2013-11-13

SUFFER REMAIN - BRUTAL DEATH METAL TERENGGANU


Secara ringkas, SUFFER REMAIN adalah nama bagi segerombolan 4 orang anak muda Kuala Terengganu beroperasi di bawah aliran muzikal Brutal Death Metal. Ditubuhkan sekitar pertengahan 2008, band ini baru sahaja tampil dalam sebuah kompilasi "A Blasting of Malaysian DeathXGrind Companion" serta dalam perancangan merilis EP berjudul "Impaled Humanity". EKSTRIM berpeluang mendekati SUFFER REMAIN dalam satu temubual ringkas bersama saudara Mohd Ezaidi, pemain gitar kumpulan ini.

"Assalamualaikum dan terima kasih diucapkan pada pihak EKSTRIM kerana sudi menemubual band kami yang tidak seberapa ini. Secara ringkasnya band SUFFER REMAIN ditubuhkan pada pertengahan 2008 dan pada awalnya band ini hanya dianggap sebagai projek sisi oleh ahli-ahli band kami kerana pada masa itu kami semua mempunyai band utama masing-masing yang memainkan irama selain dari Brutal Death Metal. Band SUFFER REMAIN ditubuhkan di negeri Terengganu di bandar persisir pantai Kuala Terengganu. Band kami ini pada mulanya ditubuhkan atas dasar ingin memainkan muzik yang lebih keras dari apa yang band utama kami mainkan iaitu Metalcore. Pada peringkat awalnya, SUFFER REMAIN adalah sebuah band yang berpaksikan Grindcore yang dirojakkan bersama elemen Brutal Death Metal. Tapi itu hanya kekal di awal penubuhan SUFFER REMAIN dan sekarang kami membawakan genre Brutal Death Metal sepenuhnya", bicara awal Mohd Ezaidi dalam memberi sedikit pengenalan tentang SUFFER REMAIN.


Barisan terkini keanggotaan SUFFER REMAIN terdiri daripada Mohd Ezaidi (Gitar), Khairul Nizzam (Vokal atau lebih sesuai disebut sebagai Guttural Scream), Mohd Nazro (Dram) dan Mohd Tarmizi (Bass). Sebagaimana kebiasaan yang berlaku pada band-band lain, SUFFER REMAIN juga tidak terkecuali dalam melalui pengalaman bertukar keahlian dan ini diakui oleh Mohd Ezaidi. "Sudah menjadi lumrah band yang sedang membesar akan bertukar ahli-ahli atas dasar komitmen dan keperluan. Kami sudah bertukar bassist sebanyak 3 kali dan drummer sebanyak 1 kali. Line-up sekarang dirasakan lebih bersatu dari segi kefahaman, skill dan halatuju untuk kesinambungan hayat band kami. Saya sekarang menetap di Banting, Selangor dan 3 yang lain masih menetap di Kuala Terengganu. Masa ini kami hanya praktis sebulan sekali kerana faktor jarak yang jauh tapi jika ada sesi rekoding atau gig, kami akan cuba jamm sebulan dua kali bergantung atas keperluan. Kami berjumpa dan jamm di Kuantan atau Kemaman kerana di situ dirasakan adalah titik tengah antara Banting dan Kuala Terengganu", ujar beliau yang turut menceritakan situasi SUFFER REMAIN pada masa ini dalam usaha menjadikan band ini terus berdiri. 

Sepertimana diketahui, SUFFER REMAIN adalah band yang berpaksikan Brutal Death Metal. Persoalan berkaitan evolusi dan inspirasi muzikal mereka dijawab dengan baik oleh Mohd Ezaidi: "Dari segi muzikaliti SUFFER REMAIN, kami memang mengakui menghadapi pertukaran ataupun transition yang agak ketara. Pada awal penubuhan kami memainkan muzik yang lebih ke arah Thrash/Death dan Grindcore. Kami sering cover lagu dari Napalm Death, Death dan juga Terrorizer. Kemudian setelah agak lama bermain muzik bersama, kami ingin menganjakkan lagi kezaliman bunyi band kami ke arah yang lebih kejam iaitu Brutal Death Metal. Band-band yang agak mempengaruhi kami secara tidak langsung pada masa ini ialah Baphomet, Suffocation, Defeated Sanity, Morbid Angel, Disgorge, Despondency, Disentomb, Inveracity, Disavowed, Cenotaph dan Dying Fetus.. sekadar menyebut beberapa nama. Faktor persekitaran tidaklah mempengaruhi kami sangat kerana kami menulis muzik atas dasar minat kepada bunyian muzik itu sendiri dan bukanlah kerana depressi atau ketidakpuasan hati atau apa-apa sahaja perkara negatif yang berlaku di dalam dunia luar sana hari ini".


