2014-11-01

THE CASKET - "RISE THE UNDEAD" ZOMBIFIKASI DEATH METAL



Hari yang paling digeruni telah tiba! Hari di mana bangkitnya zombi menyebarkan virus, merebakkan wabak, mengakibatkan kadar kematian berganda!! Tanggal 1 November 2014 adalah hari di mana THE CASKET membiakkan virus kematian mereka melalui full-length sulung berjudul "Rise The Undead". THE CASKET terdiri daripada ahli bukan calang-calang individunya, Maggot dan Zombi juga turut menganggotai band-band yang telah kian lama mencipta nama, MORTUARY ANCESTOR dan HELLSTORM. Mengikut sejarah, THE CASKET itu sendiri telah ujud kurang lebih 10 tahun yang lalu.

"Rise The Undead" dikeluarkan melalui EARBLAST RECORDS [Kat#: ER016] dalam format Pro-CD membariskan 9 buah lagu, termasuklah sebuah intro, sebuah instrumental serta sebuah lagu saduran. THE CASKET menganggap album ini suatu pencapaian luar jangka mereka, satu pendewasaan kepada garapan muzikal mereka, susulan terbaik yang mereka lakukan setelah merilis material pertama "Dead Is Alive" EP awal Jun 2012. Album ini mesti-milik buat mereka yang menyanjung tinggi Death Metal 90-an ala Death, Cannibal Corpse, Benediction dan seumpamanya. Kandungan "Rise The Undead" adalah:

1. Intro: Realm of Chaos – 1:24
2. Rise The Undead – 3:07
3. The Skeletonia – 3:19
4. Virus Kematian – 3:44
5. Zombie Invasion – 3:55
6. Wound That Never Be Heal – 3:37
7. Vaccine For My Blood (inst.) – 2:08
8. Infected – 3:19
9. Slave To The Grind – 3:15

Produk CD yang berkepanjangan keseluruhannya 27:48 minit ini diedarkan pada harga cuma RM30 (termasuk kos pengeposan) atau USD15 untuk pasaran luarnegara. Segera hubungi e-mel earblastrecords@gmail.com atau mana-mana laman facebook THE CASKET mahupun EARBLAST RECORDS. Ditambah pula dengan ilustrasi menarik karya Ironworx Gravefix sebagai penghias kulit hadapan, "Rise The Undead" adalah sebuah penghasilan yang pastinya tidak akan menghampakan anda! Maka itu, bersedialah untuk dijangkiti!!!


Bila dan bagaimana THE CASKET ini bermula? Apakah tujuan dan sasaran ia ditubuhkan? Siapakah mereka yang berada di sebalik band ini?
Idea mewujudkan The Casket sebenarnya bermula sejak tahun 2004 lagi tapi hanya berjaya direalisasikan pada tahun 2012 dengan lahirnya demo EP Dead Is Alive. Sejak awal tulang belakang The Casket hanya dianggotai oleh Mr. ZOMBI dan aku sendiri @ MAGGOT. Tujuan kami tetap sama sejak awal iaitu memainkan irama death metal mengikut acuan kami dengan tema berkait rapat perihal zombi.

Album pertama "Rise The Undead" rilis secara rasmi pada 1 November 2014. Apakah makna album ini kepada keujudan dan perjalanan THE CASKET selama ini?
Kami sendiri tidak menjangkakan pencapaian The Casket seperti ini yakni melahirkan album sulung "Rise The Undead". Ini adalah pencapaian luar biasa kami dan semoga akan ada reaksi luar biasa daripada para pendengar album sulung ini.

Death Metal gaya 90-an dijadikan konsep bawaan THE CASKET. Mengapa memilih muzik begini? Bagaimana acuannya dalam konteks THE CASKET? Apakah pengaruh atau inspirasi yang dirujuk dalam membina lagu dan sound THE CASKET?
Benar, kerana kami begitu meminati irama death metal sekitar tahun itu seperti Death, Obituary, Massacre, Cannibal Corpse, Avulsed, Benediction dan seangkatan dengannya. The Casket cuba menggabungkan kesemua elemen death metal yang wujud pada era tersebut pada ruang masa sekarang. Pun begitu akan terdengar sedikit eksperimentasi pada sesetengah solo gitar di beberapa lagu pada album ini.


Di sudut muzikal, bagaimana "Rise The Undead" berkembang dan meningkat jika dibandingkan dengan rilisan terdahulu; "Dead Is Alive" EP 2012?
Apa yang boleh saya katakan, "Rise The Undead" lebih kemas, bervariasi serta catchy melodi lagu-lagunya berbanding "Dead Is Alive".

Proses rakaman telah dijalankan di studio yang berbeza; muzik di Jenazath Studio, Ampang manakala vokal di Chromatic Studio, Sandakan. Kongsikan apa jua pengalaman yang dilalui sepanjang pembikinan "Rise The Undead"?
Proses rakaman album sulung ini sebenarnya sama seperti EP yang terdahulu. Pemilihan studio juga sama memandangkan aku berada di Sabah manakala Mr. ZOMBI di Kuala Lumpur. Proses rakaman muziknya memakan masa beberapa bulan manakala vokal hanya beberapa jam sahaja. Mixing dibuat sepenuhnya di Jenazath Studio.

Turut diselitkan sebuah lagu bersenikata dalam bahasa Melayu iaitu 'Virus Kematian'. Jelaskan idea di sebalik lagu ini? 
Virus Kematian sengaja ditulis dalam bahasa Melayu dan maksudnya begitu jelas iaitu penyebaran wabak yang menyebabkan kematian. Lagu ini terinspirasi daripada situasi wabak ebola yang melanda di kala beberapa bulan yang lepas.


Mengapa memilih Slave To The Grind dari SKID ROW untuk diberi sentuhan Death Metal acuan THE CASKET?
Skid Row, saya menyukai band ini. Sejak dulu semasa mendengar lagu Slave To The Grind saya memasang niat akan men-deathmetal-kan lagu ini suatu hari nanti. Dan ianya direalisasi menerusi The Casket.

EARBLAST RECORDS sebagai pengeluar telah memberikan komitmen terbaik untuk materialisasi album ini dan khabarnya ini yang pertama dalam format Pro-CD dari label tersebut. Komen anda?
Earblast Records merupakan sebuah label kecil yang punya semangat besar. Ya, ini adalah rilisan pertama dalam format Pro-CD dan rilisan ke-16 label kecil ini. Ini merupakan titik tolak permulaan untuk Earblast Records mengeluarkan materinya dlm format Pro-CD dan mungkin akan diikuti dengan merchandise seperti t-shirt, patch, etc.

Mengapa pendengar harus memiliki "Rise The Undead" dan apa yang THE CASKET harapkan dengan lahirnya album sulung ini?
Kerana ianya suatu karya dalam genre death metal yang pastinya tidak akan sama dengan mana-mana band death metal di negara ini pernah lakukan sebelum ini yang bermain dengan tema zombi, wabak, kematian serentak bersama irama death metal yang mudah dicerna oleh halwa telinga anda. Harapan The Casket, sokonglah album sulung ini kerana tanpa sokongan anda ianya akan menjadi karya yang sia-sia.


INFORMASI:
facebook.com/thedeadcasket
facebook.com/EarblastRecords

BERKAITAN:
THE CASKET - DEDAHKAN ILUSTRASI DAN SENARAI LAGU CD 2014
THE CASKET - "Dead Is Alive" EP 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...