2014-11-26

BULETIN METAL MALAYSIA BIL.05/2014


Memaparkan berita-berita ringkas, terkini dan perkembangan semasa dari: HELLSTORM, EXOTHERMIX, HUMILIATION, MTD PRODUCTION, DIABOLICURST PRODUCTIONS, NONSERVIAM, ATARAXIQUE, HELLEXIST, ALCHEMY OF SICKNESS dan NORIFUMI ZINE.

HELLSTORM
Perancangan asal HELLSTORM, band Heavy/Thrash Metal dari Sandakan, untuk mengeluarkan MCD sekitar tahun 2014 ini seakan tidak menjadi kenyataan! Namun setelah mendapat tawaran HELLFIRE RECORDS untuk tampil dalam satu rilisan split, mereka tidak berfikir dua kali, menerima peluang tersebut dan memutuskan untuk memuatkan kesemua 6 buah lagu baru dalam split dua-hala bersama band AXECUTER dari Brazil. "From Hell come Storm of Axecuter" adalah judul split yang bakal dikeluarkan HELLFIRE RECORDS [Kat#: HF003] terhad kepada 500 salinan sahaja! Berikut adalah prebiu singkat lagu bertajuk Speed Metal Hell.


EXOTHERMIX
Baru kembali ke tanahair setelah beraksi di acara UNITED FOR THRASH di Bekasi, Indonesia tanggal 2 November 2014, band 3-piece Thrash Metal dari Petaling Jaya EXOTHERMIX terus mengeluarkan merchandise berupa t-shirt "Thrash Mentality", mengambil sempena judul lagu di susunan ketiga dalam demo pertama "Extreme Disaster" yang dikeluarkan pertengahan Mei 2014 lalu. Thrash Mentality t-shirt tersedia dalam saiz (mengikut tempahan) dari S hingga XXL dijual pada harga cuma RM35 termasuk kos pengeposan.


HUMILIATION
Split 7" EP bersama PAGANIZER (Sweden) adalah yang keempat dalam turutan diskografi HUMILIATION bagi rilisan berformat sedemikian. Split ini dikeluarkan atas kolaborasi dua label; BRUTAL ART RECORDS (Germany) dan DEAD BEAT MEDIA (Malaysia). Sisi HUMILIATION (Side B) dinamakan "Cata:bomB" di mana band Military Death Metal ini menyajikan dua lagu eksklusif; Into the Bunker dan Cata:bomB. Bagi yang berminat mendapatkan split 7" EP ini terus dari pihak band, bolehlah hubungi Bear Bee (vokalis). Setiap keping diedarkan pada harga hanya RM30.


MTD PRODUCTION
Sesuatu yang direncana tidak semuanya menjadi nyata! Inilah yang berlaku kepada pengurusan MTD PRODUCTION bilamana rancangan label ini untuk mengeluarkan split 2-hala EMPTYS (Indonesia) / ABVULABASHY (Singapura) berjudul "Apokalyptik NuklearWrath Kommandos" [Kat#: MTD PROD 26] yang diwar-warkan sebelum ini telah DIBATALKAN. Keputusan pembatalan ini dibuat setelah mencapai kata sepakat dan persetujuan ketiga-tiga belah pihak atas alasan dan sebab musabab yang tidak diumumkan dan hanya pengetahuan dalaman label dan band-band tersebut.


DIABOLICURST PRODUCTIONS
Berita lebih baik telah dibawa oleh DIABOLICURST PRODUCTIONS untuk anda yang menantikan lahirnya split VEHEMETH / SEREIGNOS "Easternic Tyrannical Duobolicults". Rilisan split yang menemukan dua negara tetangga ini bukan sahaja sebagaimana diperhebahkan sebelum ini disediakan dalam format Digipak CD (200 salinan), tetapi juga diumumkan bakal diadakan dalam bentuk Pro-Tape terhad 50 unit khas buat penyokong die-hard label dan band-band berkenaan. Tunggu sahaja rilisan ini yang dijadualkan menembusi pasaran sekitar Disember 2014 ini! Harga: Digipak RM30/USD10 dan Tape RM15/USD5.

