Petaling Jaya menawarkan sebuah lagi penjana Thrash Metal berpotensi. Di situ lahirnya kumpulan EXOTHERMIX hasil gabungan tenaga 3 anak muda berbakat besar; Yazzif Black (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah Nukehammer (dram). Kedatangan mereka bertiga dengan taruhan demo pertama "Extreme Disaster" bukan sekadar ingin memeriahkan suasana yang sediada, tetapi bersama misi memperkasakan irama Thrash Metal tulen juga visi mengangkat scene Thrash Metal Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan dihormati.
"Sebenarnya, kami wujud dari serpihan band SLAYDEATH dan juga BACTERIA (generasi 2013). BACTERIA waktu itu terdiri dari Man16 (vokal), Black (gitar), Wai (gitar), Angah (bass) dan Mamat (dram) di mana sempat juga beraksi di Kuala Lumpur Headbangers Metalfest 2013. Posisi saya sebenarnya bass, tetapi untuk teruskan perjuangan dalam Thrash Malaysia ni saya ambil langkah pro-aktif bermain dram untuk EXOTHERMIX. Al-maklum, susah nak dapatkan pemain dram, jadi saya ambil tanggungjawab tersebut", cerita Angah serba-sedikit tentang bermulanya EXOTHERMIX dan penglibatan beliau dalam band ini.
Demo pertama berjudul "Extreme Disaster" baharu sahaja dikeluarkan, secara rasmi dilancarkan pada 17 Mei 2014 sempena penglibatan EXOTHERMIX dalam gig Budak Jahat II di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Demo bermuatan 5 buah lagu ini dirakam di D'Chorus Studio, Shah Alam pada 6 Mei 2014 di bawah kendalian jurutera bunyi Sunny Razak. Kesemua lagu adalah ciptaan bersama ahli-ahli EXOTHERMIX sendiri manakala lirik pula ditulis oleh Yazzif Black. Angah Nukehammer juga menyalurkan kreativitinya menghasilkan kulit demo dengan grafik dan susunatur yang nampak menarik. Berikut adalah senarai lagu yang terkandung dalam Demo 1.0:
1. Extreme Disaster
2. Total Death
3. Thrash Mentality
4. Infinite Brutality
5. Kemusnahan (bonus track)
"Untuk pengetahuan, lagu-lagu dari demo tu kami siapkan dalam tempoh dua bulan. Itu pun selepas dapat jemputan buat persembahan kat gig (Budak Jahat II) tempohari. Mungkin hasil produksi agak kurang memuaskan.. dan dram saya agak keciciran. Maklumlah, benda baru.. cuma berbekalkan semangat kami teruskan impian kami", ujar Angah dalam nada rendah diri. "Saya kurang puas hati dengan skill dram saya, tapi rata-rata kawan-kawan faham dan terus beri kata semangat. Terima kasih tidak terhingga. Saya, Wai dan Black memang rapat dan kami boleh bertoleransi soal permainan", tambah beliau, pemilik nama sebenar Mohammad Shafiq Shariffuddin.
Hasil pendengaran kesemua 5 buah lagu dari demo ini, EKSTRIM berpendapat inilah rupa sebenar Thrash Metal sejati, tanpa putar-belit, tanpa teknikal keterlaluan. Agresi yang terus ke muka, menerobos telinga dan menghentam dada. Kualiti underground tidak memerlukan tingginya profesionalisma dalam kemahiran mengendali instrumen mahupun komposisi lagu, tetapi kejujuran yang menjadi roh sebenar sesebuah produk underground, semangat dan kesungguhan yang dijiwai serta cinta kepada apa yang dilakukan. siapa sangka, "Extreme Disaster" yang masih panas di pasaran dimaklumkan mendapat sambutan menggalakkan malah habis dijual sebanyak 50 salinan. Lirik kesemua lagu dalam demo ini turut dicetak di kulit dalam dengan harapan agar pendengar memahami lebih jelas akan mesej-mesej yang mahu disampaikan EXOTHERMIX. War!! Total Death... War!!!
INFORMASI:
BERKAITAN:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan