2014-10-05

AIDILADHA 1435H: KEHIDUPAN PERLUKAN PENGORBANAN


MENGHAYATI konsep korban dan pengorbanan dalam Islam sangat besar ertinya dalam kehidupan seharian kita umat Islam. Nabi Ibrahim as. sanggup berkorban anaknya Nabi Ismail as. demi seruan Allah SWT. Hikmah korban adalah mengingati peristiwa ini bagi menimbulkan rasa kesyukuran atas nikmat Allah SWT.

Dalil korban adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar, ayat 2 yang bermaksud: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Konsep ini jika difahami dan dihayati serta dilaksanakan dalam kehidupan akan membawa kejayaan dalam apa juga bidang seperti pelajaran, perniagaan dan ibadah. Berkorban masa dan tenaga akan membuahkan hasil dalam kehidupan. Ia juga memupuk semangat berkorban dalam kehidupan.

Berkaitan dengan kejayaan, orang yang berjaya dalam hidupnya, mereka ini sanggup berkorban masa dan tenaga serta wang ringgit dan nampak tujuannya dengan jelas serta menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang.

Seorang ayah dan ibu sanggup berkorban demi kejayaan anak-anaknya dalam pelajaran dan kehidupan. Begitu juga seorang anak sanggup berkorban menjaga kedua-dua ibu bapanya yang telah tua dengan penuh rasa kasih sayang.

Sesuatu kejayaan itu memerlukan pengorbanan seperti suatu perjalanan yang jauh dan sukar. Separuh daripada kejayaan itu adalah disebabkan pengorbanan kita tanpa mengira masa, tenaga dan wang.

Kehidupan ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Orang yang tidak sanggup berkorban masa dan tenaga sukar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Justeru, kejayaan seseorang biasanya diukur daripada pencapaian cemerlang dan pengorbanan yang telah dilakukan dalam kehidupannya. Memahami konsep korban dan pengorbanan dan melaksanakannya adalah perjuangan dalam kehidupan. Oleh itu setiap daripada kita mestilah sanggup berkorban demi menegakkan Islam dan melaksanakan ibadahnya yang diwajibkan ke atas kita melaksanakannya.

Dalam konsep berkorban untuk negara, kita harus sanggup berkorban nyawa demi negara yang kita cintai. Orang yang sanggup berkorban untuk negara akan mempertahankan negara daripada ancaman luar.

Setiap individu di negara ini harus mempunyai perasaan cinta akan negara untuk membangunkan negara. Selain itu rela melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian kepada negara.

Sebagai rakyat negara ini, kita bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan negara serta bersatu demi keselamatan dan kemakmuran negara. Konsep berkorban ini juga mestilah dipandang lebih luas dalam kehidupan kita. Konsep korban dan ibadah korban adalah amalan mulia dalam Islam.

Dalam kehidupan kita mestilah sentiasa berkorban sebagai contoh berkorban masa untuk kejayaan pada masa depan. Berkorban tenaga untuk kejayaan keluarga dan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Untuk melaksanakan perpaduan ummah juga semua umat Islam mestilah berkorban memberikan idea ke arah kemajuan, melaksanakan kebaikan dalam perpaduan ummah yang semakin diasak oleh pengaruh luar.

Begitu juga dalam usaha memastikan kelangsungan bangsa dan agama terutama daripada segi menegakkan agama Islam yang suci. Setiap niat suci dan kerja murni akan mendapat keredaan dan lindungan Ilahi.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu tidak dapat membeli hati manusia dengan harta. Akan tetapi kebaikan budi pekerti kamulah yang dapat menawan hati mereka." (riwayat al-Baihaqi).

Begitulah juga pengorbanan budi pekerti dalam kehidupan yang boleh menambat hati orang lain dalam kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan yang juga memerlukan pengorbanan yang besar.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba sebagaimana dia berusaha untuk menolong saudaranya. (riwayat Muslim).

Justeru, konsep korban dan pengorbanan ini sama ada daripada segi masa, tenaga, wang ringgit dan juga harta sangat penting untuk mendapat keredaan Allah SWT. Segala amalan yang dilakukan atas nama Allah SWT pasti akan mendapat balasan yang baik di sisi-Nya.

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...