NONSERVIAM
Pada 7 Oktober 2014, di atas beberapa alasan peribadi, Payden (kibod/visual) telah membuat keputusan meninggalkan NORSERVIAM, sebuah band Melo-Death Metal yang cukup berpotensi di Pulau Pinang. Walaupun pengunduran beliau tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba, NORSERVIAM tidak hilang semangat dan pasti meneruskan perjalanan band ini. Malah dilaporkan mereka sedang bekerja keras menyediakan bahan-bahan baru untuk EP yang akan datang dijangka secara tentatif rilis pada awal 2015 nanti. Elemen kibod tetap menjadi keutamaan NORSERVIAM sepertimana rilis-rilis yang lalu dan juga material baru di masa hadapan. Dengan yang demikian pihak band kini sedang giat mencari pengganti yang sesuai dan berwibawa untuk mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan Payden. Sesiapa yang berminat dan berbakat harus segera hubungi NORSERVIAM.

ATARAXIQUE
Selang beberapa hari NONSERVIAM kehilangan kibodis, Progressive Metal Kuala Lumpur ATARAXIQUE pula dilaporkan kehilangan gitaris pada 13 Oktober 2014. Berita ini disahkan pihak band mengenai pengunduran diri Johan yang banyak memainkan peranan di bahagian gitar. “Dalam keadaan berat hati kami mengumumkan pemergian Johan dari band ini. Kami memahami kepentingan komitmen keluarga dan kami menghormati pilihan yang dibuat. Sebagai salah satu pemain gitar yang terbaik yang kita tahu, dan sifat rendah diri beliau yang sukar ditemui di mana-mana, kami amat terasa hilangnya sumbangan hebat Johan ke atas muzik kami. Kami telah lalui bersama saat-saat yang menakjubkan, produktif dan menyeronokkan. Kami doakan Johan segala yang terbaik dalam apa jua usaha beliau di masa hadapan. Mengenai ATARAXIQUE, kami akan maklumkan sebarang perkembangan lanjut pada masa akan datang, yang pasti band kami ini akan tetap diteruskan!”, kata pihak band dalam kenyataan rasmi mereka.


HELLEXIST*
Menikmati keseluruhan "Age Of Death" bagaikan satu tempoh yang cukup menghiburkan! Ia seakan mengajak pendengar untuk turut sama menjerit dan melompat. Lagu-lagu olahan HELLEXIST adalah himpunan irama dan suara yang jitu, kelam dan menghentam! Setiap lagu mempunyai karakter dan impak tersendiri. Semua bahagian korus lagu-lagu mereka keras dan membunuh! – Begitulah gambarannya mengenai album "Age Of Death" dihasilkan oleh HELLEXIST, Crust D-Beat/Punk Johor Bahru ini. Selain format CD/LP, "Age Of Death" masih boleh diperolehi dari label pengeluarnya, BROKEN NOISE RECORDS. Hubungi ladingsatu@gmail.com untuk maklumat lanjut.


ALCHEMY OF SICKNESS*
ALCHEMY OF SICKNESS terdiri daripada Enol (vokal), Wan (gitar), Daus (bass) dan Kamen (dram) dan mereka adalah band berkonsep Grindcore dari Kulai, Johor. Di bawah naungan pengaruh muzik Agathocles, ROT, Archagathus, Unholy Grave dan seumpamanya, ALCHEMY OF SICKNESS baru sahaja muncul dengan sebuah split tape bersama WORLD DOWNFALL (Jepun) berjudul "World Sickness" keluaran bersama label BROKEN NOISE RECORDS dan OPERATION NOISE. Hanya RM8 tidak termasuk kos penghantaran pos.


NORIFUMI ZINE*
NORIFUMI Fanzine kembali dengan penerbitan isu ke-3 di mana seperti biasa zine ini memuatkan catatan peribadi dan anekdot di samping temuramah bersama Pinpin (MISGIVE) dan Benny (PENGUASA ANJING). Turut diselitkan ruangan ulasan muzik dan bahan bacaan. Harga senaskah cuma RM4 dan untuk pesanan mel perlu ditambah RM4 penghantaran melalui pos ekspres. Kepada yang mahu dapatkan zine ini, sila hubungi editornya Amran: facebook.com/xbearx.xamranx.

Terima kasih kepada Trashnoiser dari Noise From Hell di atas sumbangan informasi bertanda (*) untuk penyediaan buletin di atas. Kepada pihak band / label / dsb yang ingin memuatkan maklumat terbaharu anda dalam dokumentasi buletin akan datang, sila e-mel kepada ekstrimzine@gmail.com atau salurkan di petimasuk facebook.com/piankvlt. Sokongilah gerakan muzik metal / underground tempatan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...