2014-07-26

EDITORIAL: SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1435H


Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Alhamdulillah, 1 Syawal 1435H bersamaan Isnin, 28 Julai 2014 Masihi, saya dan anda semua rakan-rakan saya sekali lagi dapat menyambut hari mulia, Hari Raya Aidilfitri. Semoga raya tahun ini dilalui dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan kesederhanaan. Raya tahun ini juga disambut dengan penuh keinsafan memandangkan kita warga Malaysia melalui tahun yang penuh tragik dan menyedihkan berikutan kehilangan misteri pesawat MAS MH370 serta terhempasnya ditembak jatuh MH17. Pada masa yang sama juga kepiluan yang amat sangat turut kita rasai terhadap saudara-saudara kita di Gaza (Palestin) yang terus menerus dizalimi, diserang dan dibunuh oleh laknatullah Yahudi Israel.

Bersempena hari yang baik ini, saya menyusun 10 jari memohon maaf zahir dan batin andaikata ada salah silap, kelemahan dan kekurangan saya selama mengendalikan laman blog EKSTRIM ini. Maaf jika ada informasi-informasi penting yang saya terlepas pandang dan tidak disiarkan. Ampun jua dipinta kiranya ada kandungan dan penulisan yang kurang tepat dan tidak kena di pandangan anda. Saya hanya manusia biasa, tiada yang sempurna pada diri saya. EKSTRIM saya wujudkan bertujuan untuk melapor dan mengdokumentasikan gerakan Metal/Muzik Underground tanahair untuk dikongsi bersama anda semua. Sekurang-kurangnya wadah ini menjadi rujukan generasi metal akan datang yang mahu menerokai semula apa yang ada pada Underground Malaysia pada sekitar hari ini. Tiada langsung terlintas diniat saya menjadikan EKSTRIM sebagai alat untuk mendapatkan produk dan barangan secara percuma. EKSTRIM berdiri sebagai sokongan dan saya sebagai penyunting laman ini akan beli rilisan-rilisan anda!


Baiklah, saya tidak mahu menulis panjang dalam editorial kali ini. Di atas saya kongsikan sebuah video menarik, mainan gitar dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Yus Malmsteen. Versi gitar solo ini adalah untuk lagu Selamat Hari Raya nyanyian asal Rahimah Rahim. Manakala sebuah lagi video eksklusif saya kongsikan di bawah ini pula adalah sebuah lagu raya era baru yang berbau old-school garapannya, berjudul Insan Di Hari Raya ciptaan saudara Rex Strike dari kumpulan Nuclear Strikes / Antacid. Layan sepanjang perayaan Aidilfitri anda!


Sekian. Sekali lagi saya rakamkan: Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas daripada:
Sufian bin Mohamed Salleh a.k.a. Pyan Nathias

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Terima kasih bro. Selamat hari raya mohon maaf zahir & batin jua diucapkan.

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...