2013-11-11

MEDUSSA SAFANNAH - RAW BLACK METAL TYRANT


Untuk makluman, temubual ini pada asalnya dibuat untuk diolah semula bagi mengisi ruangan PROFIL, namun dengan jawaban-jawaban yang agak masif diberi oleh pihak band MEDUSSA SAFANNAH, ia disunting dan diletakkan di bawah ruangan WAWANCARA. Tanpa berlengah, ayuh kita baca apa yang telah diperkatakan oleh Yant Dharma (gitar utama), SS (vokal & bass) serta Warhytslave (gitar ritma) berkaitan MEDUSSA SAFANNAH, band Black Metal dari Pulau Pinang...

Boleh diceritakan bila, dimana dan bagaimana band MEDUSSA SAFANNAH bermula? Apakah yang mendorong dan menjadi matlamat kepada penubuhan band ini? Apakah peristiwa paling bersejarah sepanjang keujudan band ini sehingga kini?

Yant Dharma:
Sejarah asalnya ianya ditubuhkan di Perlis pada 1995 bermula di zaman sekolah yang pada ketika itu pengasasnya Pendekar Yahusafat (gitar dan vokal) bersama dua lagi rakannya Pendekar Yakshirmiz (dram) dan Pendekar Yakshaown Barown (bass) menggunakan nama Medusa Saffanah yang pada ketika itu mereka berkesempatan menyiapkan sekurang-kurangnya 2 buah lagu ciptaan mereka sendiri, tapi sayangnya mereka tidak pernah memperdengarkan lagu itu kepada sesiapa apatah lagi dihantar kepada zine-zine yang begitu aktif dimasa itu.. 

Peristiwa bersejarah? Drummer tarik diri, dia tak mau mati atas stage.. [IPOH 5 Jan 2013]


Senaraikan line-up (ahli anggota & instrumen) dalam band MEDUSSA SAFANNAH pada masa sekarang? Jika terdapat perubahan line-up berbanding ketika mula-mula ditubuhkan, sila beri penjelasan tentang pertukaran yang berlaku.

Yant Dharma:
Line-up sekarang: SS – vokal & bass, Yant Dharma – gitar, Warhytslave – rhythm dan Valent – dram (session). Ahli terdahulu: Man Mistik – dram (tarik diri tak mahu mati atas stage / faktor kesihatan) dan Zarm Ouija – bass (tarik diri atas faktor komitmen kerja).

Bagaimana saudara mendefinasikan muzikal band MEDUSSA SAFANNAH ini? Sila beri satu deskripsi yang jelas berkaitan penafsiran gaya dan halatuju muzik yang disebutkan. Apakah band-band dan faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi muzik band ini?

Yant Dharma:
Sebenarnya, ianya terpulang kepada pendengar untuk menilai. Tetapi bagi kami, Medussa Safannah cuba membentuk identiti kami sendiri di mana kami cuba lari sejauh mungkn dari gaya Eastern Black Metal apatah lagi Norwegian atau mana-mana genre Black Metal yang pernah wujud dari dulu sehinggalah ke saat ini. Black Metal kami adalah melalui lirik. Dari segi muzik, kami boleh juga dikatakan sebagai Irama Malaysia, Balada atau Pop yang di-Black Metal-kan muziknya. Dari muzik-muzik sebegitu jugalah lahirnya ilham untuk kami membentuk draf dan riff dalam lagu-lagu Medussa Safannah.

Kami juga mempunyai beberapa influence seperti Mortuary Drape, Enthroned, Dark Throne tetapi tidak sama sekali kami cuba untuk meniru mereka dari segi muzik, sebaliknya hanya gaya muzik itu dipersembahkan saja yang menjadi rujukan kami. Walaupun secara kasarnya, muzik kami lebih kedengaran ke arah RAW dengan riff-riff dan chord yang simple, namun tidak seperti kebanyakan band-band Raw Black Metal yang membawa muzik mereka secara straight-forward. Muzik kami terselit sedikit sound melodic dan technical yang tidak keterlaluan di dalamnya. Jadi, secara keseluruhannya, kami selesa mendefinisikan muzik kami sebagai Raw Black Metal Tyrant.

Apakah yang paling dititikberatkan oleh MEDUSSA SAFANNAH dalam proses menggubah sesebuah lagu? Siapa penulis utama lagu-lagu dalam band ini? Pada pendapat saudara, bagaimana caranya sesebuah lagu yang baik (berkualiti) dapat dihasilkan? 

