2013-06-10

TARANTULAH - GABUNGKAN PELBAGAI ELEMEN MUZIK UNDERGROUND


Tarantulah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 2007 di mana Man Rabaxx bertemu semula Silentt Shoutt dan Awe Donde selepas mereka menamatkan pengajian di salah satu IPT di negeri Kedah. “Kami telah berbincang dan bersepakat untuk menubuhkan sebuah band berdasarkan karya-karya sajak dibuat oleh aku sekian lama dan pada masa yang sama tidak membiarkan bakat-bakat line-up lain yang aktif dalam bidang seni (teater dan band) semasa zaman pengajian mereka. Namun rancangan itu tertunda apabila aku menyambung pengajian dan line-up lain berpindah tempat kerja menyebabkan projek ini terbengkalai. Sehingga kami bertemu semula pada penghujung 2011 untuk menjadikan projek ini satu kenyataan. Peristiwa bersejarah adalah lahirnya promo pertama kami yang merupakan titik permulaan sebenar Tarantulah” kata Man Rabaxx selaku vokalis utama menceritakan serba sedikit kisah dan sejarah penubuhan Tarantulah. 

Line-up terkini Tarantulah adalah Man Rabaxx (vokal), Rusak Minda (gitar), Silentt Shoutt (dram) dan dibantu oleh Rock Angel sebagai pemuzik undangan di bahagian bass. Difahamkan anggota asalnya Awe Donde (gitar) telah mengundurkan diri kerana tidak dapat memberikan komitmen terhadap band. 


Dari sudut muzikal, Man Rabaxx dilaporkan berkata Tarantulah adalah band yang mengabungkan punk, crust, metal, thrash serta muzik-muzik yang lain tanpa sebarang solo di dalam struktur muziknya. “Band ini selalu dikatakan sebagai black/death jika didengar pada teknik vokal tetapi sebenarnya lirik kami tidak menjurus kepada muzik tersebut. Band-band yang mempengaruhi kami bersama ialah Sepultura (OLD), Parkinson, Dark Throne, Rumble Militia, Metallica, Sodom, Motorhead dan lain-lain lagi”, ujar Man Rabaxx mengenai definasi dan sumber inspirasi muzik Tarantulah.

“Faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi kami termasuklah dari segi kekangan masa didalam menggubah lagu secara bersama, kemahiran line-up bermain alat muzik ditahap sederhana dan juga pengaruh-pengaruh muzik yang kami dengar. Band Tarantulah bukanlah band yang menitikberatkan isu teknikal dalam muzik kami”, tambah beliau dalam memberikan pandangannya terhadap situasi dalaman band ini.

Tarantulah mengutamakan lirik terlebih dahulu kerana dari situ barulah proses penciptaan lagu bermula. “Kesemua lirik-lirik dihasilkan daripada aku (Man Rabaxx) manakala basic melodi akan disusun oleh Silent Shoutt sebelum dipolish sekilat-kilatnya oleh Rusak Minda. Hahaha. Kualiti ini terlalu subjektif sebenarnya. Bagi aku terpulang kepada apa yang band itu mahukan kerana kita semua mempunyai naluri mendengar dan citarasa yang berbeza. Jadi terpulang kepada citarasa halwa telinga masing-masing kerana sesebuah kualiti lagu yang baik pada padangan band kadang-kadang masih lagi tidak dapat memenuhi citarasa pada pandangan orang lain”, maklum Man Rabaxx memperjelaskan proses penggubahan lagu serta pendapatnya dalam penghasilan sesebuah lagu yang memiliki kualiti.

Man Rabaxx turut menyatakan bahawa subjek atau tema utama lirikal Tarantulah adalah berkaitan dengan isu-isu yang berlaku di persekitaran kita yang mungkin tiada noktahnya seperti kebangsatan pemimpin korup, isu keamanan dunia yang semakin tak tenteram dan ketidakadilan pemerintahan dalam menjalankan pentadbiran. “Penulisan lirik adalah dengan penggunaan bahasa ringkas yang berbentuk sajak di mana ianya berdasarkan dari pengalaman dan pembacaan. Mesej ini sampai atau tidak terpulang pada pendengar. Salah satu sebab kenapa Tarantulah meletakkan lirik di dalam cover demo Tarantulah adalah bertujuan untuk menyampaikan apa mesej yang tersurat dan tersirat kepada pendengar selain dari mereka dapat sing-along bersama. Hehehe!”, kata Man Rabaxx lagi.

DISKOGRAFI
2012 - Tarantulah Promo - Self Release
2012 - Mix Tape Free Acheh Punk Vol.3 - Bandung Pyrate Punk (Indonesia) - Online Compilation
2012 - Yang Penting Berisik Compilation - Noiseblastmedia Records (Indonesia)
2012 - 6 Way Split Chaotic Of Psycho Golden Triangle - D.I.Y Gila Babi Production (Malaysia)
Menampilkan Kudetor (Indonesia), Tussock (Malaysia) , Blood Soaked Street Of Social Decay (Thailand), Kryast (Indonesia), Untha Attack (Thailand) dan Tarantulah (Malaysia) 
2012 - Kedamaian Jalan Hitam (Demo) - Trooper Art Regime Distro (Malaysia)
2013 - Kedamaian Jalan Hitam (Re-Release demo) - Evil Punk Records (Belarus)
2013 - Kedamaian Jalan Hitam (Re-release demo) - Fuck The Industry Record (Japan)

Tatkala diminta memberikan pendapat tentang isu KUANTITI atau KUALITI dalam produksi metal underground, ini jawaban Man Rabaxx: “Isu kuantiti dan kualiti juga terlalu umum kerana bergantung kepada pendapat masing-masing. Bagi kami kuantiti tetap akan datang dulu sebelum kualiti. Daripada banyak kuantiti kita akan memilih yang mana berkualiti. Sebagai contoh lagu-lagu yang digubah tidak semuanya akan direcord di mana kita akan memilih lagu-lagu tertentu sahaja untuk direcord. Selebihnya mungkin akan diperbaiki dan akan direcordkan untuk material akan datang”.


