2013-06-03

ZURIARTS - PERJUANGAN BLACK/DEATH MELODIK KETIMURAN


ZURIARTS mengikut sejarah awalnya ditubuhkan pada April 2004 di Seremban, Negeri Sembilan. Zuriarts ditubuhkan oleh Shah Zuriarts yang dahulunya dikenali sebgai Shah Disaster, selepas beliau keluar dari band old school Thrash Metal dari Taiping, Perak iaitu Violator kerana bertukar tempat bekerja dari Taiping ke Seremban.  Kerana minat terhadap muzik metal yang mendalam, Shah cuba membentuk sebuah band dengan mendapatkan khidmat dari kawan-kawan yang sebelum itu sudah pun mempunyai band masing-masing. Dari jamming biasa bertukar menjadi serius apabila pada suatu hari Zuriarts mendapat peluang untuk beraksi di sebuah gig pada tahun 2004 di Kuala Lumpur. Dengan kepercayaan yang diberi walaupun pada ketika itu Zuriarts belum ada sebarang rilisan, tetapi telah pun mempunyai satu lagu sendiri atas ciptaan Shah, maka telah rilis sebuah promo selepas berlangsungnya gig tersebut. 

Menurut Shah, semenjak Zuriarts ditubuhkan telah banyak berlaku pertukaran ahli pemuziknya. Berikut adalah kronologi keanggotaan Zuriarts: Pada peringkat awal penubuhan 2004-2005, Zuriarts diasaskan oleh Shah (gitar utama & vokal) disertai Mann dari band Dessiminator (gitar), As dari band Medival (bass) dan Nuar dari band Dessiminator (dram). Kemudian, pada tahun 2005 Zuriarts buat kali pertamanya bertukar ahli kerana Shah telah kembali bekerja di Taiping. Keahlian 2005-2007 adalah Shah (gitar utama & vokal), Ally (gitar), Epiet dari band Spagatory (bass) dan Fizie dari band Flake Poison (dram). Sekali lagi berlaku pertukaran ahli pada tahun 2007 ekoran Shah bertukar kerja dan bekerja di Pulau Pinang dan pada pertukaran ini telah berlaku juga pertukaran pada posisi permainan instrumen. Ahli 2007-2011 terdiri daripada Shah (bass & vokal), Amir (gitar), Azil (gitar utama) dan disertai Mizal dari band Everlasting Tales (dram). 

Pertukaran tugas dan tempat kerja dilihat begitu banyak mempengaruhi silih-ganti keanggotaan dalam Zuriarts. Atas sebab yang sama, Shah telah kembali semula ke Taiping sekitar tahun 2012 dan memaksa beliau mencari ahli baru dalam usaha untuk memastikan kesinambungan Zuriarts. Terkini, mulai tahun 2012 menyaksikan band ini hanya diterajui oleh anggota tetap iaitu Shah sendiri di bahagian bass dan vokal serta Narghawan di posisi dram. Khidmat sesionis pula digunakan untuk mengisi kekosongan jawatan gitaris seterusnya melengkapkan kelangsungan Zuriarts.

Penglibatan Shah Zuriarts dalam Violator:
Saya Shah Zuriarts atau Shah Disaster (nama ketika di awal penubuhan bersama band Violator dahulu) juga bermain untuk beberapa band lain iaitu seperti yang anda semua sedia maklum, beliau bermain untuk band VIOLATOR dari Taiping sebagai bassis. Violator yang bermain konsep Old School Thrash Metal ini dianggotai oleh saudara Hailul Akmam sebagai vokalis, saya Shah Zuriarts yang telah masuk semula untuk mengambil posisi asal sebagai bassis dan saudara Awi Mok atau nama sebenar beliau Muhammad Zamri bermain dram. Penambahan ahli baru juga berlaku selepas pengunduran beberapa ahli lama dan diganti oleh 2 orang yang boleh dianggap otai dalam scene Metal Malaysia iaitu saudara Ein dari band lama Brain Dead berada di posisi gitar dan saudara Mohd Nashrul yang bermain untuk band Heloisa berada di posisi gitar utama. Violator di jangkakan akan merilis material baru tidak lama lagi... Nantikan rilisan terbaru dari Violator. Anda boleh menghubungi band ini di:

Shah ketika ditanya berkaitan definasi dan deskripsi muzikal bawaan Zuriarts, beliau menerangkan; “Zuriarts ditubuhkan dengan konsep Melodik Black/Death Metal. Mempunyai campuran-campuran muzik dari sudut melodik serta digabungi dengan muzik seram dan ganas dari genre black & death. Zuriarts ingin menampilkan suatu muzik ganas yang mampu diselitkan suatu jenis perasaan ketimuran yang rata-rata penduduk di Malaysia ada perasaan tersebut. Perasaan yang tidak mampu hendak dihuraikan melalui kata-kata. Berkenaan band-band yang saya jadikan idola yang mempengaruhi saya hingga wujudnya Zuriarts, tidak perlu saya beri contoh band-band dari luar negara kerana tidak kurang hebatnya juga band-band yang ada di Malaysia seperti Aradia, Hayagriva, Brain Dead dan lain lagi”. 