"Perkara penting yang kami terapkan setiap kali menggubah lagu antaranya ialah 'brutallity’, 'technicallity' dan keagressifan riffing-riffing dan drum beats kami. Kami akan memastikan semuanya adalah se'brutal' mungkin dan kami ingin pendengar merasakan seperti digilis oleh keretapi KTM Berhad. Without end up getting killed, of course. Haha. Segala riffing-riffing adalah dari saya sendiri  sebagai gitaris tetapi apabila sudah ada bentuk embrio sesuatu lagu itu, kami akan mengadakan sesi jamming untuk fine tune lagu-lagu tersebut dan mendengar input idea dari band members yang lain agar tidak menjadi lagu yang syok sendiri. Di sesi itu kami akan menggubah lagu itu menjadi lebih presentable secara keseluruhan. Pada pendapat peribadi saya, dalam arena muzik metal secara amnya sesuatu lagu yang berkualiti hendaklah mempunyai riff-riff yang padu dan ada hook. Dan untuk genre Brutal Death Metal secara khususnya, kualiti rakaman juga hendaklah dalam tahap yang boleh diterima telinga. Maksud saya, setiap instrumen perlu di tahap yang boleh didengari dan bukanlah longgokan bunyi yang bising semata-mata. Penulis sesebah lagu itu juga perlu mendengar seberapa banyak muzik lain agar apa yang terhasil akan menjadi lebih bervariasi dan original", kata Mohd Ezaidi membentangkan penerangan lengkap tentang proses penggubahan lagu-lagu SUFFER REMAIN serta pendapatnya berkaitan kualiti penulisan sesebuah lagu.

Menurut Mohd Ezaidi, secara ringkasnya lirik-lirik untuk lagu SUFFER REMAIN adalah berkisarkan tentang kesengsaraan duniawi pada masa ini. "Penulisan lirik lagu kami tidak merujuk kepada mana-mana sumber tetapi diambil dari pengamatan kami terhadap penguasaan dunia barat dan pergolakan di dunia Asia Barat. Kami mengolahnya mengikut pandangan kami sendiri dan kami merasakan dunia sekarang memang sedang menuju kehancuran dan kemusnahan. Peri kemanusiaan telah menjadi perkara yang tidak relevan dan ini amat ditakuti. Tetapi kami bukanlah mahu menyampaikan mesej sebenarnya kerana tujuan utama band ini adalah untuk memainkan muzik Brutal Death Metal dan lirik hanyalah penambah perisa di dalam lagu kami. Ditambah pula dengan vokal band kami yang growl, pendengar harus membaca lirik jika ingin memahami apa yang kami sampaikan tapi itu bukanlah perkara yang penting pada kami", jelas beliau merujuk kepada konsep lirikal kumpulan ini.

Sebagaimana dimaklumkan, SUFFER REMAIN telahpun muncul dalam sebuah kompilasi dan bakal mengeluarkan sebuah EP. "Setakat ini kami hanya ada satu rilisan iaitu "A Blasting of Malaysian DeathXGrind Companion" terbitan Angka Kematian Production dan Grundar Production. Ia telah diriliskan pada pertengahan tahun 2013. Kami juga dalam proses meriliskan EP kami yang sedang menunggu untuk dicetak. Kami berharap ia akan keluar sebelum penghujung tahun ini. EP kami kemungkinan akan bertajuk "Impaled Humanity". Pada pendapat peribadi saya, saya mementingkan KUALITI dari KUANTITI kerana apa yang kita rakam hendaklah  boleh didengar dengan jelas dan itu lebih bermakna dari kuantiti yang beribu tetapi kualiti produksinya mendap, sebu dan  tidak melepasi piawaian. Perkara ini sudah lama menghantui rilisan metal underground tempatan tetapi apa yang saya perhatikan ianya bertambah baik dengan adanya teknologi home studio digital yang menggunakan DAW seperti Sonar, Cubase dan sebagainya dan ditambah dengan tutorial tentang rakaman home studio yang banyak didapati di youtube menggalakkan lagi pengeluaran hasil rilisan metal yang lebih mantap", jawab Mohd Ezaidi tatkala ditanya tentang diskografi serta pandangannya terhadap isu kualiti dan kuantiti produksi. 

