Memaparkan berita-berita ringkas, terkini dan perkembangan semasa dari: PUAKERYSM, ANTABOGA, INFERNAL VOID, USUS, PUNAHRANAH, ATARAXIQUE, NIHILIST VOLCANIC TERROR, AGONIZED, DYSGUSTED dan SYMPHONY JIMBALANG.
PUAKERYSM
Rejimen Thrash Rawang PUAKERYSM menjanjikan sebuah rilisan baru dalam tahun 2014 ini. Perancangan ini diperkuatkan oleh vokalis utamanya Zarn yang dilaporkan berkata: “Semua lagu telahpun ada disediakan cuma mencari waktu yang benar-benar sesuai untuk memulakan kerja-kerja rakaman”. Rilisan baru itu nanti dijangka meneruskan manifestasi Thrash kental sebagaimana yang dibuktikan PUAKERYSM melalui usaha terdahulu, “Conspiracy Of Madness” EP 2013. Zarn bersama rakan-rakannya; Ejai (gitar), R-Man (bass/vokal) dan Adhy (dram) baru sahaja tampil mempamirkan persembahan bertenaga dalam gig Budak Jahat II bertarikh 17 Mei 2014 di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Sambil itu, Edisi “Reprint 2014” untuk EP “Conspiracy Of Madness” bermuatan 5 buah lagu telah diedar dan boleh diperolehi dari pihak band sekarang! Rasai bahang Thrash Metal dari komuniti Rawk One Army!!
ANTABOGA
Black Metal mistikal ANTABOGA kembali mengalunkan irama penuh keseraman mereka melalui karya terkini “Mayang Mistik II (Semayam Sihir)”, dijadual rilis secara rasmi pada 2 Jun 2014. Menurut laporan Hantu Kepalang (vokal), Mayang Mistik II adalah kesinambungan dari rilisan mereka yang dahulu yang lebih berunsurkan amalan sihir gelap!! ANTABOGA sebelum ini mengeluarkan album pertama “Mayang Mistik” pada 5 Mei 2013 lalu. “Mayang Mistik II (Semayam Sihir)” CD 2014 akan menghidangkan 10 buah lagu, dikeluarkan hanya sebanyak 50 cetakan sahaja! Dapatkan album ini nanti yang dijual pada harga RM30 (edaran tangan) / RM35 (melalui pos).
INFERNAL VOID
Begitu lama tiada kedengaran berita tentang INFERNAL VOID, sebuah unit Death Thrash Metal dari pekan Kampong Gajah, Ipoh. Band ini berada di persada muzik metal sejak era 90’an lagi, malah merilis demo pertama “The Rise Of Life” pada tahun 1994. Tanpa disangka, malah tiada amaran pun yang dikeluarkan, INFERNAL VOID kembali dengan bekalan album sulung berjudul “Anger Grow” mengandungi sejumlah 10 buah lagu + outro. Album dicetak profesional ini boleh diperolehi dari pihak pengedar METALZONE DISTRO pada harga RM20 (+RM3 untuk poslaju). Promo: youtu.be/vcv-Ko7koHs
USUS
Sandakan Grinder dikenali sebagai USUS diberitakan akan merilis Promo 2014 berjudul “Built For The Kill”. Promo CD ini dikeluarkan oleh EARBLAST RECORDS [Kat#: ER014] dilancarkan pengeluarannya pada 5 Jun 2014 dalam kuantiti terhad 50 keping sahaja! Menurut maklumat pihak label, USUS menampilkan bekas pemain dram KILATUS dan rilisan promo “Built For The Kill” ini didedikasikan kepada mereka-mereka yang menggilai irama Grind/Gore.
PUNAHRANAH
Gut-Defecating-DeathGrind. Begitulah bunyinya definasi aliran muzik PUNAHRANAH. Trio dari Petaling Jaya ini terdiri daripada Azan (gitar/vokal), Bess (bass/vokal) dan Ashie (dram). Dipengaruhi band-band seperti Brutal Truth, Decapitated, Cattle Decapitation dan Cephalic Carnage, PUNAHRANAH dilaporkan berada di peringkat akhir pengeluaran material terbaharu, “Perceive The Ignorance” EP 2014. Rilisan ini bakal menjadi susulan terbaik kepada “First Chapter Of Killing Process” EP 2010. Sebagai introduksi kepada penangan DeathGrind buatan PUNAHRANAH yang bakal diketengahkan dalam “Perceive The Ignorance”, mereka memperdengarkan sebuah lagu dari EP tersebut, berjudul Deranged Nation.
