2014-04-14

MAKLUMBALAS TERHADAP E-MEL INDIVIDU TIDAK DIKENALI

10/04/2014: Seseorang yang tidak dikenali telah mengutus email kepada EKSTRIM menanyakan tentang KREATOR Live in KL. Beliau seperti bukan dari kalangan metal underground kita. Malah, pertanyaan beliau membuatkan aku musykil tentang siapa beliau sebenarnya (maaf, aku rahsiakan email dia). Aku beranggapan beliau adalah seorang penulis/wartawan media arus perdana. Maka aku jawab seperti berikut:

Terima kasih di atas pertanyaan. Maaf saya tidak mengenali anda. KREATOR adalah kumpulan muzik Thrash Metal dari Germany yang telah wujud sejak tahun 80an lagi. Muzik mereka seperti Heavy Metal / Rock yang sedikit lebih keras. Media mainstream seringkali salah faham atau begitu mudah memutar belit apabila menulis tentang show yang berkaitan metal music. Saya telah 25 tahun berada dalam scene metal tempatan. Maaf, saya tidak mengenali anda... anda mungkin seorang penulis dari media massa (akhbar / majalah / tv) arus perdana. Saya ingin perjelaskan TIDAK PERNAH ADA acara penyembahan syaitan, minum darah, bakar kitab suci, sex ritual, tarian bogel atau apa-apa sahaja dalam setiap show/gig metal. 

Cukup menyedihkan apabila mainstream media berlumba-lumba menjual penulisan mereka dengan cara melaporkan perkara yang salah tentang metal gig/show. Dahulu, GIG disalah eja (atau mungkin sengaja disalah eja) kepada JIT (yang kemudiannya dimaksud sebagai Jangan Ikut Tuhan).. ini sesuatu yang amat-amat meloyakan. Ya, kami memang peminat muzik metal yang keras dan berat tetapi kami di Malaysia ini tetap kekal setia dengan kepercayaan kami (mengikut ajaran agama masing-masing). Metal shows/gigs juga TIDAK PERNAH SESEKALI sama seperti apa yang berlaku pada festival Future Music yang berlaku baru-baru ini. Kami sering melaungkan bebas dadah dan alkohol. Tidak pernah tercatat kematian atau rusuhan atau apa-apa yang buruk pada setiap kali berlangsung metal gigs/shows. 

25 tahun saya di sini menggemari dan memperjuangkan muzik metal (yang sebenarnya hanyalah salah-satu cabang muzik rock) tetapi kami terus-terusan dihina dengan pelbagai bentuk tohmahan. Citarasa antara kita mungkin berbeza tapi kita sebenarnya berkongsi satu kehidupan dunia yang sama!

11/04/2014: Aku menerima balasan email dari individu yang tidak dikenali itu. Beliau menyatakan telah membeli tiket dan ingin sekali melihat KREATOR dan bagaimana rupanya scene metal/undergroud kita. Aku mengambil langkah memberi respon sebegini:

Tahniah kerana telah mendapatkan tiket KREATOR Live in KL. Paling tidak, anda telah memulakan usaha untuk mempelajari sesuatu dari scene kecil Muzik Metal Malaysia yang sering ditindas. KREATOR telah lama kaya-raya dengan muzik Thrash mereka sebaliknya band-band metal/underground di Malaysia tidak diberi ruang untuk berkembang malah ditaburkan pasir dalam periuk nasi mereka. Saya di sini ingin bersangka baik terhadap anda. Berikan saya sedikit masa untuk berkata dan kiranya anda melihat saya di kedudukan yang salah, tolong anggap ini sebagai satu luahan, bukannya tuduhan.

Samada anda setuju atau tidak, media mainstream tidak akan pernah mengambil peduli malah mungkin secara sengaja menutup telinga dan mata serapat-rapatnya untuk menerima, mendengar dan melihat apa yang sebenarnya ada dalam scene underground di sini (merujuk kepada email saya terdahulu). Suara kami mengatakan scene ini BERSIH, SIHAT dan POSITIF seakan tiada dalam skop penulisan media mainstream. Kebenaran dari pihak kami bagi anda tiada unsur “sensasi” yang boleh meningkatkan jualan dan pasaran anda. Segala pendapat dan pandangan kami tiada nilai komersil untuk anda (media arus perdana) mengaut keuntungan berganda! Yang datang dari media mainstream hanyalah spekulasi tanpa bukti mahupun konspirasi yang direka-reka kerana itu adalah ‘wang besar’ untuk anda. Kejengkelan apakah yang timbul dari tuduhan akal sejengkal anda media mainstream tatkala mendakwa gig itu upacara penyembahan dan metal itu anutan keagamaan? Saya (dan keseluruhan dari kami) yang telah sekian lama menyusuri perjalanan scene ini TIDAK PUN PERNAH SAMA SEKALI menjadi saksi bahawa scene ini kotor, negatif dan menyesatkan. Tiada langsung dalam kamus scene metal/underground acuan kami (yang masih mempunyai pegangan dan mengenal batas) untuk menganjur dan menggalakkan keruntuhan moral dan kesongsangan hidup. 

Maaf, saya tidak mengenali anda dan anda tidak pula memperkenalkan diri. Anda penulis/wartawan profesional media perdana semestinya berada dalam rasional etika penulisan/kewartawanan anda! Jangan tipu orang tua kami, saudara-mara kami, orang kampung kami dengan cerita palsu anda! Lebih baik tidak menulis dan melapor sesuatu yang anda sendiri tidak tahu. Media seharusnya menjadi rakan terbaik dalam menegakkan Haq dan Batil dengan kaedah yang berhemah dan bermaruah. Hindari dan hentikan fitnah jika anda tahu ianya fitnah!

Sekali lagi tahniah kerana anda telah ada tiket untuk menyaksikan KREATOR Live in KL. Saya gembira kerana anda bakal berada di sana dan harap ianya ikhlas. Selamat mengenali KREATOR dan meninjau scene metal/underground di negara ini. Semoga anda mempelajari sesuatu yang lebih baik dari kehadiran anda di event tersebut. Gunakan peluang yang anda ada untuk berkenalan dengan rakan-rakan kami di sana. Mereka bukan pengganas. Malah mereka lebih ramah dari apa yang anda jangkakan. Mereka lebih terbuka mindanya dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan jika anda mahu. 

Umur saya 44 tahun. Separuh usia saya dewasa dan semakin tua dengan muzik sebegini. 25 tahun saya lalui scene ini tetapi malangnya tidak pernah sekalipun saya bertemu dan mengalami benda-benda buruk sebagaimana dilemparkan media-media mainstream. Setahu saya, METAL sekadar satu pilihan untuk halwa telinga dan minat kami. Selebihnya kami serupa seperti anda menjalani norma kehidupan biasa, berkerjaya, berkeluarga dan bertanggungjawab kepada Tuhan yang sama seperti Tuhan anda. Terima kasih.


P/S: If you don’t like metal gig, then you go to non-metal party.. Metal is Haram. Topless is Halal? 


Himpunan Status Facebook 10-11/04/2014
Sufian Mohamed Salleh a.k.a PyanNathias

2 ulasan:

  1. dorang ingat yang dengar metal ni sesat.. tu pesta bikini.. muzik future hari tu,siap ada mati overdose.... dorang ni halalkan...

    BalasPadam
  2. Bersimpati dgn pembatalan mengejut Kreator live in KL. Beginilah nasib kami anak-anak Metal. Terharu dgn semangat rakan-rakan tetapi ruang yang kecil ini seringkali disekat. Hinakah kami menjadi anak-anak Metal?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...