2016-05-24

Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation Bakal Gegar Hard Rock Café Melaka


Nama Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation seakan sudah selari di bibir-bibir para penggemar muzik berat tempatan. Kewujudan mereka telah sekian lama di persada muzik bawah tanah, biarpun tidak mendapat tempat di hati para peminat muzik arus perdana, itu sedikit pun tidak pernah menghentikan minat mereka untuk terus berkarya di bawah nama underground.

Jika sebelum ini pentas Hard Rock Café Melaka pernah di warnai oleh jalur muzik seumpamanya yang di bawa oleh kumpulan Brain Dead, Sil Khannaz, Necrotic Chaos dan FTG. Ternyata kehebatan aksi-aksi kumpulan tersebut berjaya mendapat sokongan di kalangan pencinta muzik berat tempatan apatah lagi ianya sedikit sebanyak membuka ruang untuk kumpulan lain beraksi di pentas yang sama.

Lantaran displin yang tinggi ditunjukkan oleh penggemar muzik sedemikian, maka pihak Hard Rock Café Melaka sekali lagi memberi kepercayaan kepada Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation untuk memenuhi slot “Live Music”. Apatah lagi ketiga-tiga kumpulan ini memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak Hard Rock Café Melaka.


Hirarki penubuhan Farasu yang bermula pada penghujung tahun 2002 menyaksikan penyatuan 2 buah kumpulan iaitu Brave In Vision dan Iron Storm. Jatuh bangun, pertukaran ahli sudah menjadi rencah buat sesebuah kumpulan yang di tubuhkan. Namun di sebalik kegagalan itu menjadikan setiap anggota Farasu menjadi semakin kuat.

Demi membuktikan bahawa mereka mampu berdikari, kumpulan yang ditunjangi oleh Shah Zaini, Nahak, Ordil Jay Sven, Apai dan Mus Fidayyin tampil dengan album pertama yang berjudul “Menongkah Arus” (2010). Album yang bernadikan eastern metal ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan penggemar muzik berat tempatan. Album kedua yang berjudul “Against Tyranny” telah diterbitkan pada tahun 2015.


Kelahiran “Against Tyranny” seolah-olah membuka lembaran bagi Farasu kerana selain beraksi di dalam Negara mereka juga turut mendapat tawaran mengadakan persembahan di Indonesia. Antaranya adalah Jogja Brebeg Fest, Batam Undersickness 4, Dumai Tektonik, Daimonous Open Air dan sebagainya.

“Kami cukup teruja dan berterima kasih kepada Hard Rock Café Melaka kerana memberi ruang dan peluang kepada Farasu untuk turut sama memeriahkan siri Live Music bersama-sama 2 lagi jenama hebat yang ternyata cukup dikenali di persada muzik bawah tanah”, ujar Nahak.

“Buat peminat Farasu, Insha Allah kami akan memberikan yang terbaik untuk santapan halwa telinga anda. Kami cukup teruja apabila digandingkan di atas satu pentas bersama-sama Infectious Maggots dan Suffercation”, tambahnya lagi.


Infectious Maggots terlebih dahulu dikenali dengan nama ABC Dead, dimana ketika awal penubuhannya pada tahun 1991 ianya di barisi oleh Lan Bear, Lan Bye, Kochix, Wan Ermie dan K-Roll. Nama Infectious Maggots mula diguna pakai setelah kemasukkan Fathul yang berada di posisi vokal.

“Life Among The Ruins” merupakan demo pertama yang dihasilkan di bawah nama Infectious Maggots, demo yang membariskan 4 buah lagu ini telah menambat hati syarikat rakaman Sonic Asylum Records. Maka pada tahun 1992 album studio pertama dihasilkan dengan judul “Deep Within Our Grief Factory, Milk Runs Red”.


Album yang menjadi ikon muzik industrial ini terus menjadi pemankin kepada Infectious Maggots untuk terus bergerak ke hadapan. Lantaran itu lahirlah beberapa buah lagi album daripada Infectious Maggots, antaranya ialah Unknown dan Karat Besi Simfoni.

Lan Bear, Lan Bye, Fathul, Pie dan Jijoe akan memastikan Infectious Maggots para penggemar wirama berat tempatan akan terpaku dengan persembahan bertenaga daripada mereka. Apatah lagi penyatuan ini pasti akan memberi impak yang besar kepada hadirin yang menonton aksi-aksi hebat Maggots.


Bagi peminat muzik underground sudah tentu anda mengenali nama kumpulan Suffercation. Semenjak kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1990, nama Suffercation sering meniti di bibir para peminat muzik underground.

Penyatuan anggota asal kumpulan Suffercation pastinya sentiasa dinantikan oleh penggemarnya. Jeff, Ly, Rob dan Loli adalah tulang belakang yang memantapkan muzik Suffercation itu sendiri. Album pertama “Day Of Darkness” keluaran Valentine Sound Production pada tahun 1992 sentiasa menjadi bualan peminat dari dulu sehingga kini.

Setiap album yang dilahirkan pastinya menjadi bualan serta tampil dengan konsep yang berlainan. Malah ada di kalangan peminat yang memberi reaksi negatif apabila Suffercation tampil dengan album melayu yang di lihat cukup bertentangan dengan konsep Suffercation itu sendiri.


Sehingga kini Suffercation telah hadir dengan 6 buah album, Day Of Darkness, Cryptic Existence, In Sufferance, Karisma..Rialiti..Abadi.., Pendekar dan As We Breathe..

“Buat peminat yang hadir pada 28 Mei ini, Suffercation hanya akan mempersembahkan lagu-lagu yang terdapat di dalam album pertama, Day Of Darkness. Ianya hanya eksklusif untuk peminat yang hadir di Hard Rock Café Melaka”, ujar Ly Razak.

“Pastinya kami akan memberikan sesuatu yang mengujakan, apatah lagi kembalinya vokalis asal iaitu Jeff Ilias sedikit sebanyak akan mengubat kerinduan peminat Suffercation kepada lagu-lagu yang terdapat dalam album Day Of Darkness”, tambahnya.

“Demi peminat Suffercation kini giat berlatih, biarpun ada di antara kami yang berada di luar Kuala Lumpur namun untuk persembahan di Hard Rock Café Melaka nanti, ianya bukan halangan buat kami. Apa yang penting kepuasan anda adalah matlamat utama kami”, ujar Ly mengakhiri perbualan.

Farasu, Infectious Maggots dan Suffercation bakal di satukan di Hard Rock Cafe Melaka pada 28 Mei ini. Dengan tiket serendah RM40.00 anda bakal disajikan dengan santapan muzik yang sentiasa malar segar seraya mengembalikan nostalgia sewaktu anda membesar dengan muzik-muzik mereka. Showcase eksklusif ini akan bermula sekitar jam 3 petang dan berakhir pada jam 6 petang.

Pastikan janji temu anda bersama mereka, sebarang pertanyaan mahupun urusan pembelian tiket boleh layari www.hardrock.com/melaka atau datang sendiri ke Hard Rock Café Melaka. Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi enquiries@hardrockcafe-melaka.com atau hubungi talian +606 2925188.

Teks & Foto kiriman: Nazghoul Azguadthnazghoul75@gmail.com
Klip Video oleh: Gatal Tangan Project

BERKAITAN:

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...