2013-06-13

ANTABOGA - KESERAMAN MISTIK NUSANTARA


ANTABOGA ditubuhkan semenjak tahun 2009 lagi dengan menggunakan nama lain iaitu Momok. Asalnya band ini hanya dianggotai oleh dua orang ahli sahaja bertujuan sekadar untuk suka-suka dalam muzik aliran hitam. Salah seorang ahlinya yang hanya mahu dikenali sebagai Hantu Kepalang dihubungi EKSTRIM berkata, “Apa yang mendorong dan menjadi matlamat dalam band ini kami hendak memajukan lagi tahap permainan kami. Apa yang kami kejar dalam band ini hanya untuk menyebarkan aliran yang cuba kami bawa berunsurkan misitk dan tahyul. Awal tahun 2010 barulah terhasil dengan promo kami yang pertama berjudul Promo Pontianak.. yang tidaklah seberapa, sejurus itu hamba sebagai tuan band cuba lagi untuk menjadi serius dan memperbaiki permainan muzik kami. Sejak itu nama band ini telah ditukarkan kepada Antaboga yang bermaksud hantu bumi atau ular yang besar.. dan lebih mendorong kepada alam mistik nusantara dan menghasilkan material kami yang kedua iaitu demo berjudul Rangda yang berkonsepkan kenusantaraan pada awal 2012. Matlamat kami hanya lebih untuk memajukan karya musik kami”.


ANTABOGA pada masa ini dianggotai oleh Bartbarah (bass), Hantu Kepalang (gitar dan vokal) serta Lumania (dram). “Ya memang ada perubahan. Pada awal penubuhan line-up hanya berdua iaitu Hantu Kepalang dan Haid kemudian kami berpecah atas sebab halangan pekerjaan. Semasa awal penukaran nama kepada Antaboga line-up terdiri dari 5 orang iaitu Ma al ji (bass), Saka (gitar 1), Jannazah (gitar 2), Lumania (dram), Hantu Kepalang (vokal). Penukaran dalam 5 line-up ini berlaku atas sebab-sebab tidak sefahaman yang sama terutama untuk Jannazah yang bersikap hangat-hangat tahi ayam. Sejurus itu Bartbarah memasuki sebagai ahli dan kami menjadi tiga ahli sahaja”, maklum Hantu Kepalang merujuk kepada kronologi pertukaran ahli dalam band yang diasaskan di Klang ini.

DISKOGRAFI:
■ Promo Pontianak (2010)
■ Born In Darkness Vol.3 (Kompilasi 2011)
■ Rangda (Demo awal tahun 2012)
■ The Element Of Mystic (Split 2012)
■ Eastern Hell Fire (4-way Split 2013)
■ Antaboga & Mapez (Split 2013)
■ Mayang Mistik (Full-length 2013)

ANTABOGA dari sudut muzikal didefinasikan sebagai Mystical Black Metal. Hantu Kepalang memberikan penjelasannya: “Muzikal kami ini lebih kepada elemen-elemen jawa, kedjawen dan seram.. antara contohnya kami cuba mencipta riffing-riffing jawa dari lagu kami. Tujuannya adalah untuk menguatkan pegangan nusantara kami dan kami berusaha untuk menyeramkan karya-karya kami. Selain itu halatuju kami bertujuan untuk menyebarkan tentang kewujudan band yang berkonsep nusantara di mata barat (jika mampu)”. 

Beliau turut memaklumkan antara band yang mempengaruhi Antaboga kebanyakannya mereka rujuk dan kaji band-band di Indonesia yang membawa elemen-elemen javanese contohnya Suwek Morni, Sekar Mayat, Batu Nisan, Inallilahi dan Kraton Setan manakala untuk band tempatan adalah seperti Ajal yang berkonsepkan eastern, Singhasari yang berkonsepkan pagan folk nusantara dan Santau yang berkonsepkan eastern occult. Selain itu, Tahdiyul Arwah, Temerity serta As Sahar dari Singapura juga sering dikaji sebagai rujukan dan panduan untuk Antaboga memperbaiki muzik mereka.

“Apa yang kami titikberatkan dalam proses pembikinan sesebuah lagu ialah semangat kerjasama dan sefahaman antara satu sama lain di dalam kumpulan. Penulis untuk lagu kami adalah kami bertiga sendiri. Pada pendapat hamba untuk menghasilkan sesebuah lagu yang baik dan berkualiti pula lahir di hati yang ikhlas untuk berkarya. Selain itu faktor kesungguhan individu juga menjadi satu cara (untuk sesebuah lagu yang baik dan berkualiti dapat dihasilkan)”, ujar Hantu Kepalang menjawab persoalan berkisarkan proses penggubahan lagu dalam Antaboga.

ANTABOGA dari aspek lirikal mengutarakan perkara dan tema yang berunsurkan keseraman. Penghasilan senikata mereka banyak berperihalkan tentang dunia mistik, amalan sihir, kepercayaan tahyul, kisah-kisah kematian dan juga alam barzakh. Berikut adalah contoh lirik dari sebuah lagu yang berjudul Dukun:

Di kala malam suasana menjadi sepi
di iringi angin bayu purnama keliwon bermula
ia datang bertandang di anjung seri malam
titis-titis darah di langsaikan ke hujung
untuk di capai yang di pintanya
gelombang aura di sematkan kebatinan
beradu ke lembah yang gelap puaka
di dalam kegelapan duduknya bersilang
melakukan upacara memanggil hamba dari gelap
limau nipis di perah asap kemian beraura
laungan mantare di baca sebagai senjata
titis-titis darah di langsaikan ke hujung
untuk di capai yang di pintanya
gelombang aura di sematkan kebatinan
beradu ke lembah yang gelap puaka
sepekat darah hitam mengalir keilmuwan
menjadi pendukun yang abadi yang berkuasa
yang di iring iblis dan syaitan

“Untuk penulisan lirik sudah tentu kami ada membuat rujukan tentang hal-hal mistik, selain itu imaginasi minda juga menjadi faktor dalam penghasilan lirikal, namun tidak semua kami buat. Sahabat-sahabat kami juga ada membantu membuatkan lirikal dan kami amat menghargainya”, kata Hantu Kepalang bercerita tentang penulisan senikata-senikata dalam lagu mereka. 

ANTABOGA sekitar Mei 2013 telah merilis album penuh pertama mereka berjudul “Mayang Mistik”. Album ini pada asasnya mengandungi 10 buah lagu (termasuk intro dan outro) namun terselit juga 5 buah prelude sebagai tambahan. “Mayang Mistik diberi tajuk kerana kandungannya mengisahkan hal-hal misitk. Mayang adalah satu benda yang digunakan untuk “memanggil” semangat .. oleh itulah penyebab tajuk nya.. jika pendengar inginkan kelainan dan cuba hayati alam ghaib, suram barzakh bolehlah dapatkan rilisan kami yang berjudul Mayang Mistik yang diriliskan hanya 100 sahaja”, kata Hantu Kepalang berhubung rilisan album penuh sulung mereka. 

“Untuk rilisan kami yang terkini ini, (dari sudut produksi) kami berasa sekadar berpuashati sahaja kerana sebelum ini rilisan-rilisan kami hanya mempunyai rakaman yang biasa dan nada rakaman kurang memuaskan, namun untuk rakaman rilisan terkini ini (dari sudut pengkaryaan) kami masih tidak puashati berkarya kerana kami masih lagi mahu mencuba untuk mendapatkan yang terbaik”, jawab Hantu Kepalang terhadap persoalan tahap kepuasan pihak band sendiri terhadap rilisan yang dimaksudkan.

Berkaitan persembahan live dan penyertaan dalam gig, Hantu Kepalang ada jawabannya. “Pentingnya persembahan secara langsung kepada Antaboga ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan kepada pendengar dan peminat metal sahaja dan juga untuk kepuasan kami berkarya menyampaikan kepada pendengar tegar metal, kami tak mengejar “popular”. Apa yang kami mahukan hasil karya-karya kami dikenang bukan disanjung. Bagi yang mengenali kami, kami tidak pernah anggap itu semua peminat bagi kami. Itu semua adalah sahabat/kawan/rakan”. Berikut adalah senarai aksi pentas yang pernah disertai:
■ Trooper Tomorrow 2 (Jun 2011, One Café)
■ Total Metal Extreme (Akhir Tahun 2012, MKB Bangi)
■ Heart To Heart (Awal Tahun 2013, Heartsharped Studio Pandan Indah)
■ Kami Budak Jahat (5 Mei 2013, MKB Bangi)


“Untuk penulisan karya seterusnya kami akan lebih menerokai alam mistik di nusantara ini, kami akan menceritakan benda-benda yang tersirat. Untuk material seterusnya adalah sebuah split dgn lagu-lagu yang baru. Dengan band mana dan label yang mengeluarkanya adalah rahsia, maaf kami tak boleh hebohkan lagi. Kami hanya mahukan karya-karya kami tersebar luas” maklum Hantu Kepalang mengenai penulisan lagu baru, rilisan dalam perancangan serta harapan masa depan Antaboga.

“Terima kasih kepada pihak anda yang sudi berbicara dengan kami mengenai kewujudan nama Antaboga dan menyambut aura hitam kami ini. Bagi yang mengenali dan menyokong karya kami anda semua adalah sahabat kami dan itu adalah satu penghargaan terima kasih”, kata Hantu Kepalang menutup perbualannya bersama EKSTRIM. 

Emel: momokz_dark@yahoo.com
http://www.facebook.com/ilmuHitam666
http://www.myspace.com/mamukz

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...