Proses gubahan lagu begitu penting dan dititikberatkan dalam menentukan halatuju dan kualiti muzikal Zuriarts. “Yang paling difokuskan adalah melodi. Melodi yang sebolehnya dapat menguatkan sesebuah lagu Zuriarts. Dari wujudnya Zuriarts hingga kini, saya seorang yang mencipta dan menulis lagu serta lirik. Bukan tidak memberi ahli lain untuk menyumbangkan ilham tetapi setakat ini masih belum ada ahli yang menyumbangkan lagu untuk Zuriarts”, ujar Shah yang seterusnya menyatakan bukanlah satu perkara yang senang untuk membuat lagu terutama lagu yang berkualiti dan mampu menjadi sebuah lagu yang mendapat tempat di hati pendengar. “Dalam sebuah album ada 10 buah lagu, belum tentu 10 lagu tersebut diminati oleh para pendengar untuk dengar. Saya sendiri pun tidak mampu untuk mencipta lagu yang tahap sebegitu... jadi perlulah ada keyakinan demi karya yang di hasilkan...”, tambah beliau menguatkan hujahnya dari aspek realiti penciptaan lagu dan penghasilan album. 

Dari sudut tema-tema utama yang ditulis dan diterapkan dalam senikata, lirik-lirik Zuriarts adalah berkisarkan mengenai kehidupan – yang berkaitan kematian, syaitan, iblis serta alam akhirat dan juga alam imaginasi. Ia memerlukan rujukan dari pelbagai bahan bacaan. Shah turut memberitahu: “Imaginasi juga diperlukan supaya para pendengar mampu mengembara bersama dengan apa yang cuba disampaikan dalam lagu. Lirik juga tidak semudah yang disangka kerana kita membuat lirik yang sebolehnya tidak sama seperti lirik yang terdapat dari lagu-lagu dari band lain. Saya rasa para membuat lagu serta pengkarya-pengkarya tahu betapa susahnya untuk menghasilkan sesuatu hasil seni. Saya sememangnya berharap agar apa yang saya cuba sampaikan di dalam lirik akan mampu di terima oleh para pendengar tetapi kita kena akur bahawa tidak semua mampu terima apa yang cuba di sampaikan. Tetapi jika ada segelintir pendengar yang dapat menerima, itu sudah membuatkan saya berasa amat bertuah”. 

DISKOGRAFI:
2004 – Promo VCD Live 
Ini merupakan material pertama yang dirilis sendiri oleh pihak band.
2006 – “Arrival of the Dark Descent”
Sebuah EP menampilkan 5buah  lagu dirilis oleh label Astral Lore Productions.
2009 – “Satanity Diabolical Siamese Malaysian Unholy Split”
Split album bersama Symphony Of Black Sculpture (Thailand), dirilis oleh Mutilationary Records (Thailand).
2011 – “Kesakitan Abadi”
EP kedua dengan kandungan 6 buah lagu, dirilis oleh label Trooper Art Regime distro.
2012 – “The Fairy Tears”
Sebuah album single yang dikeluarkan sekitar April 2012 oleh Night Art Production.
2012 – “Kesakitan Abadi”
EP 2011 dirilis semula oleh label pengeluar yang sama, Mutilationary Records pada Jun 2012.

EKSTRIM dimaklumkan bahawa rancangan rilisan Zuriarts dalam masa terdekat ini adalah dua buah album split, iaitu split bersama Wisik yang bakal dirilis oleh sebuah label dari Indonesia, serta satu lagi split dengan band lama dari Perak iaitu Zubirun. “Zuriarts juga ada terlibat untuk beberapa album kompilasi di dalam dan di luar negara... dan yang paling terbaru adalah album Kompilasi Tribute to Silent Death yang telah diriliskan oleh saudara Aziz Metal Zone Distro”, kata Shah berkaitan penghasilan dan perancangan material Zuriarts. Kepada yang belum mendapatkan album kompilasi ini bolehlah segera menghubungi saudara Aziz di: www.facebook.com/meta.distro


Sebagaimana maklum, rilisan terkini Zuriarts adalah sebuah single berjudul “The Fairy Tears” dicetak sebanyak 200 keping sahaja. Dilaporkan sehingga kini single berformatkan CD tersebut telah habis diedarkan di seluruh Malaysia juga termasuk beberapa buah negara luar dan tiada lagi dalam stok simpanan. “Banyak juga pihak-pihak memberi pandangan serta ulasan-ulasan mengenai single tersebut. Kebanyakannya adalah yang positif... dikatakan susunan muzik yang kemas serta ada melodik yang kedengaran seperti muzik rock 80an.. tapi lain pendengar tentu lain komen serta pendapat...”, kata Shah merujuk kepada sambutan dan penerimaan yang diperolehi. 

Single tersebut juga menyelitkan sebuah lagu minus1 di mana Zuriarts mengharapkan supaya para pendengar dapat turut sama menyumbangkan suara ketika mendengar CD tersebut. “Kepada yang telah mendapatkan CD single Zuriarts The Fairy Tears, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana support Zuriarts dan kepada yang tidak sempat mendapatkan CD ini, saya mohon ampun dan maaf... Menjadi satu kepuasan bila lagu single ini diterima oleh para pendengar dan ada juga yang kata lagu single ini menjadi lagu killer band Zuriarts selepas lagu Zuriarts - Dead To Hell yang terdapat dalam EP pertama”, tambah Shah dalam nada berpuashati dengan material “The Fairy Tears” ini.

Penglibatan Shah Zuriarts dalam Heloisa:
Saya juga bermain di posisi bass untuk band lama dari Taiping iaitu HELOISA. Setakat ini masih belum ada projek terbaru namun latihan tetap diteruskan untuk memantapkan mutu permainan. Anda boleh hubungi band ini di:

Seterusnya saudara Shah juga bercakap mengenai kepentingan dan pengalaman aksi pentas Zuriarts, sebagaimana berikut: “Bagi Zuriarts, saya kena pastikan seimbang dari sudut persembahan live serta dari sudut rakaman lagu-lagu baru... menjadi satu ketagihan untuk beraksi di atas pentas. Dengan harapan dapat memberi kepuasan kepada para penyokong serta penonton yang hadir untuk melihat Zuriarts membuat persembahan. Gig yang tak boleh lupa adalah gig yang kami perform di Terengganu pada 13 Mac 2012.. pasal hampir ditinggalkan bas ekspres gara-gara terlambat sampai di stesen bas... Dahler tu kena marah pulak dengan driver pasal wat macam bas sndiri... hahahaaa...”. Diberitahu bahawa gig terbaru Zuriarts adalah pada 28 Januari 2013 di Treble Trouble Hall, Kapitan, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama headline SiksaKubur serta band Nekrad, Pandorath, Non Serviam, Rehearse dan Enthrone Falls.

Mutakhir diberitakan dalam masa terdekat ini, Zuriarts telah diberitahu oleh sebuah label dari Indonesia bahawa akan rilis sebuah split album Zuriarts / Wisik (Indonesia) di bawah label tersebut cuma tarikh yang tepat masih belum di ketahui. Shah turut melaporkan dalam perancangan juga, Zuriarts akan masuk studio untuk rekod lagu-lagu baru dalam usaha untuk mengeluarkan split album Zuriarts / Zubirun. Kata Shah, “Zubirun adalah sebuah band Black Metal dari Taiping yang telah lama menyepi. Split Zuriarts / Zubirun  ini mungkin akan diriliskan oleh Night Art Production kepunyaan saudara Hailul Akmam, vokalis band Old School Thrash metal dari Taiping iaitu Violator”. 

“Diharap Zuriarts akan terus produktif demi memberi penghargaan kepada penyokong-penyokong Zuriarts yang terus menyokong... Terima kasih tak terhinggga diucapkan... Diharap juga, Zuriarts dapat menempah nama di rantauan antarabangsa... Semoga Zuriarts terus maju berkarya... Nak tubuhkan sebuah band tidak susah... tapi nak kekalkan band itu terus bernyawa, memang kena tabah dan cekal... mmg susah...” tambah Shah dalam menyatakan harapannya terhadap masa depan band Zuriarts ini. 

Penglibatan Shah Zuriarts dalam Viniir:
Dan lagi satu, saya terlibat dengan sebuah band dari Ipoh yang berkonsepkan Viking Metal iaitu VINIIR. Dianggotai oleh saudara Sham utk posisi gitar utama, saudara Razul di posisi bass. Saya di posisi gitar/vokal dan saudara Jack di posisi dram. Viniir pada masa ini sedang menyiapkan full-lengh album yang akan diriliskan tidak lama lagi. Nantikan rilisan dari band ini. Anda boleh menghubungi band ini di:

Sebagai penutup kepada ruangan PROFIL untuk band Zuriarts ini, Shah telah memberikan ucapan penghargaan dan kata-kata akhirnya: “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli Zuriarts dulu dan kini, serta semua yang telah membantu menaikkan nama Zuriarts secara langsung atau tidak dan kawan-kawan serta penyokong-penyokong yang tak jemu-jemu memberi semangat kepada Zuriarts untuk terus berjuang. Terima kasih juga kepada saudara Pian kerana sudi menemubual Zuriarts dan terima kasih juga kerana sudi mempromosikan produk dan nama Zuriarts. Terima kasih juga kepada label-label serta editor-editor yang telah/pernah bekerjasama dengan Zuriarts. Mohon ampun dan maaf juga dipinta jika ada salah dan silap dari saya serta Zuriarts... Maaf & Terima kasih... Korang memang best...”, ujar Shah menutup penceritaannya. 

Anda boleh menghubungi Zuriarts di:
atau emel: zuriarts@yahoo.com

2 ulasan:

  1. Antara yg terbaik dari Taiping. Penyambung legasi Brain Dead!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...