ORANG percaya perwatakan seseorang boleh dinilai berdasarkan cita rasa muzik mereka. Benarkah? Mudahkah? Pop adalah untuk remaja. Jazz untuk orang kaya. Punk untuk jiwa lara. Dangdut untuk ...? Entah.
Kalau saya katakan semua perkara di atas tidak lebih sekadar suatu stereotype, setujukah anda? Stereotype yang didorong kecenderungan manusia melabel manusia.
Genre muzik heavy metal misalnya, dikaitkan dengan perasaan dipinggirkan, penindasan dan kemarahan, yang kesemuanya diluahkan dengan jeritan, rintihan dan irama yang gegak gempita berserta hayunan kepala atau headbanging.
Para pengkaji berpegang kepada prinsip 'gaya muzik popular lazimnya dikaitkan kepada situasi sosial di mana ia bermula'. Misalnya Rock 'n' Roll tumbuh bagai cendawan di kota-kota Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua dan penghijrahan besar orang kulit hitam dari pedalaman. Mereka membawa muzik jazz dan R&B (rhythm and blues) ke kota-kota. Semua elemen ini menjadi nukleus kepada kelahiran muzik rap dan hip hop yang hangat di pasaran hari ini.
Muzik heavy metal agak berlainan. Kajian sarjana yang mendapati kemunculan dan populariti muzik heavy metal ini pada 1960-an dan 1970-an di negara yang menanggung isu ekonomi yang berat seperti kehilangan peluang pekerjaan akibat penutupan kilang, misalnya di England.
BAND heavy metal terkenal United Kingdom.
Iron Maiden ditubuhkan pada 1975 dan kekal popular ke hari ini.
Band heavy metal termasyhur di England ialah Iron Maiden ditubuhkan pada 1975, begitu juga Motorhead; yang memberi saingan kepada band metal terawal seperti Led Zeppelin (1968), Black Sabbath dan Judas Priest (1969).
Secara umumnya, penggemar heavy metal dilabel sebagai 'pemarah dan tidak patuh pada undang-undang'. Sabar. Jangan marah. Saya turunkan kaji selidik sarjana dari Westminster University yang cuba mencari rumusan terhadap isu ini.
Ahli psikologi, Viren Swami melakukan soal selidik terhadap 219 wanita dan 195 lelaki di United Kingdom tentang personaliti mereka selepas mendengar 10 lagu heavy metal.
Kajian tersebut, yang diterbitkan dalam jurnal Psychology of Aesthetics, Creativity, and the Arts, menumpu kepada muzik metal kontemporari yang dikenali menerusi petikan gitar yang tajam, hentakan deram bertalu-talu, irama kompleks dan tempo ekstrem. Bayangkan lagu Seek and Destroy oleh Metallica.
Fakta yang diperolehi itu kemudiannya disepadankan dengan ciri-ciri personaliti. Professor Swami merumuskan terdapat 'keterbukaan terhadap pengalaman' sebagai faktor utama dalam menikmati muzik heavy metal.
Beliau juga merumuskan wujud kemungkinan penggemar heavy metal ini memiliki perasaan rendah diri yang berat, keinginan mendesak untuk menjadi seorang yang unik.
Itu penemuan kaji selidik pakar. Saya kurang bersetuju. Sebagai penggemar Iron Maiden dan Ronnie James Dio, tak timbul pula isu 'perasaan rendah diri'. Tetapi ada keyakinan diri untuk siapkan artikel ini sambil mendengar lagu For Whom The Bell Tolls (Metallica) dalam masa dua jam maksimum.
Sejarah ringkas kelahiran heavy metal menggariskan permulaannya menjadi tarikan kepada 'kumpulan kelas pekerja lelaki yang disisihkan'. Bagaimanapun, hari ini heavy metal juga popular dalam kalangan negara yang berasaskan pengetahuan, kaya dan maju.
Seorang penulis portal CityLab.com, Richard Florida menampilkan kajian yang menarik, siap dengan peta menunjukkan bilangan band heavy metal bagi setiap 100,000 penduduk menggunakan data daripada Encyclopaedia Metallum.
Tulisan beliau itu menunjukkan bagaimana muzik heavy metal tidak begitu berpengaruh di negara kelahirannya iaitu UK tetapi kekal popular di negara-negara Scandinavia yang kaya, selamat dan stabil.
Ada pihak beranggapan bahawa kegelapan dan sejuk beku di utara Eropah menggambarkan jiwa heavy metal yang gelap dan penuh kemarahan.
Florida, bersama rakannya Charlotta Mellander dari Martin Prosperity Institute, mengkaji kaitan antara heavy metal dengan sebilangan faktor ekonomi dan sosial untuk mengenal pasti corak yang wujud.
Keusahawanan
Kajian mereka mendapati bahawa bilangan band heavy metal di sesebuah negara boleh dikaitkan dengan hasil ekonomi negara, tahap kreativiti dan keusahawanan.
Terdapat bilangan tinggi orang dewasa yang memiliki ijazah, tahap lebih baik pembangunan insan, kehidupan dan kepuasan hidup, semuanya dapat dikaitkan dengan pengikut besar muzik heavy metal di sesebuah negara itu.
Mellander, yang merupakan warga Sweden, mendakwa kegemaran orang Scandinavia terhadap band heavy metal boleh dikaitkan dengan usaha kerajaan mewajibkan pengajian muzik di sekolah. Ini secara tidak langsung mewujudkan generasi yang mampu memenuhi keperluan teknikal muzik heavy metal.
Florida merumuskan bahawa muzik metal mungkin tercetus daripada kumpulan masyarakat yang tidak bernasib baik, yang merungut dan disisihkan. Namun popularitinya kekal dalam masyarakat di negara maju dan kaya yang memiliki syarikat media dan hiburan yang boleh melahirkan irama dan genre baharu, selain pembeli baharu yang memiliki banyak masa terluang dan mampu membelinya.
Membaca kajian saintifik tentang perkara-perkara sebegini boleh mencetuskan idea baharu kepada anda, berbanding membaca gosip politik atau membelek Instagram semata-mata. Artikel Merrepak ini bukan mahu menggalakkan muzik yang melalaikan di bulan Ramadan ini. Muzik tidak melalaikan, melainkan pendengar sendiri yang mahu dilalaikan.
--------------------------------------------------
NOTA: Sumber asal artikel ini adalah sebagaimana disiarkan dalam ruangan Rancana >> MERREPAK, Mingguan Malaysia, Ahad, 6 Julai 2014 - mukasurat 9 ditulis oleh Johardy Ibrahim [johardyibrahim@twitter.com]. Artikel ini dipaparkan semula dalam EKSTRIM hanya semata-mata suatu perkongsian ilmu/maklumat dan tiada kaitan dengan perlanggaran hakcipta mahupun bersifat komersial.