SS:
Setakat ini Yant adalah penulis utama lagu untuk band ini dan kami turut memberi sumbangan dari segi idea, konsep serta pendapat kami dalam menghasilkan lagu. Memandangkan proses ini menyeluruh (memerlukan penglibatan semua orang jika boleh) dalam band, kerjasama sangat penting dalam sesebuah band dan kami tidak ketinggalan untuk mengekalkan tahap kerjasama yang jitu demi memastikan kelancaran sebarang proses berkaitan band termasuk penulisan lagu. Kami tiada peraturan yang khusus dan perlu diikuti dalam proses mencipta/menyusun lagu. Segalanya terpulang mengikut keadaan dan situasi pada masa itu, yang mana ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada kami dari segi idea, masa dan produktiviti kami. Kami tidak membataskan apa yang boleh dan apa yang tidak kerana ia akan menyekat kreativiti dan bakat setiap anggota yang ada. setiap orang ada bakat, idea, minat dan cara tersendiri dan itu perlu dipertonjolkan supaya semua anggota dapat mainkan peranan masing-masing.sungguhpun begitu, kami tidaklah menjadi terlalu selesa dan mengambil mudah proses berkarya kami dan masih cuba memberikan yang terbaik dari setiap seorang dari kami untuk band ini.

Apakah subjek atau tema-tema utama yang ditulis dan diterapkan dalam senikata-senikata lagu-lagu ciptaan MEDUSSA SAFANNAH ini? Apakah penulisan lirik ini berdasarkan rujukan, pembacaan atau imaginasi minda? Apakah saudara rasa mesej dari senikata band ini sampai kepada para pendengar?

SS:
Penulisan lirik kami sebagaimana yang kami semua setuju dan sedia maklum cenderung ke arah kegelapan, kehidupan, peperangan, disulami sedikit sebanyak apa yang kami lihat dan lalui setiap detik nafas kami. Selain dari SS yang aktif menulis lirik, kami turut menerima sumbangan buah fikiran serta konsep dari pengurus kami sendiri yang turut serta dalam proses penulisan lirik. Kebanyakan lirik yang ditulis secara spontan namun sumber serta ilham datang dalam berbagai bentuk dan tidak mengira masa. Kalau boleh kami tidak ingin menghadkan tema serta asas penulisan lirik kerana ini akan menyempitkan kreativiti kami dalam berkarya namun garis panduan tetap kami jadikan sempadan dalam menggunakan medium ini dan memastikan kelansungannya seiring dengan muzik kami. Pada kami tiada mesej khusus yang ingin disampaikan dan kami tidak mengharapkan pendengar mendapat mesej dari lirik-lirik kami namun kami hanya berkarya mengikut citarasa dan naluri kami sendiri tanpa perlu terlalu merisaukan itu dan ini kerana itu hanya akan memberi tekanan yang tidak berbaloi untuk dihadapi. Lirik kami tidaklah terlalu metafora mahupun "straight forward" namun kami menyerahkan sepenuhnya pada pendengar untuk mereka hayati atau tidak, serta menentukan tahap kefahaman mereka pada lirik kami.

Sila bagi satu senarai rilisan-rilisan (diskografi) band MEDUSSA SAFANNAH ini? Jika boleh nyatakan tahun setiap rilisan itu dikeluarkan, dan sebutkan nama label pengeluarnya. Pendapat anda tentang isu KUANTITI atau KUALITI dalam produksi metal underground?

Warhytslave:
VAR PROMO 2012 diterbitkan oleh Qalaqas Black ART Productions pada April 2012.

Susah untuk diperkatakan tentang perkara ini. kuantiti dan kualiti harus selari dan balance dalam satu produksi.kualiti? Setinggi mana kemampuan kita untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti memandangkan teknologi dan ilmu yang kita ada agak terkebelakang? Kita produce album hantar ke luar dan tengok apa ulasan mereka. Kualiti album kita sekadar demo pada mereka.

Kuantiti? Ini yang paling sukar. Orang sudah kurang membeli kerana terlalu banyak band-band idola mereka keluarkan material dan sudah pasti itu lebih menjadi tumpuan.sedangkan kita bekorban masa tenaga dan wang ringgit untuk menghasilkan material tetapi untuk terjual 100 copies pun memakan masa yang agak lama.

Kesimpulannya, apa yang kami buat adalah cuba yang terbaik untuk memuaskan hati sndiri dan kemudian barulah pendengar. 

Sila sebutkan apakah rilisan paling terkini dari band MEDUSSA SAFANNAH ini? Sila beri satu keterangan yang wajar (dan berbentuk promosi) untuk menceritakan tentang rilisan tersebut. Nyatakan tahap kepuasan pihak band sendiri terhadap rilisan ini, dan/atau mungkin ada rilisan-rilisan terdahulu yang lebih baik / lebih wajar untuk dijadikan perbandingan.