"Rilisan kami yang terkini ialah EP yang bertajuk Impaled Humanity dan ianya sedang menunggu proses cetakan. Untuk rilisan ini kami menjanjikan tahap clarity dan keseimbangan instrumen yang optimum. Kami menekankan kesempurnaan timing, kejelasan instrumen dan distortion gitar yang padu. Tidak dilupakan riffing gitar yang liar dan stroke drum yang laju dan ketepatan yang membunuh", tambah beliau memperincikan kedudukan rilisan EP "Impaled Humanity" yang bakal tiba sedikit masa sahaja lagi. 

EKSTRIM turut menanyakan tentang kepentingan dan pengalaman persembahan live/gig dalam SUFFER REMAIN: "Pada saya, kemunculan di atas pentas adalah salah satu cara untuk menguji kebolehan band itu mengendalikan instrumen masing-masing. Pada saya, jika ada band yang hanya mahu menjadi studio band tidak salah tetapi perlu diingat bahawa jika sesebuah band itu dikenali ramai sudah tentu para pendengar yang memuja kehebatan band  itu hendak melihat mereka secara live pula dan jika ia menjadi satu 'demand' jadi apa salahnya bermain diatas pentas?. Dengan genre yang kami mainkan memang perlu ada tahap kefahaman yang tinggi terhadap instrumen masing-masing. Bermain di atas pentas juga adalah salah satu medium untuk mempromosikan band itu agar material mereka lebih dikenali dan terjual dengan lebih banyak. Dalam konteks SUFFER REMAIN, gig yang paling saya ingati adalah ketika menjadi band pembuka untuk gig tour SIKSA KUBUR di Kuala Terengganu. Pada saya, kami amat berbesar hati kerana dapat menjadi band pembuka untuk SIKSA KUBUR kerana mereka adalah di antara band rujukan kami di dalam scene metal nusantara ini. Drummer mereka amat hebat seperti robot drum berkuasa nuclear. Haha!", kata Mohd Ezaidi menyatakan maklumbalasnya. 


Selain EP "Impaled Humanity", SUFFER REMAIN dilaporkan bakal tampil dalam satu lagi projek kompilasi di mana sebuah lagu telahpun disiapkan, dan seterusnya perencanaan sebuah album penuh. "Untuk penulisan lagu baru setakat ini kami hanya ada satu lagu baru yang sudah siap. Ianya bakal dirakamkan penghujung tahun ini untuk projek album kompilasi label Celestial Frequency. Kami juga merancang untuk merakamkan full-length di masa hadapan dan materialnya sudah ada beberapa kerat idea dari segi riffing tetapi masih belum menumpukan 100% kerana perlu menyiapkan diri untuk rakaman kompilasi itu nanti", maklum Mohd Ezaidi yang turut mengakui selain SUFFER REMAIN, beliau juga ada sebuah band projek Grindcore bernama INFARCTION, memainkan Grindcore ala Insect Warfare, Pig Destroyer, Wormrot dan seumpamanya.

"Saya wakil kepada SUFFER REMAIN ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak EKSTRIM kerana sudi menemubual band kami ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada label kami Celestial Frequency kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk meriliskan material di bawah naungan mereka. Last but not least, thanx to all Terengganu True Metal Hordes, Terengganu Metal Forces, Kelantan Metal Army and all Malaysian metalhead that’s been supporting us from 2008 until now. Keep it brutal !" kata akhir Mohd Ezaidi menutup perbualan. 

INFORMASI

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...