2013-06-28

BULETIN METAL MALAYSIA BIL.04/2013


MISTIK
Mistik akan kembali! Begitulah perkhabaran terkini yang diterima dari band Black Metal Pulau Pinang ini. Harapnya status ini menjanjikan pengembalian yang pasti. Satu ketika dahulu sekitar 2009 pernah dihebahkan Mistik akan mengeluarkan album sulung mereka yang bertajuk "Lauhur Mahfuz" namun berita tersebut hanya tinggal sebuah cerita, menyepi ditelan masa yang berlalu pergi. Hubungi Mistik untuk kesahihan situasi mereka di: pessakh@yahoo.com

LARRONG
Agi idup agi Death Metal! Larrong yang merupakan sebuah band Death Metal lama diasaskan di Matu, Sarawak bakal kembali dengan rilisan terbaharu berjudul "Ritual Decapitation". Senilukis untuk kulit hadapan rilisan tersebut telahpun disiarkan di laman facebook mereka. Larrong pada masa ini dianggotai oleh Sarn Burns (vokal), Aziz (gitar), Xudin (gitar), Hadi (bass) dan HellFiz (dram). Dapatkan maklumat lanjut berkaitan "Ritual Decapitation" di: mnpborneo@yahoo.com


BLOOD LEGION
Unit Death/Thrash Metal Kuala Lumpur, Blood Legion pada ketika ini dilaporkan sedang sibuk di studio dalam usaha menyiapkan lagu-lagu terbaru untuk rilisan-rilisan yang akan datang. Kali terakhir Blood Legion muncul dengan Promo 2012 dan penampilan sebuah lagu dalam kompilasi The Death Of Analog Psycho keluaran Faithcraft Productions. Blood Legion dianggotai oleh Grizzly Shan (vokal), Old Man Jai (gitar), The Law Pathman (bass) dan Wicker Chris (dram). Kemaskini mutakhir band ini boleh ditanya di: bloodlegion666@yahoo.com

NAMSAR
Band Thrash/Death Metal dari Kota Kinabalu, Sabah dikenali dengan nama Namsar memaklumkan bahawa mereka telah memiliki beberapa buah lagu baru yang bakal memecahkan gegendang telinga anda! Jangkakan sebuah rilisan baru dari mereka! Namsar didokongi oleh Alan (vokal/gitar), Jerry (dram) dan bantuan sessionis Viktor (bass/vokal latar). Hubungi Alan Mic di talian 016-8425295.


PENGUASA ANJING
Ini sebuah band beraliran Grindcore dari daerah Inanam/Penampang, Sabah. Terkini, Penguasa Anjing tampil dalam sebuah 3-way split "Kemusnahan Sejagat" bersama Tarantulah dan Strength Enemy. Difahamkan split CDR ini mengandungi keseluruhannya 15 buah lagu dijual pada harga RM5 sahaja. Penguasa Anjing yang digerakkan oleh Ben (vokal/gitar) dan Arnold (dram) juga pada awal tahun ini telah merilis sebuah Promo CD serta "Bangsat Durjana" EP 2013. Dapatkan material-material mereka melalui: mohdaidil.pangazou.pulianabdul@gmail.com

HARLOTNYMPH
Sebuah band Melodic Death Metal yang berasal dari Bongawan, Sabah. Tahun 2001 dikenali oleh rakan seperjuangan dengan nama Hazazel Maut. Kemudian mula bergiat aktif dengan nama baru, Harlotnymph pada 2003 dengan mengisi ruang-ruang gig di sekitar kawasan setempat. Harlotnymph dianggotai oleh Jamal (dram/vokal), Syax (gitar), Nill (gitar), Paul (bass) dan Gayour Oldbridge (sessionis dram). Harlotnymph dilaporkan telah berbincang sesama mereka untuk mengeluarkan sebuah EP dijadualkan rilis pada hujung 2013 nanti. 


CHELATION INTOXICATION
Chelation Intoxication adalah band yang menggalas Slamming Brutal Death Metal dari Jitra, Kedah. Muzikal mereka turut disuntik juga dengan elemen-elemen groovy/downbeat/gore bi bawah pengaruh band-band seperti atalepsy, Devourment, Kraanium, Vulvectomy dan seumpamanya. Mini album pertama mereka berjudul "Dismemberment XVIII" akan rilis pada Julai 2013 melalui Grundar Production. Band 4 anggota ini bakal menyiksa pendengaran anda tanpa belas kasihan!

BLACKSEED
Demo "Let's Thrasher Begin" akan diriliskan dalam dua format; CD dan Tape. Format CD akan dirilis oleh Trooper Art Regime Distro manakala Tape pula melalui Kimar Records. Menurut pihak Blackseed, format CD masih belum diketahui tarikh rilisnya kerana terdapat sedikit masalah teknikal. Tape pula dijangka berada di pasaran sekitar Julai 2013 ini. Jika anda meminati Thrash Metal, Blackseed adalah salah-satu pilihan untuk anda!!


SUCCUBUS
susulan kejayaan demo "Sadistic Rites of Evil", band Death/Thrash Metal Succubus diberitakan sedang sibuk di studio rakaman untuk penghasilan material baru mereka iaitu sebuah EP. Menurut Nafkhatul 'Incubus' Faza selaku vokalis grup ini, beliau baru sahaja selesai merakam bahagian vokal dan pada masa ini proses keseluruhan berada di peringkat kerja-kerja mixing dan mastering. Nantikan gempita Succubus selanjutnya!

METAL BLASTER
Metal Blaster secara dasarnya adalah sebuah webzine yang menyalurkan pelbagai informasi Metal Klasik! Ianya bertindak sebagai satu pusat maklumat atas talian khusus untuk muzik Heavy Metal. Laman ini bertujuan menyedia dan menyebar berita-berita metal, ulasan, temubual, info band, laporan konsert, foto dan sebagainya, dikemaskini hampir setiap hari khas untuk memenuhi keperluan peminat-peminat tegar muzik Metal. Selain dari sekadar sebuah webzine, Metal Blaster juga telah membentuk rangkaian dengan beberapa label, majalah dan radio station di peringkat antarabangsa di mana Metal Blaster bertindak sebagai ejen promosi dan penyampaian maklumat. 

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...