2013-08-19

PERPETUAL - GRINDCORE TANPA BELAS KASIHAN!


Perpetual ditubuhkan pada tahun 1995 di daerah Sandakan, Sabah, Malaysia. Kumpulan yang berkonsepkan Grindcore ini pada awalnya ditubuhkan oleh Zam (Bass) dan Zull (Drum) yang kemudiannya dianggotai oleh Ian (Gitar) dan Roni (Vocal). Kumpulan ini mengambil inspirasi dari band-band genre Grind seperti Napalm Death, Carcass, Brutal Truth, Terrorizer, Agathocles, Nasum dan Demisor. Pada tahun 1996, kumpulan ini telah mengeluarkan Reh/Tape mereka yang pertama bertajuk ‘Protector Of The Truth’ yang mana merupakan titik tolak bertapaknya kumpulan ini dalam kelompok musik keras bawah tanah. Pada Jun 1996, Perpetual buat pertama kalinya bermain diluar daerah Sandakan bersama beberapa kumpulan Metal/Grind dari beberapa daerah di Sabah iaitu pada gig Supreme Sonic Festival, Kota Kinabalu. Berlanjutan dari gig tersebut, Perpetual telah mula mendapat perhatian daripada penganjur gig, editor zine dan peminat tegar muzik ekstrim di Sabah.

Pada tahun 1997, Perpetual telah mengalami pertukaran anggota dimana Ian (Gitar) dan Roni (Vocal) telah membawa haluan masing-masing dan mereka digantikan oleh Romi (Gitar) dan Rozai (Vocal). Penampilan anggota baru ini sempat membawa kumpulan ini untuk bermain dalam beberapa gig local di Sabah. Kumpulan ini juga telah berjaya mengeluarkan Promo Tape pada tahun 1997. Perpetual turut menyumbangkan sebuah lagu untuk dimasukkan ke dalam satu kompilasi kaset yang amat bermakna bagi scene dan kumpulan Metal/esktrim di daerah Sandakan iaitu ‘Glorious Nakadnas’ yang dikeluarkan oleh label aktif di Sandakan Dark Zone Unity, dan juga turut menyumbang lagu dalam satu lagi kaset kompilasi bagi kumpulan-kumpulan Grind/Crust/Punk antarabangsa iaitu ‘No Limits For Noise’ dibawah label Singapura.


Pada tahun 1999, Romi (Guitar) dan Rozai (Vocal) telah membawa haluan untuk tidak bersama lagi dalam kumpulan ini atas sebab-sebab munasabah. Perkara tersebut membawa kepada kemasukan Pijal sebagai vocal baru dan Zam bertindak menggalas peranan sebagai gitar dan bass, manakala Zull kekal sebagai drummer. Kumpulan trio ini terus berjuang atas semangat yang kental dengan memasuki Mice Studio iaitu satu-satunya mini studio yang beroperasi bagi muzik ekstrim di daerah Sandakan pada sekitar penghujung 90-an. Mereka mengeluarkan Demo Tape bertajuk ‘Mental Depression’ yang dikeluarkan oleh label mereka sendiri iaitu Grind Combat Production. Material tersebut mendapat sambutan baik dari rakan-rakan dan peminat muzik ekstrim tegar tempatan dan luar Negara. Kumpulan ini mula mendapat beberapa tawaran untuk bermain diluar daripada Sabah, namun ianya terbatas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Tahun 2000 merupakan detik bermulanya lineup yang stabil bagi Perpetual. Kumpulan ini dianggotai sepenuhnya oleh Zam – Gitar, Zull – Drums, Pijal – Vocal dan Nasir – Bass. Kumpulan ini kemudiannya telah sekali lagi merakamkan lagu bagi tujuan split projek dengan beberapa buah band. Antara split projek yang sempat dikeluarkan oleh Grind Combat Productions adalah split tape bersama kumpulan Grindcore/Crust dari Negara Poland iaitu Psychoneurosis pada tahun 2000. Material tersebut sedikit sebanyak telah membawa nama Perpetual dan muzik Grind Malaysia untuk lebih dikenali di Negara sebelah Eropah. Perpetual juga ada mengeluarkan 3 way split tape pada tahun 2001, bersama sebuah lagi band Grindcore/Crust dari dari Sandakan iaitu Chronical Apes dan turut mendapat sokongan padu daripada MDK iaitu sebuah band Grind dari negara Brazil.


Pada tahun 2002, Perpetual turut terlibat dalam menjayakan sebuah gig yang dianggap gig paling berjaya dengan kehadiran crowd dan supporter yang agak ramai iaitu ‘Choice Of A New Generation Band Fest’ yang mana turut dijayakan oleh beberapa kumpulan jemputan dari luar dan dalam Sabah. Projek split diteruskan lagi dengan beredarnya 3 way split cd ‘Patak-Patak Bah’ 2002 dibawah label Bob Agigi iaitu bersama grinder dari Johor iaitu Damokis dan Rengkong Terkeluarq, grinder dari Kedah. Perpetual turut mengeluarkan sebuah split cd bersama Raja Grindcore Singapura iaitu Demisor pada tahun 2003, selain sempat membawa band inspirasi mereka tersebut untuk bermain gig di Sabah melalui ‘Grind Over Borneo 2003’ Pada tahun 2004, Perpetual juga mengeluarkan sebuah split cd dengan sebuah band Grind lama juga dari Malaysia, Torture Incident. Projek split cd juga berjaya dihasilkan bersama sebuah band Grindcore dari Negara Russia iaitu Smersh pada tahun 2005. Sepanjang tahun-tahun tersebut Perpetual juga terlibat dalam beberapa projek kompilasi cd antarabangsa bagi kumpulan-kumpulan bergenre Grind antaranya ialah Night Blast keluaran label dari Jepun dan An All Fashioned Grindcore keluaran label dari Sepanyol.

Sekitar tahun 2006, Perpetual agak perlahan dalam aktiviti mereka kerana beberapa lineup bertugas dan berhijrah keluar daripada Sandakan/Sabah selain faktor masa dan jarak yang membuatkan mereka sukar untuk sentiasa berkumpul bersama. Perpetual disepanjang tahun 2006 hingga 2012 walaupun tidak mengeluarkan sebarang material namun mereka masih tetap kental dengan semangat grinding mereka dengan bergiat aktif bermain dalam banyak gig yang dianjurkan oleh penganjur gig tempatan. Pada masa tersebut terdapat pertukaran posisi di mana Zam bertindak sebagai bassist dan Nasir mengambil alih tugas sebagai gitaris. Manakala Zull dan Pijal tetap setiap kekal dalam posisi drums dan vocals.


Menjelang tahun 2013, iaitu genap 18 tahun kumpulan ini mengharungi pengalaman suka duka dalam arena muzik ekstrim, dimana mereka telah tekad untuk mengeluarkan CD album yang pertama. Mereka telah membuat rakaman di sebuah studio milik sahabat mereka di daerah Sandakan iaitu Chromatic Studio. Berbekalkan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur dan kegilaan mereka kepada muzik Grindcore, maka kumpulan ini telah memulakan rakaman pada bulan Jun 2013. Sebanyak 10 buah lagu berjaya dirakamkan. Material ini merupakan satu penghargaan buat rakan-rakan dan mereka yang selama ini sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada Perpetual. Album CD yang bertajuk ‘Grind Your Mind’ akan dikeluarkan sekitar bulan September 2013 dibawah label mereka sendiri The Noise Productions. Material terbaru ini bakal membuktikan bahawa Perpetual akan terus mengrinding dengan rilisan material mereka pada masa yang akan datang. This is just the beginning of Perpetual grinding madness. Stayin alive. Stay Grind to the core. Cheers!

Line-up terkini Perpetual adalah:
Zam – Bass
Zull – Drums
Pijal – Vocal
Nasir – Gitar  

Untuk informasi dan pertanyaan:
E-mail: zamodox@gmail.com  

1 ulasan:

  1. Out now!
    Perpetual 'Grind Your Mind' CD
    Go to our bandcamp. Listen to the songs and buy the cd now! Please email to zamodox@gmail.com for order.tq
    https://perpetualgc.bandcamp.com/

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...