan Muta"ajarif. Single ini adalah pembuka langkah SECRET AGENDA yang mensasarkan pengeluaran sebuah EP dijadualkan rilis pada Ogos / September akan datang.
“Kami dah record dua lagu. Target nak rilis EP selepas raya nanti, Insya-Allah. Kami ada mengedarkan single dua lagu tersebut semasa gig Budak Jahat II. Bawa pun dalam jumlah yang tak banyak. Limited edition. Awal-awal lagi dah diserbu kawan-kawan di sana”, ujar Fathi yang tampak gembira dengan sokongan rakan-rakan terhadap SECRET AGENDA.
Kemunculan di acara Budak Jahat II dijadikan platform buat SECRET AGENDA untuk menguji kemampuan mereka beraksi langsung di pentas di samping melihat sejauh mana respon audien terhadap mereka. Pengalaman itu pasti cukup berharga buat band ini mencorakkan perjalanan mereka seterusnya. Menariknya, kesemua lagu yang dipersembahkan dalam gig tersebut adalah lagu-lagu ciptaan sendiri (termasuk dua lagu Single 2014 tersebut); Jiwa Besi, The Dark Mission, Raja Perwira dan Muta"ajarif.
Buat masa ini SECRET AGENDA masih belum memiliki laman web mahupun facebook tetapi anda di luar sana yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang band ini bolehlah berhubung dengan Fathi Ismail di: facebook.com/fathi.ismail.9
BERKAITAN:
2014-05-19
LIPUTAN: BUDAK JAHAT II
BUDAK JAHAT II
17 MEI 2014
PENNYLANE STUDIO
SUNWAY MENTARI
Hakikatnya, sudah lebihkurang empat tahun saya tidak menjejakkan kaki di lantai gig. Untuk makluman, gig terakhir yang saya hadiri/sertai adalah KL METALCAMP III (2 Mei 2010, One Café, Kuala Lumpur) dan EKSTRIM TERRORISM IV (19 Jun 2010, KB Bazaar, Kota Bharu – itupun disebabkan band saya sendiri OMEN mengambil bahagian). Entah mengapa, hati ini terasa terbuka untuk kembali meninjau suasana gig metal tempatan; Budak Jahat II bertarikh 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Ada beberapa nama (band) yang sedikit sebanyak menarik saya untuk ke sana dan sesungguhnya merasakan perlu ditunaikan kebertanggungjawaban EKSTRIM sebagai Rakan Media kepada gig ini.
Setelah berdolak-dalik dengan diri sendiri, saya membuat keputusan bertolak dari Selayang pada jam lebihkurang 3 petang. Itupun sesudah menyelesaikan tanggungjawab saya kepada keluarga; menyediakan makan tengahari, kerja sekolah anak-anak dan sebagainya. Saya kira saya sudah sedikit lewat memandangkan informasi di flyer menyatakan gig ini bermula jam 2 petang. Ditambah pula dengan kesesakan lalu-lintas sepanjang Lebuhraya Persekutuan serta sesat mencari lokasi di mana letaknya Pennylane Studio ini (maklumlah, ini pertama kali saya ke sana), akhirnya saya tiba destinasi dituju tepat jam 4 petang. Setelah bertanya kepada salah seorang sahabat metal di situ, rupanya acara masih belum bermula. Alhamdulillah saya tidaklah terlewat.
Lebihkurang jam 4:30 petang saya memanjat satu persatu anak tangga ke pintu masuk Pennylane Studio, bertemu penjaga tiket berwajah bengis tapi mesra (Zul a.k.a Narraka Asyura), melunaskan bayaran RM15 dan sempat juga meneliti aturcara (susunan persembahan band-band) pada gig tersebut. Gig dibuka oleh EXOTHERMIX, disusuli SECRET AGENDA, DESECRATE, MU-ARU, PUAKERYSM, HELDRASIL, BATTLE HYMN dan CORONATION. Jujur mahu dikata, agak terkilan juga bilamana dua nama band dipotong menandakan mereka tidak dapat terlibat sama menjayakan Budak Jahat II, membatalkan penyertaan di saat akhir mungkin. Sedangkan IMPERIAL dan PUTREFIED REMAINS adalah antara nama-nama yang mempengaruhi saya untuk datang ke sini. Tidak mengapa, sokongan saya kepada muzik metal tempatan tiada belah-baginya. Malah, ini peluang keemasan saya untuk menjengok aksi dan kemampuan sebahagian band-band muda kita pada hari ini.
