THE IMPERIAL NAGA DIVISION
Assalamualaikum Zarim, IMPERIAL dihidupkan kembali setelah beberapa tahun menempuhi musim hibernasi… apa yang mendorong kepada reformasi band ini?
W'salam Pian... Setelah 10 tahun menyepi, aku yakin inilah masanya untuk kami bangkit dan aktif semula bagi menyambung misi yang telah sekian lama terbengkalai. Kali ini dengan semangat dan azam yang lebih kuat dari sebelumnya.
Ceritakan latarbelakang kem IMPERIAL pada hari ini? Kemana perginya anggota-anggota lama; Isa dan Mizi? Apakah situasi masakini yang terbaik untuk mengenengahkan konsepsi terbaru janaan IMPERIAL?
IMPERIAL kembali dengan muka & format baru, Isa & Mizi tidak lagi bersama dengan band ini kerana masing2 sibuk dengan kerjaya & keluarga. Lineup IMPERIAL sekarang dibarisi oleh Zarim (All Guitars/Synthz), Zam (Vox/Bass), Jon (Bass/2nd Guitar) dan G-Knight (Drums & Percussion). Zam & Jon adalah ahli baru dalam kem IMPERIAL, Zam juga bermain dengan band lain iaitu MG34 & INSULTOR, manakala Jon pula bekas anggota RAVENLORD. G-Knight juga bekas anggota kumpulan RAVENLORD & CRYPTIC MALEDICTION, dia sememangnya telah lama bersama dengan IMPERIAL yang pada mulanya hanya sebagai Session Drummer sejak tahun 1996 lagi tetapi sekarang bermain tetap dengan IMPERIAL.
“The Conquering” dilihat sebagai satu santapan awal yang cukup membanggakan sebagai tanda kebangkitan semula IMPERIAL. Apakah ramuan-ramuan yang menjadi rencah kepada jauhnya langkah kematangan band ini dalam mencipta, menggubah & menyusun lagu?
Secara jujurnya aku mengatakan bahawa kami amat berbangga dengan single pertama ini. Maklumlah, material pertama kami sejak demo "Emperor Of The Hordes" yang dihasilkan pada tahun 1995. "The Conquering" lahir dari idea yang aku wujudkan sekitar tahun 1998, cuma tidak dapat direalisasikan pada waktu itu. Lagu ini telah melalui pelbagai perubahan dari segi gubahan & susunan. Sememangnya aku memang suka mengeksperimen sesuatu karya sehingga aku rasa betul2 berpuas hati dengan hasilnya dan akhirnya terciptalah "The Conquering".
Bagaimana secara keseuluruhan IMPERIAL mendefinasikan muzikalnya pada hari ini kalau mahu dibandingkan dengan kemunculan unit ini sekitar pertengahan 90’an dahulu? Apa rujukannya dan kemana halatujunya?
IMPERIAL yang baru ini membawa konsep EXTREME PROGRESSIVE METAL, kami tidak mahu lagi terikat dengan konsep BLACKDEATHMETAL kerana kami mahukan kelainan & kebebasan berkarya dan akan sentiasa bereksperimen dengan muzik kami. Kami menjadikan band2 dari dalam dan luar negara sebagai rujukan & inspirasi kami. IMPERIAL tidak mahu dilabel sebagai band klon. Aku harap usaha & idea kami ini akan diterima oleh peminat muzik metal dari dalam maupun diluar negara.
Cuba ceritakan apa yang menarik di sebalik “The Conquering”; penulisannya, rakamannya, hasilnya?
Aku mula mencipta lagu2 baru untuk IMPERIAL sekitar tahun 1998 kalau tak silap, ada 5 lagu kesemuanya termasuk lagu "The Conquering". Lagu2 itu sepatutnya dimuatkan dalam EP pertama IMPERIAL, proses rakaman dibuat di Tricastle Studio pada tahun 1999-2000 rasanya. Berlaku masalah dalaman semasa rakaman EP itu, aku hanya sempat rakam 2 lagu dan selepas itu projek itu terbengkalai...sayang. Untuk single pertama ini, agak memenatkan juga proses pada awal rakaman. Bermula dari proses rakaman sehinggalah ke proses mixing & mastering, semuanya mengambil masa hampir sebulan untuk diselesaikan. Boleh dikatakan 40 peratus idea baru timbul secara spontan semasa proses rakaman ini. Aku akan pastikan semua proses dilakukan dengan teliti dan mencapai target yang kami kehendaki.
Single CD tersebut turut memuatkan “Emperor Of The Hordes” Demo 1995 sebagai bonus. Bagaimana perasaan IMPERIAL hari ini terhadap demo lama tersebut? Apa kenangan yang terpalit di sebaliknya?
Memang banyak kenangan semasa membuat demo itu dulu, masa itu aku , Isa & Mizi masih lagi bersekolah dan tak ada modal untuk merakam demo...jadi kami bertiga terpaksa bekerja dikilang secara sambilan untuk mendapatkan modal...hahaha. Demo "Emperor Of The Hordes" itu kami rakam di Hellion Studio dan aku tak nafikan style muzik kami pada masa itu dipengaruhi oleh band2 dari Greece...kau pun tahu band mana yang aku maksudkan...haha. Tapi itu semua hanya tinggal sejarah & IMPERIAL yang akan datang akan lebih technical, progressive & eksperimental. Aku akan cuba sedaya upaya aku untuk mencari style muzik IMPERIAL yang tersendiri..itu yang pasti.
Apa pula keistimewaan tentang rehearsal ‘The Conquering’ sehingga layak turut serta dijadikan bonus?
Tujuan aku muatkan rehearsal track dalam single itu adalah untuk mendengarkan perbezaan lagu "The Conquering" sebelum dirakam secara profesional. Kalau didengar dengan teliti memang ada perbezaan dari segi gubahan & susunan dalam lagu itu.
Bagaimana keluarnya idea Single CD ini dikeluarkan melalui Astral Lore Productions? Pendapat IMPERIAL tentang hasilkerja mereka?
Astral Lore Productions sebenarnya adalah milik Zam, vocalist aku. Dia yang mencadangkan single "The Conquering" itu dikeluarkan bawah ALP. Pada pendapat aku, ALP adalah salah satu label yang walaupun tidak besar tetapi sangat aktif untuk mengetengahkan band2 baru & juga lama. Itu yang menariknya tentang label ini.
Difahamkan “The Conquering” Single CD ini bukan sahaja menjadi bukti masih hidupnya IMPERIAL tetapi turut menjadi saksi kepada satu rakaman & penerbitan sebuah album penuh sedikit masa lagi… Sebaik mungkin diceritakan tentang penghasilan albuim tersebut?
Aku rasa masih terlalu awal untuk aku bercerita tentang album itu. Tapi yang pasti IMPERIAL akan merakam 8 lagu baru untuk album itu nanti. Proses rakaman mungkin akan bermula dalam bulan 8...hanya masa yang akan menentukan...insyallah.
Tiadakah hasrat yang beraksi di pentas-pentas gig sempena pernafasan semula IMPERIAL ini? Akhiri intebiu ini dengan sepatah dua kata-kata provokasi & promosi…
Memang ada tawaran untuk IMPERIAL beraksi digig, mungkin hujung tahun ini. Yang penting bagi aku sekarang ialah untuk memberi tumpuan penuh untuk album IMPERIAL. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Pian dan EKSTRIM kerana sudi menemuramah IMPERIAL. Tak lupa juga kepada peminat yang telah membeli single "The Conquering" kami, sokongan anda semua amat kami hargai. Terima Kasih!