Yant Dharma:
Buat masa sekarang hanya VAR. Awalnya kami cuba untuk release dalam format demo, memandangkan mutu sound yang pada kami belum mencapai tahap piawaian "demo", maka kami hanya release sebagai Promo. Ianya sebenarnya hanya dihasilkan dalam bentuk promo kit dalam bentuk rar file dan hanya diberikan kepada editor zine dan band-band luar negara bagi tujuan review. Memandangkan terdapat permintaan dari rakan-rakan terdekat untuk diterbitkan dalam bentuk physical material tambahan pula mendapat komen-komen yang agak memberansangkan dari teman-teman luar negara termasuk dari bekas anggota ABSU maka Qalaqas Black Art Production dipertanggungjawapkan untuk merealisasikannya. Bermula dari cover design, printing, pressing sehinggalah promosi. Hanya tinggal beberapa keping saja lagi. Kepada yang berminat, boleh dapatkannya daripada vocalist kami SS. 

Bagaimana saudara melihat pentingnya persembahan live / gig kepada band MEDUSSA SAFANNAH ini (atau keujudan band ini hanya sekadar studio-band)? Jika ada, ambil 1 atau mungkin lebih persembahan live (kemunculan di pentas gig) yang paling diingati / terbaik bagi band ini? Bagi satu senarai (tarikh, nama gig, lokasi) gig yang pernah disertai oleh band ini .

Warhytslave:
Bagi kami, kami bukanlah stage band. Persembahan live adalah medium untuk kami promosikan lagu-lagu serta rilisan terbaru kami. Namun begitu, persembahan live adalah amat penting kerana dari situ kami dapat menambahkan lagi pengalaman sedia ada serta memantapkan lagi permainan.berikut adalah persembahan live / gig yang telah kami sertai:
- Open Air Ceremony Held At "Local Musical Penang" (17/9/2012) - Penang
- Impiety Ravagers Of The Asian Empire Tour 2012 (12/10/2012) - Penang
- Teroka Minda Mini Showcase (30/12/2012) - Bandar Perda, Penang
- United Metal Attack Vol 4 (05/01/2013) - Ipoh, Perak
- March Of Aggression - The Allegiance Of Darkness And Death Gig (06/04/2013) - Sunway Mentari, Kuala Lumpur

Bagi saya, gig yang paling enjoy ialah "March Of Aggression" - The Allegiance Of Darkness And Death Gig, Kuala Lumpur.

Boleh saudara ceritakan tentang penulisan lagu-lagu baru dan rilisan-rilisan baru yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat ini? Mungkin sudah ada satu senarai (yang dah confirm) berkenaan rilisan (judul & label) yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Apa harapan saudara tentang masa depan band MEDUSSA SAFANNAH ini?

Warhytslave:
THE LEGION OF WRATH – 4-way split album antara MEDUSSA SAFANNAH, NAURRAKAR (Czech Republic), OPUS INFERII (Brazil) dan BENATNASH (Mexico) akan diterbitkan dalam sedikit masa lagi. Split album ini juga akan diterbitkan oleh Qalaqas Black ART Production dengan usahasama Obscuria Imperium Record Brazil.

Kami bermuzik bukan untuk cari makan, ianya adalah minat. Namun ianya bukanlah sesuatu minat yang dilampiaskan sia-sia begitu saja. Dalam bermuzik, kami belajar dan teroka sesuatu yang baru. Harapan kami seboleh-bolehnya kami cuba pelajari dan mengasah serta pertingkatkan kemahiran dan skills kami untuk menguasai lebih dari satu alat muzik dan jika setiap anggota Medussa Safannah mampu mencapai tahap multi position, itu merupakan satu bonus. Setakat ini, SS mampu bermain gitar, bass dan keyboard selain vocal dan drum, begitu juga dengan Yant.

Kata-kata terakhir atau sebarang penghargaan?

Yant Dharma:
Terima kasih kepada pihak editorial Ekstrim yang sudi mengetengahkan kami di dalam blog Ekstrim. Terima kasih juga kepada mereka-mereka yang selama ini banyak memberi dorongan dan support kepada Medussa Safanah dan tak lupa juga kepada para pembaca.


MEDUSSA SAFANNAH boleh dihubungi melalui Facebook Band Page www.facebook.com/medussasafannah666 atau melalui label mereka qalaqasblackart@yahoo.com @ www.facebook.com/QalaqasBlackARTProductions

Bacaan Berkaitan:
MEDUSSA SAFANNAH - BIOGRAPHY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...