EXOTHERMIX – Satu nama baru yang begitu asing kepada saya. Tidak pernah mendengar nama mereka sebelum ini, apatah lagi menyaksikan aksi-aksi mereka di pentas. Dibarisi tiga ahli; Yazzif (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah (dram) [Nota: Maaf saya tidak mengenali mereka dan maklumat line-up ini saya perolehi dari rilisan demo “Extreme Disaster” mereka], EXOTHERMIX mempamerkan aksi yang bersemangat, persembahan-persembahan yang cukup garang, agresif dan sound yang saya kira cukup padu selaras dengan hentaman Thrash Metal mainan mereka. Menurut vokalisnya, band ini baru dua bulan lalu ditubuhkan. EXOTHERMIX mengalunkan beberapa lagu dari Demo “Extreme Disaster” mereka termasuklah Extreme Disaster dan Thrash Mentality. Satu persembahan berwibawa dari sebuah band yang berpotensi. Sebagai pembuka acara, saya harus memberikan tabik hormat saya kepada semangat EXOTHERMIX walaupun kuantiti penonton pada ketika itu boleh dihitung dengan jari. Tahniah!
SECRET AGENDA – Sebuah unit yang pada perkiraan saya datang dari kelompok Rawk One Army (Rawang's Music Community) atau Bukit Beruntung kalau tidak silap pendengaran saya. Mereka juga memaklumkan bahawa SECRET AGENDA sebuah band baru ditubuhkan dan ini merupakan aksi pentas sulung mereka. Gabungan lima pemuzik ini memulakan persembahan dengan lagu berjudul ‘Jiwa Besi’. Maaf kiranya telinga saya kian kurang tajam untuk menangkap apakah lagu-lagu (judul) yang dimainkan seterusnya. Yang pasti, persembahan mereka bertenaga, ligat, sound yang penuh (mungkin disebabkan mereka band yang lengkap; penggunaan dua gitar, vokalis tanpa instrumen). Mereka adalah kumpulan Heavy Metal / Thrash yang perlu diberi perhatian!
DESECRATE – Juga nama baru yang singgah di pemerhatian saya. Mereka pada hari tersebut tampil dengan konsep dual-vocal. Dengan jumlah kehadiran (crowd) yang kian meningkat, DESECRATE dilihat sebagai band yang semakin menghangatkan suasana gig. Sokongan penonton kepada aksi band ini diperkukuhkan oleh pesta headbanging dan moshing bertali arus. Memulakan persembahan dengan lagu berjudul ‘Preaching The Words Of Violence’, DESECRATE menyalurkan muzikal yang agak bercampur-aduk generanya dan ketika berdiri menyaksi dan meneliti satu-persatu lagu yang dipersembahkan, saya menafsir mereka berada di landasan Grindcore, memandangkan adanya konsep dua vokal, penyampaian saling berbalas jeritan, serta sound yang bingit juga. DESECRATE menjadikan gig Budak Jahat II ini pentas mempromosi rilisan “Rehearsal Demo 2014” mereka. Hebat dan berbakat!
MU-ARU – Unit Death-Thrash dari Muar yang semakin meningkatkan prestij mereka di persada muzik berat tanahair. Ini juga band yang mana salah seorang ahlinya (Buang – vokal/bass) merupakan penganjur kepada berlansungnya gig Budak Jahat II – di bawah nama G.A.H Production. Sebagaimana dinyatakan, mereka pada hari tersebut muncul bersama seorang pemain dram undangan. Empat buah lagu dipersembahkan dan semuanya dipetik dari “Evil Sadistic Mythology” Demo 2013 mereka; Returning Vengeance, Time Will Come, Puaka Mythology serta Freezing Moon (sebuah saduran lagu asal Mayhem). Jujur mengikut pendapat saya, sound gitar agak kurang kedengaran, terasa jauh dan sedikit tenggelam (atau mungkin kedudukan saya yang agak jauh terkebelakang kerana gentar dengan suasana lantai gig yang menggila, haha!). Namun ia bukan alasan untuk para penonton tidak bergembira malah keseronokan para hadirin dan hadirat sekalian digambarkan dengan hayunan kepala tanpa henti. Sebagai anak Johor (bukan berniat bersifat kenegerian), saya bangga melihat adanya MU-ARU meneruskan warna-warni arena metal senegeri, merilis material dan beraksi di pentas. Ini bakat besar yang sedang mengambil tempatnya di mata Metal Malaysia.
PUAKERYSM – Suhu persekitaran kian menaik menerusi penampilan kuasa Thrash Rawang ini. Karisma Zarn (vokal) dan rakan-rakan sekumpulannya meletakkan PUAKERYSM dalam kelas yang tersendiri. Mereka memperagakan beberapa lagu yang dipetik dari “Conspiracy Of Madness” EP 2013 mereka. Turut disampaikan sebuah saduran ‘Breaking The Law’ lagu asal Judas Priest. Persembahan energetik, Thrash yang kencang serta sound yang mantap menjadikan PUAKERYSM sebuah band yang tidak boleh dinafikan kemampuan mereka. Aksi PUAKERYSM ditutup dengan lagu ‘Conspiracy Of Madness’ mengakhiri sessi petang gig Budak Jahat II.
Jam 7:15 petang majlis direhatkan buat seketika untuk memberi ruang kepada pengunjung dan band-band terlibat menikmati udara luar, mendapatkan persegaran dan yang paling penting menghormati waktu masuknya Maghrib. Berhenti untuk Maghrib – sesuatu tindakan mulia yang tidak pernah dipandang oleh media umum dan perdana tetapi yang mereka nampak hanyalah kesesatan yang sengaja diada-adakan. Kesempatan ini saya gunakan untuk minum sambil berbual dengan beberapa kenalan (yang sebenarnya tidak pernah bersua-muka sebelum ini, hanya di laman facebook) serta menunaikan solat Maghrib di Stesen Petrol Shell berdekatan. Semoga Maghrib itu menjadi kenangan manis buat saudara Daeng Andika (Jugra) dan Yunus Azinzan (MTD Production).
HELDRASIL – Acara disambung oleh HELDRASIL, sebuah jentera Melodic Death Metal yang mula mencipta nama menerusi “Son Of Darkness” EP 2010. Persembahan pada awal malam itu mereka dibarisi oleh 3 ahli sahaja. Ketika saya naik dan masuk semula ke Pennylane Studio, HELDRASIL telahpun memulakan persembahan mereka. Saya kira mereka menyampaikan lagu-lagu yang diambil dari EP 2010 tersebut termasuklah sebuah lagu baru yang diperdengarkan dalam aksi mereka jika tidak silap saya. Gaya persembahan HELDRASIL agak santai di pentas namun sokongan penonton di lantai begitu menggalakkan. Penyampaian HELDRASIL mengikut pandangan saya adalah mantap dan kemas. Terbaik!
Ketika ini mula tersebar satu berita yang kurang enak. Gig lain pada hari yang sama itu iaitu JASAD (Brutal in Malaysia) di U-Rock, Subang Jaya telah diserbu pihak penguasa. Setelah berbincang dan memperhalusi keadaan (apatah lagi adanya khabar angin bahawa pihak berkuasa juga akan ke Pennylane Studio), maka penganjur mengambil langkah memberhentikan acara – walaupun awalnya agak kurang pasti samada berhenti sementara (disambung kemudian) atau setakat itu sahaja. Jujur, saya agak kecewa kerana CORONATION yang telahpun mula naik ke pentas dan bersedia untuk beraksi serta BATTLE HYMN, dua band yang agak saya tunggu-tunggu juga untuk saya lihat dalam gig ini tidak dapat beraksi. Apapun, tindakan pemberhentian oleh penganjur harus dipuji dan diterima baik demi kepentingan ramai. Akhirnya, pemberhentian pada jam lebihkurang 9:00 malam itu muktamad dan berakhir hanya di situ. Berikut adalah kenyataan rasmi dari pihak penganjur.