Rilisan mutakhir dari Tarantulah adalah demo “Kedamaian Jalan Hitam”. Difahamkan rilisan ini merupakan asas rujukan bagi menentukan halatuju muzik Tarantulah dan sebagai material rasmi untuk memperkenalkan band. Buat masa ini bagi sesiapa yang mahu mendapatkan rilisan ini boleh menghubungi label Evil Punk Records (Belarus) dan Fuck The Industry (Japan). Rilisan asal daripada pihak Trooper Art Regime Distro (Malaysia) sudah habis dijual. Dikhabarkan mungkin akan dirilis semula tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

“Memandangkan kesuntukan masa dan faktor line-up yang tinggal di negeri yang berbeza amat membataskan kami untuk berlatih dan merekodkan lagu. Kami berpuashati setakat ini apa yang dihasilkan namun tidak menafikan banyak lagi kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki terutama berkaitan mixing. Memandangkan ianya rilisan sulung kami, jadi tiada perbandingan yang dapat kami lakukan. Kami akan cuba bermeditasi sebaik mungkin untuk material yang akan datang”, bicara Man Rabaxx memperkatakan tentang tahap kepuasan pihak band sendiri terhadap rilisan demo “Kedamaian Jalan Hitam” ini.

Man Rabaxx selaku jurucakap Tarantulah di atas persetujuan line-up band turut menjawab persoalan EKSTRIM berkaitan pentingnya persembahan live / gig kepada band: “Secara peribadi, persembahan sebenarnya serba sedikit dapat membantu band untuk memperkenalkan nama mereka. Tidak boleh dinafikan sesetengah crowd hanya akan membeli demo / EP / album setelah melihat persembahan band tersebut. Tarantulah buat masa ini belum pernah perform di mana-mana persembahan walaupun ada jemputan kerana faktor kurangnya latihan dan keterbatasan masa yang amat mencemburui untuk kami bersama. Kami hanya jamming 2-3 kali setahun dan selebihnya banyak ditumpukan di dalam proses penggubalan lagu. Ya buat masa ini boleh dikatakan Tarantulah adalah studio band. Walau bagaimanapun kami akan cuba sedaya upaya untuk mencuri sedikit waktu untuk memenuhi undangan persembahan setelah latihan yang mencukupi untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada crowd”. 

Bercakap mengenai penulisan lagu-lagu baru serta perancangan rilisan yang akan datang, Man Rabaxx memberitahu bahawa penulisan lagu-lagu baru masih dalam peringkat awal lagi. Rilisan-rilisan yang bakal dikeluarkan belum ada judul yang rasmi tetapi ianya adalah split (Malaysia) dan kompilasi (Sweden) yang jika tiada aral melintang akan diriliskan dalam tahun ini juga. Bila sudah dikeluarkan dalam bentuk flyers yang rasmi dan sahih baru Tarantulah akan sebarkan. “Harapan Tarantulah adalah untuk berkarya selagi mampu ( tiada target setiap tahun mesti ada rilisan ataupun menjadi band komersial) dan dapat menyebarkan karya-karya kami  di luar negara”, ujar Man Rabaxx merujuk kepada harapannya tentang masa depan Tarantulah.

Sebagai kata terakhir dari Man Rabaxx yng turut mengakui bahawa hanya Tarantulah satu-satunya band yang disertainya, beliau berpesan, “Band-band underground perlu berkarya dengan hati yang jujur dan bebas dari kongkongan sesiapapun kerana inilah band kita sendiri bukan band orang lain. Dan kita tak boleh paksa orang lain untuk menyukai band kita”. 

“Terima kasih kepada editor kerana sudi temuramah kami band yang baru nak menapak. Diharap portal/blog ni dapat selongkar lagi band-band local yang masih kurang dapat pendedahan. Contoh Hiding Fear (Thrash/Death), Hellstorm (Black/Thrash Metal), Slaydeath (Death/Thrash), Mu-Aru (Death/Black Metal) , Sindraz (Raw Black Metal), Nightwolf (Black Metal/Punk), Kathgor (Death Metal), Vault (Thrash Metal), Atrocious (JB Black Metal). A.B.M.S 696 (Bestial Black Metal JB), Saka (Raw Black Metal), Triumph Ov Fire (Malacca Melodic Black Metal), Recidivist (Death Metal) dan lain-lain lagi”, kata Man Rabaxx mengakhiri perbualan. 

MAKLUMAT PERHUBUNGAN
Emel: tarantulah2012@gmail.com
Facebook: http://www.facebook.com/pages/Tarantulah-MALAYSIA/274309272596164
Blog: http://tarantulahprecious.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...