EDITORIAL
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Hari ini, 5 Mei 2013, adalah hari yang bakal tercatat dalam sejarah Malaysia – Piliharaya Umum Ke-13 (PRU13). Hari ini semua warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengundi keluar memilih dan menentukan Kerajaan Malaysia untuk tempoh 5 tahun akan datang, dan kewajiban ini tidak terkecuali buat Warga Metal Malaysia yang berkelayakan untuk mengundi, menyatakan hak masing-masing! Pilih yang terbaik untuk diri anda, keluarga, agama dan bangsa, serta masa depan negara! EKSTRIM mengucapkan Selamat Mengundi!
Jikalau anda perasan, EKSTRIM bermula Mei 2013 ini telah mengalami sedikit perubahan wajah. Tranformasi ini harapnya kelihatan lebih kemas dan menarik. Reformasi perlu untuk kesinambungan EKSTRIM sebagai salah-satu wadah informasi gerakan Metal Underground tempatan. Saya melakukan pelbagai baikpulih dan naiktaraf demi menjadikan EKSTRIM satu pusat rujukan atau one-stop terbaik buat penggiat dan peminat Muzik Metal Malaysia! Evolusi ini bakal berterusan dengan beberapa lagi penambahbaikan yang terkandung dalam tindakan waktu terdekat serta perancangan jangkapanjang laman ini. EKSTRIM sentiasa terbuka menerima kontribusi rakan-rakan di luar sana, sentiasalah berhubung di ekstrimzine@yahoo.com.my atau laman sosial www.facebook.com/piankvlt.
Terkini, saya telah temui kembali emel lama EKSTRIM iaitu ekstrimzine@gmail.com tetapi rasanya untuk sebarang bentuk komunikasi, saya sarankan supaya lebih baik diguna dua (2) sistem perhubungan rasmi yang saya umumkan di atas. Saya juga ingin memaklumkan bahawa laman sosial MYSPACE iaitu; www.myspace.com/sufianms dan www.myspace.com/msiametal (Malaysian Metal) tidak lagi berfungsi (tidak aktif). Semalam saya kembali mengunjungi Metal To Metals Message Board - http://www.forum.metalterus.com.my/ - satu ruang forum yang pernah menjadi platform untuk saya mempromosikan EKSTRIM tetapi saya dapati ianya sekarang tidak begitu aktif, malah penuh dengan spam.
Kembali mengenai laman EKSTRIM, saya memohon maaf kerana sejak akhir-akhir ini begitu banyak penulisan yang disiarkan dalam Bahasa Inggeris di mana ini sedikit-sebanyak melanggar prinsip EKSTRIM yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu. Harap ia tidak begitu menjadi kesalahan yang besar kerana EKSTRIM hanya mahu berkongsikan maklumat-maklumat yang dimaksudkan. Begitu juga dengan artikel-artikel yang diambil dengan kebenaran (tetapi ada beberapa yang disiarkan semula tanpa keizinan, maaf!) dari laman-laman lain – tujuannya hanyalah sekadar perkongsian informasi. Terimakasih buat The Bullet Belt Press – http://thebulletbelt.blogspot.com – di atas keizinan dan perkongsian!
Sekian untuk tulisan editorial kali ini. Harapnya sahabat-sahabat di luar sana dapat membantu saya yang sendirian keseorangan melakukan transformasi, reformasi... memastikan EKSTRIM terus berevolusi...
~ Sufian a.k.a. Pian Kvlt [05/05/2013]
total support!!!
BalasPadam