KENYATAAN G.A.H PRODUCTION:
“Budak Jahat II 2014 berakhir separuh jalan.. walaupun tiada ada yang terjadi tetapi persediaan perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak terlibat.. kepada kawan-kawan yang hadir, aku memohon ampun dan maaf atas kekurangan gig ini.. kepada dua band terakhir yang tidak dapat perform, aku agak terkilan dan berharap dapat kembali melihat anda beraksi di masa akan datang.. macam biasa di mana-mana gig tujuan aku adalah untuk berjumpa kawan-kawan baru dan lama.. itu sahaja objektif yang aku rasa tercapai dalam gig kali ini.. bagi pihak Mu-Aru pula, jutaan terima kasih kepada crowd yang menggila!! Kepada pihak yang berkenaan, kami bukan haiwan untuk diburu dan dipersalahkan sepanjang masa.. kami berhibur dengan cara kami.. tidak pernah sesat tidak pernah lupa diri.. 3 gig dalam satu hari, semua berakhir separuh jalan.. namum semangat kami tidak akan pernah luntur!! anda lontar batu ke arah kami dan akan kami simpan batu itu jadi penguat kami di masa akan datang.”
Syukur. Saya tidak melihat ketidakupayaan Budak Jahat II diteruskan dengan persembahan dari baki band; Coronation dan Battle Hymn sebagai kekurangan penganjuran dan keberlangsungan gig ini. Saya telah lama faham dengan lumrah dan resam scene muzik metal kita. Ditindas, diganggu, dipandang serong. Kita menerimanya dengan lapang dada dan perjuangan, pengorbanan menghidupkan, memartabatkan muzik metal di negara ini sememangnya sesuatu yang tidak akan pernah selesai. Biarlah, yang penting kita tahu siapa, apa dan di mana kedudukan kita.. itu sudah cukup membahagiakan.
Kuantiti kehadiran penonton di Budak Jahat II tidaklah ramai, mungkin sekitar 50-60 orang termasuk bandboy. Jumlah ini sebenarnya sudah cukup untuk sebuah gig berskala kecil. Jangan dijadikan jumlah kehadiran kayu pengukur tahap kejayaan sesebuah gig, apatah lagi Budak Jahat II ini berlangsung pada sama harinya dengan dua gig lain di sekitar Lembah Kelang; Jasad (Brutal in Malaysia) di U-Rock, Subang Jaya dan Nonserviam (Album Launch) di Rumah Api, Ampang. Kelebihan (di mana inilah yang saya lihat sebagai kejayaan) Budak Jahat II adalah sebagai satu medan untuk band-band muda, band-band generasi baru mempamirkan aksi langsung mereka di pentas sambil mempromosikan rilisan-rilisan baru mereka. Ini pentas yang menjadi pemangkin untuk band-band sebegini mengorak langkah untuk lebih ke hadapan. Ini pentas di mana Malaysia tidak putus generasi Metal-nya mewarisi menyambung legasi Metal terdahulu, meneruskan revolusi Metal di hari-hari depan. Awas: Ia tidak akan mati walau dicincang lumat, dihina dicerca tanpa henti!
Bagi diri saya sendiri, saya cukup berbangga dengan anda semua; G.A.H Production sebagai penganjur, band-band yang terlibat menyertai gig ini serta semua rakan-rakan yang meluangkan masa menghadiri Budak Jahat II. Anda membuatkan scene Metal Malaysia terus bernyawa! Tahniah!!!
Budak Jahat II memberi saya peluang untuk berjumpa bersua muka dengan rakan-rakan lama, kenalan-kenalan baru, mendapatkan produk-produk rilisan dari band-band terlibat terutamanya. Benar kata Wan Matt (orang kuat Gempita Records), “Metal Malaysia gah membina reputasinya”. Benar jua kata Jamal (HePeace Band T-Shirt), “Metal scene mengeratkan silaturrahim sesama kita”. Terima kasih semua!
Nota: Maaf jika kualiti foto yang saya kembarkan agak kabur. Koleksi lengkap gambar-gambar yang saya ambil semasa Budak Jahat II boleh dilihat di facebook saya, laluan berikut: Budak Jahat II, 17/05/2014, Pennylane Studio, Sunway Mentari
Dilaporkan oleh: Pyan Nathias – 19 Mei 2014
Langgan:
Catatan (Atom)