2013-11-14

TASYIM - PERANCANGAN GIG & RILISAN BARU


Begitu lama tiada berita dari TASYIM. Band Kuantan, Pahang yang cukup sinonim dengan muzikal Malay Occult Death Metal ini baru sahaja muncul di pentas MUAR METAL FEST pada 10 November lalu. Khabarnya mereka bakal lagi beraksi di pentas sekitar Disember nanti, iaitu di Temerloh (KAMI BUKAN SAMPAH, 14/12/2013) dan Rabu (BERTUKANG MALAM-MALAM III, 28/12/2013) serta turut dijadualkan tampil di Kuala Lumpur dalam gig MARCH OF AGGRESSION pada 1 Februari 2014 akan datang.

Tahun hadapan, mereka juga merencana perancangan untuk mengadakan siri jelajah di Kepulauan Borneo bersama beberapa band lain. Pemain dram kumpulan ini saudara Azli dilaporkan berkata: "Insya-Allah 2014 kami merancang bersama beberapa band rakan seperti VISITANT, IMPERIAL, TORCH dan lain-lain untuk melawat Borneo. Kami gelar misi ini sebagai BORNEO INVASION 2014. Berkemungkinan 5 buah band sekaligus akan pergi ke sana bermain (mengadakan persembahan) di beberapa tempat sekitar Sarawak, Sabah, Pontianak dan lain-lain. Jika tiada aral melintang maka sampailah kami semua di sana nanti".

Berkaitan rilisan material, TASYIM kali terakhir mengeluarkan "Descendants Ritual" Demo/EP sekitar tahun 2001 dahulu. Dimaklumkan oleh Azli, pada tahun 2014 nanti TASYIM bakal tampil dengan sebuah lagu baru berjudul The Cried..The Tears untuk dimuatkan dalam THE GRANDEUR OF EAST, sebuah kompilasi keluaran kerjasama oleh Celestial Frequency, Permatha Pathah Records dan Itna Tsirhc. "The Cried..The Tears adalah sebuah lagu kolaborasi bersama Chi (Nadia) bekas vokalis SILENCE ENSHROUD dan Zulkifli@Zoy dari band CRYPTIC MALEDICTION. Ianya 10 tahun perbincangan barulah kini dapat dihasilkan, hehehe!", jelas Azli.

Turut diberitakan, dua projek rilisan split berada di bawah perancangan TASYIM. Pertama, sebuah split 4-way yang bakal menggabungkan 4 buah band tempatan yang datang dari era 90’an. Band-band selain TASYIM masih belum disahkan penyertaannya kerana projek split 4-way ini masih di peringkat rundingan awal. Begitu juga perencanaan projek split 2-way yang masih dirahsiakan (belum boleh dihebahkan) yang mana juga masih dalam perbincangan. 


TASYIM nampaknya menjanjikan penampilan yang lebih serius di masa hadapan melihatkan kepada giatnya perancangan-perancangan aksi pentas dan rilisan baru di tahun 2014 nanti. Anggota band pada masa ini terdiri daripada; Azli (dram), Fuad (Mortality Slaves) (gitar), Amin (gitar) dan Awie (bass). "Vokal untuk rakaman studio adalah sumbangan semua ahli, cuma di gig hanya Fuad dan Amin yang bersuara. Kami ingin kehangatan zaman 90’an dibawa ke tahun 2014 nanti", ujar Azli menutup laporannya. 

HUBUNGI:

1 ulasan:

  1. Kata-kata Encik Azli yang terakhir di atas membuatkan saya rasa terharu...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...