2012-10-16

DAARCHLEA - PENDATANG BARU METAL


PROFIL

NOTA: Saya cuba untuk mendapatkan semula paparan-paparan yang pernah disiarkan semasa era EKSTRIM.INFO walaupun saya tahu ia sesuatu yang sukar dan hampir mustahil. Salah-satu artikel yang saya temui adalah DAARCHLEA - PENDATANG BARU METAL yang mana saya temui di laman myspace mereka. Saya kurang pasti bila tarikh sebenar artikel ini ditulis, ceritanya mungkin sudah agak basi namun paling tidak ia adalah gambaran terdekat tentang DAARCHLEA di peringkat awal kemunculan mereka ~ Pian Kvlt 16/10/2012


Daarchlea telah ditubuhkan pada sekitar tahun 2007 di Cheras, Kuala Lumpur. Band ini adalah band yang sulung bagi semua ahli Daarchlea. Pada awalnya, ahli Daarchlea hanya terdiri daripada Emme dan Zizie. Oleh kerana minat untuk mempunyai band sendiri, ahli-ahli lain dicari untuk melengkapkan band ini. Usaha ini agak sukar oleh kerana terpaksa mencari mereka yang mempunyai minat yang sama dalam muzik yang ingin dibawakan kelak. Akhirnya, usaha untuk melengkapkan band berhasil. Seorang demi seorang yang meminati jenisan musik yang sama ditemui. Zaim (bassist) kemudian memasuki band Daarchlea diikuti Emiey (keyboard). Usaha ini diteruskan dengan pencarian drummer dan akhirnya Ayie (drum) ditetapkan sebagai drummer Daarchlea. Namun, masih ada kekosongan di dalam lineup Daarchlea. Akhirnya, Firdz (vokal) melengkapkan band ini dengan menjadi teraju dalam nyanyian untuk band ini. Begitulah kisahnya rentetan penubuhan dan pembentukan band ini mengikut penceritaan saudara Emme.

Selain daripada Emme yang merupakan tunjang instrumen gitar dalam Daarchlea, unit muzik ini turut dianggotai oleh Firdz (vokal), Zizie (guitar), Aiem (bass), Emiey (keyboard) dan Ayie (dram). Menurut Emme berkaitan muzikan, "Daarchlea memilih untuk bermain konsep muzik yang lebih kepada Metal dan sedikit Symphonic. Kami tidak mahu melabel musik kami kerana kami masih lagi baru dalam mengenali dunia musik dan tidak layak rasanya kami untuk meletakkan bentuk musik kami memandangkan kami masih lagi baru setahun jagung". Emme turut menamakan Behemoth, Vesania, Abigail Williams, Cradle Of Filth, Nile, Dimmu Borgir, Old Man's Child, Stormlord dan Rotting Christ antara band yang banyak memberi pengaruh untuk menubuhkan band Daarchlea dan mereka juga banyak mendengar band Symphonic sebagai rujukan.

Berkaitan penerbitan material, Daarchlea hanya ada merakam dua daripada lagu mereka secara live untuk demo simpanan mereka. "Buat masa ini kami belum merilis secara rasmi apa-apa demo. Mungkin setelah mutu permainan kami bertambah baik, dan pembentukan musikal kami tight, kami akan merilis demo. Kami juga mengharapkan komen-komen daripada para 'senior' supaya kami dapat memperbaiki bentuk musik kami di masa hadapan", kata Emme. "Kami sekarang sedang cuba untuk memperbaiki mutu persembahan musikal band kami. Oleh kerana Ayie (dram) dan Emiey (keyboard) masih lagi baru dalam permainan instrumen mereka, kami lebih menekankan untuk menjadikan mereka lebih selesa dengan alatan mereka. Oleh kerana tiada rilisan yang rasmi, kami hanya memperbaiki mutu permainan kami dahulu", kata beliau lagi.

Emme yang memaklumkan bahawa Daarchlea yang ketika ini agak sibuk menjalani latihan di studio untuk memperkemaskan lagu-lagu mereka dan sebagai persediaan untuk sesi rakaman akan datang turut memberitahu sedikit-sebanyak tentang penulisan senikata lagu-lagu band ini. "Subjek penceritaan adalah mengenai persoalan hidup, alam sekitar, kehidupan, bencana tetapi lebih berbentuk puisi yang kemudiannya diolah menjadi senikata", katanya. Beliau turut berharap dapat mengembangkan musik bawaan Daarchlea ke peringkat yang lebih boleh dibanggakan. "Walaupun musik kami masih biasa, kami akan cuba mencari identiti kami sendiri supaya musik bawaan kami lebih dihormati", ujar beliau mengenai wawasan band ini.

Menurut Emme, tawaran gig tidak banyak disertai Daarchlea kerana band mereka merasakan bahawa masih belum kukuh untuk mereka bermain di gig. Daarchlea hanya banyak bermain di battle of the band. Gig pertama yang mereka sertai adalah gig anjuran Tribe Music Studio di Criiz Club dan gig terakhir adalah di Vibe Studio Kajang. Dianggap sebagai pendatang baru metal dalam scene tempatan, Daarchlea yang merancang rakaman EP dibuat dalam masa terdekat ini berharap band ini dapat diterima di dalam scene dan seterusnya musik mereka dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih membanggakan.

"Kami masih lagi berhingus untuk memberi komen-komen seperti ini. Cuma dari pandangan kami, scene metal atau underground Malaysia kurang bersatu. Masing-masing berpuak. Sesetengah daripadanya begitu memandang rendah kebolehan dan karya dari pendatang-pendatang baru yang masih berhingus seperti kami. Bagi mereka, musik adalah diskriminasi. Namun, itu adalah daripada pandangan kami. Kami memohon maaf sekiranya musik kami teruk. Namun, kami akan cuba untuk memperbaikinya", komen Emme tentang scene metal underground Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...