2013-08-21

SANTAU - EASTERN OCCULT BLACK METAL


SANTAU ditubuhkan di Klang, Selangor pada Mac 2004 dengan line-up terawal terdiri daripada Moonlaknat (bass/vokal), Zul Penanggal (gitar) dan Deathness (dram) yang mana bermula hanya sekadar untuk suka-suka dan aktiviti menghilangkan rasa kebosanan sahaja. Pada masa itu mereka banyak memainkan lagu-lagu cover dari As Sahar, Sil Khannaz dan Langsuyr. Namun ia hanya seketika. Santau selepas itu terus menyepi meninggalkan Moonlaknat sendirian setelah Zul Penanggal dan Deathness menarik diri dari band ini disebabkan kerjaya masing-masing dan kesukaran memberi komitmen terhadap band. Begitulah mula bicara Ekolucifer menceritakan asal-usul penubuhan Santau.

PADA tahun 2007 bermula kebangkitan Santau setelah kemasukan Ekolucifer dari band Muknar 666, Adul dari band Qalimat, Pawaka dan Blackgoat dari band Assassin Metallurgical, maka lengkaplah line-up Santau pada ketika itu: Moonlaknat (vokal), Ekolucifer (gitar), Pawaka (gitar), Adul (bass) dan Blackgoat (dram). Menurut Ekolucifer, line-up ini berjaya mengeluar demo pertama Santau iaitu "Sumpahan Pulau Puaka" pada awal tahun 2009. Barisan pemuzik ini walaubagaimanapun tidak kekal lama bilaman dua tahun kemudian keanggotaan Santau berubah lagi dengan formasi terdiri daripada Hantu Kepalang (vokal), Moonlaknat (bass), Ekolucifer (gitar) serta Apit Hellmacine (dram) dan ianya terus kekal sehingga kini. 


BERDASARKAN nama kumpulan, penampilan, inspirasi serta judul-judul laguan mereka, pasti kita mudah mengenalpasti kategori muzikal Santau; Eastern Black Metal. "Santau bergenre Eastern Occult Black Metal lebih ke arah ketimuran dan nusantara, sesuai dengan nama Santau. Muzikal kami banyak terpengaruh bunyi-bunyi kemelayuan, ketimuran dengan gaya seperti makhluk hantu syaitan berlumuran darah, hahahhaha! Santau banyak dipengaruhi band seperti As Sahar, Burzum dan Watain" jelas Ekolucifer berkaitan definasi muzikal band ini.

DITANYA berkenaan proses penggubahan lagu, Ekolucifer ada jawabannya: "Kami paling menitikberatkan supaya lagu-lagu Santau tidak lari dari tema Eastern Black Metal. Lagu-lagu Santau dibuat oleh Ekolucifer manakala lirik oleh Hantu Kepalang dan Moonlaknat. Untuk menghasilkan sebuah lagu yang berkualiti bagi aku kena dengar semua muzik baru idea tu luas dan ketika membuat lagu elakkan dengar band kesukaan, nanti lagu jadi copy-paste plak!! Itu pendapat aku!", kata Ekolucifer, seorang gitaris yang juga terlibat dengan band As Sahar dan Reptilia.

DARI sudut penulisan senikata dan pengisian mesej, difahamkan bahawa lagu-lagu Santau banyak menceritakan tentang amalam ilmu hitam santau, mistik, kematian, alam barzakh, kegelapan, hantu dan juga pagan nusantara. Sebagaimana yang diberitahu lebih awal, lirik untuk Santau adalah karya nukilan Hantu Kepalang dan Moonlaknat dan kebanyakannya dibuat berdasarkan rujukan serta pembacaan. 


SANTAU terlebih dahulu mengeluarkan sebuah demo berjudul "Sumpahan Pulau Puaka" pada tahun 2009 melalui produksi hasil kerjasama dua buah label tempatan; One Voice Entertainment dan Metal Warrior Production. Hanya 5 tahun kemudian iaitu di tahun 2013 ini Santau dapat merilis album pertama mereka "Santau Tuju Tuju" di bawah terbitan Metal Warrior Production. "Jika anda ingin merasakan kegelapan dan kejahatan ilmu-ilmu hitam bersama Santau, dapatkan album ini yang memuatkan 7 lagu, 2 intro & outro berbentuk digipack, pro cd dan disertakan booklet dengan harga RM30 by hand RM35 by pos", maklum Ekolucifer merujuk kepada kandungan dan edaran album "Santau Tuju Tuju".

Easterian Metal Majesta - lagu dari "Santau Tuju Tuju"

DI SAMPING penciptaan lagu dan pengeluaran material, Santau juga melihat kepentingan beraksi di pentas dalam kewujudan dan pergerakan band ini. "Bagi Santau, persembahan live amat penting buat mempromosi dan para pendengar dapat menilai sendiri keikhlasan kami berkarya serta menyebarkan kejahatan kami, hahahah!! Persembahan Santau yang tidak kami akan lupa ketika bermain outdoor festival Madat Bawah Tanah #3 di Bogor, Indonesia pada 8 Jun 2013 di hadapan crowd 2500 orang dengan stage yang besar terasa macam main di Wacken, hahahaha! Terbaek!!", kata Ekolucifer.

Persembahan di Madat Bawah Tanah #3, Bogor, Indonesia.

BERBICARA tentang pembikinan material baru dan harapan masa depan Santau, Ekolucifer menerangkan: "Lagu-lagu baru masih dalam proses untuk rilisan album kedua pada tahun hadapan, nantikan sahaja! Harapan Santau ialah muzik kami dapat diterima dan akan terus dan terus menggelapkan serta menghantui hidup anda semua!!". 

"TOTALLY thanks 666% buat Santau Occult Legion dan yang support Santau selama ini! 666ieg heil! For those who spit on us… total fuck off and die!!! We know who you are!!!", akhir kata luahan Ekolucifer menutup perbualannya bersama EKSTRIM dengan sedikit penghargaan dan pesanan dari Santau. 

Emel: santauoccultlegions@yahoo.com / ekolucifer666@gmail.com
Facebook: www.facebook.com/pages/santau/131263400244592

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...