Tujuan EKSTRIM menyiarkan artikel ini hanyalah sekadar untuk perkongsian, dan rujukan generasi Metal Malaysia pada masa akan datang. Penulisan ini adalah berkaitan pembatalan KREATOR - LIVE IN KUALA LUMPUR yang sepatutnya berlangsung pada 23 April 2014 di Scandals Club, Kuala Lumpur.
Farah Noor Samat - 6:45PM - 25 Apr 2014
Penganjur konsert Kreator, kumpulan 'thrash metal' terkenal daripada Jerman, yang dihalang persembahan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mendakwa kerugian lebih RM20,000 akibat tindakan itu.
Demigod Records, penganjur konsert yang sepatutnya berlangsung pada 23 April lalu berkata, mereka mengalami kerugian apabila jualan awal tiket masih belum cukup menampung kos pengurusan acara.
Mereka mendakwa sudah membelanjakan RM75,000 untuk pelbagai bayaran, antaranya bayaran persembahan, sewaan tempat dan kos penerbangan, sedangkan kutipan jualan awal baru mencecah angka RM53,800.
Dalam kenyataannya di Facebook beberapa jam sebelum persembahan bermula, Demigod berkata ekoran kerugian itu mereka tidak dapat memulangkan wang tiket kepada peminat.
Penganjur menegaskan yang wang tiket hanya akan dipulangkan jika pembatalan dibuat mereka sendiri atau Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
"Dalam kes ini bukan kami yang ambil tindakan (batalkannya), ia di luar kuasa kami," katanya.
Menjelaskan pembatalan itu, penganjur berkata, mereka dimaklumkan sekatan itu melalui telefon dan kunjungan pegawai DBKL ke tempat acara sepatutnya berlangsung, di sebuah kelab malam di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur.
"Pada jam 5.30 petang dua orang pegawai DBKL datang ke lokasi menghantar notis kepada pengurus pusat hiburan mengarahkan untuk batalkan persembahan dan menutup perniagaan pada malam itu," menurut kenyataan itu.
Demigod menjelaskan, terpaksa akur bagi mengelakkan serbuan yang boleh menyebabkan pengunjung konsert bermalam di lokap.
Sementara itu, diminta mengulas perkara itu, DBKL memaklumkan konsert Kreator disekat kerana lesen hiburan kelab di ibu negara itu telah tamat.
Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan perkara itu dalam balasan e-mel kepada Malaysiakini hari ini.
"Pengendali masih dalam proses pembaharuan semula lesen-lesen tersebut. Dalam tempoh proses pembaharuan tiada sebarang aktiviti dibenarkan," menurut kenyataan itu.
SUMBER ASAL: MALAYSIAKINI.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan