2013-06-24

HAFYUKAL - SEMANGAT MELAYU DALAM METAL


SCENE Metal tempatan akhir-akhir ini begitu meriah dengan kebangkitan dan kemunculan kumpulan-kumpulan pemuzik yang serius memperkasa dan memartabatkan semangat kemelayuan dalam irama Metal bawaan mereka. Situasi ini dilihat sebagai kelangsungan dan kesinambungan jenama Eastern Metal yang telahpun bermula sekitar pertengahan 90an lagi. Untuk hari ini, HAFYUKAL adalah salah-satu unit yang mewarisi legasi Semangat Melayu dalam Metal. EKSTRIM berbicara bersama Panglima Kandak selaku teraju utama Hafyukal dalam usaha mencungkil misi dan visi kumpulan 3 anggota ini.

HAFYUKAL - Sumangat Tok Janggut (2013)

“HAFYUKAL mula tertubuhnya apabila saudara Panglima Dewata berhajat untuk menubuhkan sebuah kugiran yang berlandaskan kepada semangat sejarah melayu lama, menuntut kemerdekaan dan penentangan penjajah.. lalu mempelawa Panglima Kandak dan Panglima Sireh untuk memperlengkapkan sebuah kugiran yang di panggil Hafyukal. Kesemuanya berasal dari Selangor”, kata Panglima Kandak yang berperanan sebagai vokalis dan pemain bass dalam band ini. Sebagaimana yang diceritakan, selain Panglima Kandak, Hafyukal turut dianggotai oleh Panglima Dewata (gitar) dan Panglima Sireh (dram).

HAFYUKAL / HARLOTNYMPH - Pertempuran Daeng (2013)

MENURUT Panglima Kandak, Hafyukal menggelar muzik mereka sebagai ‘Culturalistica Malay Folk Metal’ di mana terdapat campuran unsur-unsur Death, Heavy dan Folk Metal dalam muzikal ciptaan mereka. Dimaklumkan juga lirik lagu Hafyukal ditulis oleh Panglima Sireh dan diolah semula oleh Panglima Kandak.

HAFYUKAL - Amalan Pemandian Keris (2012)

“Seperti yang diperkatakan tadi, lirik Hafyukal lebih cenderung ke arah semangat sejarah melayu lama, menuntut kemerdekaan, penentangan penjajah, di alam mati, kehidupan dan lain-lain lagi. Kebanyakkan penulisan lirik daripada cerita dari orang-orang lama, rujukan dan imaginasi sendiri yang mana tidak lari dari sesebuah situasi yang sebenar”, ujar Panglima Kandak memperjelaskan terma muzikal dan lirikal yang diperjuangkan oleh Hafyukal ini.

DISKOGRAFI
1. HAFYUKAL - “Amalan Pemandian Keris” Promo 2012 - 33 salinan dicetak - CDr
rilisan sendiri - hanya untuk kenalan rapat sahaja- sudah habis
2. HAFYUKAL / HARLOTNYMPH - “Pertempuran Daeng” 2 way split - CDr
rilis oleh Roh Jahat Prod. Indonesia
3. HAFYUKAL - “Sumangat Tok Janggut” - 100 salinan dicetak - kaset
rilis oleh Metal Porn Prod. Malaysia

“Rilisan yang terkini adalah Hafyukal - Sumangat Tok Janggut yang dikeluarkan oleh Metal Porn Production. Cetakan terhad hanya 100 kaset dicetak. Juga boleh mendapatkan split Hafyukal bersama Harlotnymph ‘Pertempuran Daeng’ dari label Roh Jahat Production (Indonesia). Beberapa lagu yang sama tetapi mastering dan mixing yang berbeza antara kaset dan split”, maklum Panglima Kandak berkaitan rilisan-rilisan terbaharu dari Hafyukal. “Untuk pembelian kaset kami boleh menghubungi Munif atau Metal Porn Production, cari di facebook: Metal Porn Production dan split kami boleh menghubungi Titik Yuniarti Bd atau Roh Jahat Production, cari di facebook: Roh Jahat Production”, tambah beliau lagi. 

Untuk makluman pembaca sepertimana yang dinyatakan oleh Panglima Kandak, Hafyukal hanyalah sebuah studio band. Ini bermakna Hafyukal ujud hanyalah untuk penghasilan muzik dan pengeluaran material rakaman dan anda tidak mungkin dapat melihat aksi mereka secara langsung di pentas. “Lagu-lagu baru masih lagi dalam perancangan atau kerangka. Semoga kalian semua dapat mengikuti dan mendapatkan setiap keluaran Hafyukal yang akan datang. Terima kasih”, ringkas Panglima Kandak memberitahu tentang penghasilan material baru dan perancangan masa depan mereka.

“Terima kasih kepada saudara Pian, Ekstrim Webzine, Metal Porn Production (Munif), Roh Jahat Production (Titik Yuniarti bd) kerana mempercayai kami dalam setiap rilisan. Dan kata terakhir dari kami, semoga peliharalah agama, bangsa dan tanah air”, ucap Panglima Kandak mengakhiri perbualan bersama EKSTRIM. 


HAFYUKAL boleh dihubungi melalui emel hafyukal@gmail.com ataupun layari facebook mereka di: www.facebook.com/Hafyukal



1 ulasan:

  1. Discovered them from MTD Production YouTube channel. Pretty dope and totally deserve more recognition!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...