2013-11-12

PUAKERYSM - WAKIL THRASH METAL KOMUNITI RAWANG


PUAKERYSM ditubuhkan sekitar tahun 1998 di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. Pada awal penubuhan, ia dianggotai oleh Ejai selaku gitaris dan Bob sebagai pemain dram dengan menggunakan nama Puaker. Pada mulanya mereka hanyalah 'jamming suka-suka'. Lama kelamaan ia menjadi serius dan keinginan untuk menubuhkan sebuah band memuncak di hati mereka dan hal itu disuarakan oleh Bob dan terus dipersetujui oleh Ejai. Kehadiran Dhaman di posisi bass melengkapkan lagi line up mereka. Pada awal penubuhan, Puaker menggunakan khidmat Ammar selaku vokalis dan pada waktu itu mereka sering memainkan lagu-lagu dari XPDC dan FTG. Ammar meninggalkan Puaker disebabkan kurang minat untuk meneruskan perjuangan dan kemudian digantikan pula oleh Taji. Masih dengan irama XPDC & FTG selain mencuba ke arah rock kapak & heavy metal seperti Rockers, Rusty Blade dan SYJ. Mereka sekali lagi dilanda masalah dalaman apabila Taji mengambil keputusan untuk menarik diri dari Puaker di atas masalah peribadi. Dalam ketiadaan vokalis, mereka tetap aktif berlatih di mana Dhaman mengambil alih tugas selaku vokalis/bass. 


Pada tahun 2000, penampilan sulung mereka adalah di Battle Of The Band yang dianjurkan di tempat kerja mereka. Nasib tidak menyebelahi di mana Puaker hanya layak ke pusingan akhir sahaja. Pada akhir tahun yang sama, Rman diundang oleh Ejai untuk menganggotai Puaker sebagai vokalis baru. Kehadiran Rman mengubah cara penyampaian vokal Puaker. Dengan gaya vokal garau, ia nampak berbeza dari sebelumnya. Mereka semakin giat berlatih dan mula mengumpul material sendiri.

Tahun berikutnya, Puaker sekali lagi menyertai BOTB di tempat kerja mereka dan kali ini tuah menyebelahi di mana mereka berjaya menjadi juara. Dengan kemenangan itu, ada kata-kata pujian dan tak kurang juga sindiran dari segelintir pihak yang kurang berpuas hati kerana mereka dikatakan membawakan konsep yang dianggap ganas dan berunsur negatif hinggakan BOTB tempat kerja mereka diharamkan penganjurannya.

Seterusnya, mereka mula menulis lagu-lagu sendiri untuk rakaman demo pertama pada 2003, tetapi disebabkan kualiti rakaman yang tidak memuaskan, ia hanya diedarkan pada rakan-rakan sahaja. Pada waktu itu mereka mula beralih ke arah muzik yang lebih keras lagi. Konsep Death/Thrash Metal pula digarap dan seterusnya menukar nama menjadi Puakerysm yang nampak lebih sesuai dengan konsep muzik yang mereka bawa. Band-band antarabangsa dan tempatan seperti Slayer, Sodom, Sepultura, Kreator, Silent Death, Heloisa dan Athotorgh menjadi rujukan untuk konsep baru mereka ini.


Gig "Metal Sunday" merupakan medan pertama mereka dalam scene Metal tempatan yang diadakan pada tahun 2004 di Mawar Biru Club, Kuala Lumpur. Puakerysm beraksi bersama-sama Antacid, Samartary, Kilatus dan Beast Petrify. Gig sulung ini mendapat sambutan hebat dari penonton yang hadir tatkala mereka memainkan lagu 'Langsuir Liar' dari Rusty Blade dengan cara mereka tersendiri.

Sepanjang tahun 2005, mereka aktif bermain gig antaranya di Casanova Fun Pub, Ipoh dan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bersama-sama satu lagi band metal berasal dari tempat mereka iaitu Dark Blaze. Semasa di stadium Batu Kawan, mereka menjadi 'opening act' untuk UBIE & XPDC bersempena dengan acara TQX Motorsport. Kali ini Rman bertindak selaku vokalis dan gitar ritma.