ATARAXIQUE
Dari Kuala Lumpur, band Metal Progresif dengan keanggotaan 6 ahli bergelar ATARAXIQUE baru sahaja merilis karya pertama mereka berupa sebuah EP selftitled mengandungi 3 buah lagu. Terdiri daripada Prthiv (vokal), Gerard (gitar), Johan (gitar), Sharon (kibod), Howe (bass) dan Christian (dram), EP tersebut mula dipasarkan pada 17 Mei 2014 semasa turut sama mengambil bahagian dalam showcase NonserviaM - "A Spectral Ascension" Album Launch di Rumah Api, Ampang. ATARAXIQUE turut dijadualkan beraksi di acara A Taste Ov Sin - Ataraxique's Penang EP Launch Show pada 14 Jun 2014 di Soundmaker Studio, Pulau Pinang. Sesiapa yang meminati band-band seperti Dream Theater, Dimmu Borgir, Symphony X, Iron Maiden dan Lamb of God bolehlah segera dapatkan EP dari mereka. Dengarkan Pride di: youtu.be/JM4CVx0fc2Q
NIHILIST VOLCANIC TERROR
Organisasi Bestial Black/Death Sabah bergelar NIHILIST VOLCANIC TERROR atau sering disebut NVT mengeluarkan sebuah rilisan berjudul “Torment in Hell - Rehearsal in Hell 666 (Total Pain & Death!!!). Rilisan rehearsal dalam format Pro-CDR ini mengandungi 5 buah lagu, termasuklah sebuah cover lagu asal Inquisition berjudul ‘Crush the Jewish Prophet’. “Torment in Hell...” diriliskan pada 1 Jun 2014, terhad kepada 50 salinan dan diedarkan pada harga RM7 (melalui tangan) / RM12 (pos berdaftar). Hubungi Jack A.C. (vokal) di facebook.com/Jack.AC.87 untuk maklumat lanjut!
AGONIZED
Ini merupakan sebuah unit Grindcore dari Sandakan, Sabah. AGONIZED dibarisi oleh Duff (bass/vokal), Endeng (gitar/vokal) dan Wan Baltan (dram). Dengan bantuan BROKEN NOISE RECORDS (sebual label dari Johor Bahru), trio ini merilis pro-tape berjudul “Consumed” mengandungi 10 buah lagu yang dirakam sekitar September 2013. Dipasarkan pada harga RM8 (tidak termasuk caj pengeposan), anda boleh menghubungi pihak label di emel: ladingsatu@gmail.com untuk pesanan dan pertanyaan lanjut! Kenali AGONIZED melalui Wan Baltan di: facebook.com/shahrizwanDj
DYSGUSTED
Brutal Death Metal Kuala Terengganu, DYSGUSTED telah mengeluarkan sebuah Promo CD berjudul “Stripped, Erected and Twisted” melalui GRUNDAR PRODUCTION [Kat#: GP010]. Promo 2014 tersebut mengandungi 3 buah lagu; Eat Pussy Alive, Bloodcum Festal dan Vomit Through Cunt. Dua lagu terakhir yang dinyatakan sebenarnya adalah versi remastered lagu-lagu lama yang pernah ditampilkan dalam “Molestation Into Violence” Promo 2003. “Stripped, Erected and Twisted” mula diedarkan pada penyertaan DYSGUSTED di gig Jasad Live in Johor Bahru (Stopzone Arena, Larkin) pada 18 Mei lalu dan masih boleh diperolehi dari pihak label pada harga (termasuk poslaju) RM16 (Semenanjung) dan RM20 (Sabah/Sarawak). DYSGUSTED yang ditubuhkan pada lewat 2001 kini dianggotai oleh Amir (vokal), Awi (gitar), Ajim (bass) dan Yoe (dram).
SYMPHONY JIMBALANG
Band Black Metal dari Pulau Pinang ini sudah agak lama menyepi. SYMPHONY JIMBALANG pernah mengeluarkan Promo 4-lagu pada sekitar tahun 2010 (keluaran Nusantarajim Productions) dan setahun kemudian turut terlibat dalam 5-way split Misanthropic Congregation Chapter II (keluaran Eastern Myth Records). Terkini, SYMPHONY JIMBALANG memaklum bahawa mereka akan tampil kembali berbekalkan sebuah rilisan berformatkan pro-tape berjudul “Sumpahan Terlakhnat”. Ianya terhad kepada 100 salinan dikeluarkan label dari Thailand, ROOTS ACTIVE PRODUCTIONS.
Kepada mana-mana pihak band, label, zine dan sebagainya yang ingin memuatkan maklumat terbaharu dalam dokumentasi BULETIN METAL MALAYSIA BIL.03/2014 akan datang, sila emel kepada ekstrimzine@gmail.com atau mesej di facebook.com/piankvlt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan