2014-03-11

#PRAYFORMH370 - PULANGLAH PESAWATKU


Malaysia, Asia malah seluruh dunia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat MH370 Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang telah terputus komunikasi dengan menara kawalan trafik udara pada tengah malam / awal pagi 8 Mac 2014. Penerbangan yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12:41 malam dan dijadualkan tiba di Beijing pada jam 6:30 pagi. Malangnya, tanpa sebarang isyarat kecemasan atau isyarat lain dihantar, MH370 ‘hilang’ begitu sahaja pada ketika merentasi Laut China Selatan, dipercayai kawasan di sekitar selatan semenanjung Ca Mau, Vietnam. Operasi SAR (Mencari dan Menyelamat) secara besar-besaran telah dilakukan. Pelbagai teori dan spekulasi diperdebatkan; terhempas, menjunam ke dasar lautan, mendarat cemas, rampasan, konspirasi dan sebagainya. Malah ada yang beranggapan ianya seperti apa yang terjadi di Segitiga Bermuda. Wallahualam. Sehingga kini, pada tarikh editorial ini ditulis (11 Mac 2014), MH370 masih belum ditemui. Kehilangan ini sebuah “misteri”.

Apapun yang berlaku kepada MH370 hanya Dia yang lebih mengetahui. Kita cukup bersimpati dengan nasib yang menimpa 239 jiwa yang berada dalam penerbangan tersebut. Andai bernyawa, di manakah mereka? Andai mati, di manakah jasadnya? Sehingga kini kita terus memanjatkan doa agar mereka masih hidup, masih mendapat perlindungan-Nya dan berharap mereka akan segera kembali ke pangkuan orang-orang tersayang yang sedang merindui dan menanti kepulangan mereka dengan selamat.  

Atas dasar prihatin dan sumbangan insani terhadap insiden belum terjawab MH370, sahabat kita saudara Rex Strike dari kumpulan muzik Nuclear Strikes telah menggubah sebuah lagu berjudul “Pulanglah Pesawatku” yang cukup menyentuh perasaan khas untuk memperingati tragedi tersebut. Hayati lagu ini, fahami senikatanya, insafi diri dan doakan untuk mereka (penumpang, anak kapal dan ahli-ahli keluarga terlibat). Semoga lagu ini juga menyatukan perikemanusiaan dan memadamkan pertelagahan sesama sendiri ekoran perbezaan ideologi. 


Pulanglah
Kami Sedang Menunggumu
Dengan Penuh Sabar
Dan Pengharapan

Sabarlah
Pada Yang Sedang Berduka
Kami Sentiasa
Di Belakangmu

Kita Tak Mampu
Menahan Takdirmu
Andai Kau Hilang
Dari Pandangan Mata

Kami Sentiasa
Bersamamu
Tak Kira Apa Yang Terjadi
Kami Tetap Berdoa

Senilagu: Fix Mohd (Rex Strike)
Senikata: A.K 46
Vokal: Mr Ree
Video: Fix Mohd
Terbitan: Fix Mohd (Rex Strike)
Hakcipta: MR (Madratts)

EKSTRIM mengabadikan “Pulanglah Pesawatku” di sini untuk kenangan dan ingatan tentang misteri MH370. Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada usaha murni Rex StrikeNuclear Strikes dan pihak Madratts. Pulanglah MH370.. pulanglah pesawatku.. kami setia menunggumu.. Jika anda menghargai penghasilan lagu dan video ini, sila panjangkan penghargaan anda kepada: 


Sufian Mohamed Salleh
11 Mac 2014, 12:58 tgh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...