Seterusnya pada 2006, Bob mengundur diri untuk menumpukan perhatian kepada kerjayanya. Ini menyebabkan Puakerysm lumpuh dan anggota-anggota yang lain membawa haluan masing-masing. Ejai dan Rman bersama-sama dengan rakan mereka dari band Dark Blaze iaitu Adhy (dram), Rani (bass) dan Giant (vokal) menubuhkan project band diberi nama Soundstone yang berkonsepkan Heavy & Thrash Metal. Sepanjang 2005-2006, Soundstone pernah menyertai pertandingan Asean Beat dan beberapa pertandingan kugiran yang diadakan di sekitar Lembah Klang.

Atas desakan rakan-rakan dan keinginan untuk menghidupkan kembali Puakerysm, Rman memanggil semula Ejai dan Dhaman untuk kembali aktif. Adhy (Dark Blaze/Soundstone) dipelawa untuk bersama Puakerysm sepenuhnya di posisi dram dan masih memilih aliran muzik Death/Thrash Metal yang mereka minati. Pada tahun 2007, Puakerysm telah menyertai pertandingan ROTTW Soundstage di Central Market, kali ini line-up dibarisi oleh Rman – gitar ritma/vokal, Dhaman – bass, Adhy – dram, manakala di posisi gitar utama digalas oleh rakan mereka iaitu Apiz memandangkan Ejai tidak dapat beraksi pada waktu itu.


Gig terakhir Puakerysm adalah di "Screaming Life Rockshow" pada 11 May 2008 di La Locos Pub Ampang. Ejai kembali semula di posisi gitar utama, manakala line-up lain masih tidak berubah. Selepas itu, kesemua ahli-ahli Puakerysm sekali lagi membawa haluan masing-masing memandangkan komitmen peribadi dan kerjaya mereka yang membataskan untuk aktif bermain muzik.

Selepas 2 tahun menyepikan diri, Rman kembali untuk meneruskan perjuangan yang tertunda. Sekali lagi terdapat perubahan line-up di mana Ejai dan Dhaman tidak dapat memberi komitmen bersama Puakerysm tetapi tetap memberi sokongan. Hal ini tidak melemahkan semangat Rman, beliau terus merekrut rakan lamanya iaitu Rani (Darkblaze/Soundstone) di posisi bass dan Matt sebagai gitar utama manakala Adhy masih lagi di posisi dram. 

Masa berlalu begitu pantas menyaksikan kronologi keanggotaan Puakerysm bagaikan datang, pergi dan kembali. Tahun 2013 Puakerysm kembali dengan semangat baru untuk untuk memeriahkan lagi scene muzik metal di Malaysia. Mutakhir, Puakerysm dianggotai oleh Zan (vokal), Ejai (gitar), Rman (bass/vokal) dan Adhy (dram).


Setelah sekian lama tertunda, Puakerysm akhirnya menerbitkan Demo-EP pertama mereka berjudul "Conspiracy Of Madness" sekitar awal September 2013. Ia memuatkan sejumlah 5 buah lagu; 1. Conspiracy Of Madness, 2. Extremely Evil, 3. Killing Machine, 4. Curse Of Dragon, dan 5. Conspiracy Of Madness (Live). EP ini masih lagi bertunjangkan aliran muzik Death/Thrash Metal, manakala lirik berkisar tentang isu sejagat dan dongeng purbakala.

Dengan kedudukan line-up sekarang serta pelancaran "Conspiracy Of Madness" EP, Puakerysm dilihat begitu rancak menyertai pelbagai acara gig, antara yang terbaharu disertai mereka adalah KL THRASHED 2013 (1 September 2013, Kuala Lumpur) dan GEGARAN MINDA PART II (28 September 2013, Ipoh). Kepada para penganjur gig di luar sana bolehlah menghubungi Puakerysm untuk menjayakan gig anda!

INFORMASI:

ARTIKEL TERDAHULU:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...