2013-06-03

FILSUFATIA - METAL BERNUANSAKAN DEPRESIF & ATMOSFERIK


FILSUFATIA bermula di sebuah negeri bernama Kelantan Darul Naim, pada tahun 2005 sebagai sebuah projek masa lapang dan sebuah platform untuk berkarya bagi saudara Benign Nor Hafeez. Sebelum nama Filsufatia digunakan, beliau menggunakan nama My Lovely Autumn sebelum memutuskan untuk menggunakan nama yang lebih unik. Sejak daripada tahun 2006, Filsufatia telah mengeluarkan sebuah demo setahun. Ini menjadikan bilangan demo Filsufatia adalah 8 buah. Terkini, demo kesembilan dikatakan sedang di dalam proses penggubahan dan produksi.

“Dorongan dan matlamat band ini sebenarnya hanyalah sebagai platform kepada saya untuk berkarya dan berkongsi karya-karya dengan peminat-peminat metal Malaysia. Dahulu, setiap kali Filsufatia menerbitkan demo, laman utama yang menjadi tujuan adalah forum Metal To Metals di dalam Metalterus.com. Sayangnya setelah beberapa lama, laman dan forum tersebut telah pupus. Namun, berkat dorongan dan maklum balas positif yang diberikan oleh orang-orang lama di dalam forum tersebut, saya semakin rajin untuk menulis lagu. Ianya kekal sehingga sekarang”, ujar Benign Nor Hafeez di sebalik pendorong dan matlamat kepada penubuhan band ini. “Saat bersejarah secara khusus mungkin tidak ada, tapi sejak penubuhan band, perkara yang sangat saya hargai adalah sahabat-sahabat yang dikenali melalui Filsufatia”, tambah beliau tatkala ditanya peristiwa paling bersejarah sepanjang keujudan Filsufatia.

FILSUFATIA secara amnya adalah sebuah projek solo atau one-man-band. Perkara ini diperjelaskan oleh saudara Benign Nor Hafeez: “Daripada dahulu sehingga sekarang, anggota band ini adalah hanya saya seorang. Namun di dalam beberapa projek Filsufatia yang sedang saya usahakan sekarang, saya mungkin akan mendapat bantuan daripada Muhammad Aiman dari band Lifelorn dan Paul Ravenwood dari band Twiligh Fauna yang sudi menjadi vokalis untuk Filsufatia dan Bogdan Makarov dari band Annorkoth yang sudi menjadi pemain drum dan gitaris untuk Filsufatia. Ianya bukanlah satu line-up tetap tetapi hanya untuk satu projek memainkan semula lagu-lagu Filsufatia dari demo-demo lama”. 

Menurut Benign Nor Hafeez, label terbaik untuk muzik Filsufatia adalah Atmospheric Melancholic Black Metal dengan elemen-elemen Depressive dan Ambient.  “Band-band yang mempengaruhi Filsufatia pada awal kemunculannya adalah Sil Khannaz, As Sahar dan Langsuyr. Melalui demo keempat, Filsufatia mula dipengaruhi oleh band-band Suicidal Depressive Black Metal seperti Thy Light, Wedard, Cold World, Woods of Desolation, Make A Change.. Kill Yourself, Im In Coffin dan Happy Days. Dari segi persekitaran pula, Filsufatia banyak dipengaruhi oleh cuaca yang redup dan hujan. Ianya tenang dan mengosongkan”.

EKSTRIM juga dimaklumkan bahawa penulis utama lagu-lagu Filsufatia adalah saudara Benign Nor Hafeez sendiri. Perkara yang paling penting dalam lagu-lagu Filsufatia adalah melodi-melodi yang baik dan riff-riff yang boleh memberi kesan ke atas perasaan pendengar. “Filsufatia adalah sebuah band instrumental jadi kami terpaksa memberikan fokus seratus peratus keatas gubahan melodi dan struktur lagu. Dalam pada masa yang sama, kami terpaksa memastikan sesuatu melodi yang baik itu tidak terlalu dibiarkan meleret-leret yang boleh membosankan pendengar”, kata Benign Nor Hafeez berkaitan proses menggubah sesebuah lagu. 

“Lagu atau riff yang terbaik selalunya datang dalam keadaan tidak sengaja. Contoh terbaik yang boleh saya berikan adalah In My Darkest Moment daripada Megadeth dan riff lagu Sweet Child O Mine dari Guns N Roses. Lagu dan riff dari lagu-lagu tersebut dicipta secara tak sengaja, tetapi ia menjadi lagu-lagu yang amat hebat dari band band tersebut” tambah beliau dalam memperkatakan tentang kualiti penghasilan sesebuah lagu. 

Merujuk kepada persoalan berkaitan penulisan senikata, Benign Nor Hafeez menjelaskan: “Sejak daripada awal penubuhan Filsufatia, band ini kekal sebagai sebuah band instrumental. Kami hanya membiarkan muzik kami sahaja yang berbicara dan membiarkan imaginasi pendengar untuk memberikan interpretasi mereka sendiri terhadap lagu-lagu yang kami cipta. Tetapi yang pastinya, setiap lagu kami mempunyai tema asas mereka sendiri. Untuk lebih memahami tema asas ini, pendengar boleh merujuk kepada tajuk-tajuk lagu kami. Setiap tajuk lagu kami adalah seperti pengantar kepada lagu-lagu kami, tetapi interpretasi selanjutnya, kami biarkan pendengar yang menghakimi”. 

“Setakat maklum balas yang kami terima, rata-rata pendengar-pendengar lagu kami mampu memberikan jalan cerita mereka sendiri terhadap lagu-lagu kami. Secara umumnya lagu-lagu Filsufatia berpaksikan melodi-melodi yang melancholic, depresif dan kesedihan yang teramat sangat dengan tema-tema kemurungan dan kekosongan”, luah Benign Nor Hafeez lagi dalam mentafsir mesej-mesej yang mahu disampaikan kepada para pendengar. 

Diskografi Filsufatia adalah seperti berikut:
The Euphony of Regression Demo diterbitkan secara independan pada tahun 2006. Tahyul Demo diterbitkan secara independan pada tahun 2007. Myan Luradh Demo diterbitkan secara independan pada tahun 2008. Immortalis EP diterbitkan secara terhad oleh Carnage Records pada tahun 2009. Echoes of the Yonder Demo diterbitkan pada tahun 2010 (rilisan yang sama diterbitkan secara Split digital release dengan sebuah lagi band bernama Animist oleh Hellkult Propaganda Records, semasa ini Filsufatia menggunakan nama Deep), Buried Beneath & Forgotten Demo diterbitkan secara independan pada tahun 2011 dan diterbitkan kembali oleh Fragile Branch pada tahun 2013. Melancholia, A Burden Too Much To Bear demo yang diterbitkan pada 2012. Split release dengan band Twilight Fauna bertajuk Fallen Leaves In A Tide of Sorrow yang diterbitkan pada awal tahun ini dan demo terakhir Filsufatia akan diterbitkan pada hujung tahun ini dan akan diberi tajuk Eulogy.

Apabila ditanya berkenaan dengan isu kuantiti atau kualiti dalam produksi metal underground, Benign Nor Hafeez berpendapat: “Pada pandangan saya, kualiti amat penting bagi sesebuah band metal. Ini adalah kerana peminat-peminat metal seperti saya contohnya amat menitikberatkan sound yang baik (bergantung kepada genre) terutamanya pada kualiti bunyi-bunyi instrument yang dimainkan. Pada pendapat saya, sekiranya kualiti diberikan perhatian, maka peminat metal akan menghargainya dan dalam pada masa yang sama, pasti kuantiti produk yang diterbitkan akan mula bertambah”. 

Setakat ini rilisan yang terbaru daripada Filsufatia adalah sebuah split release dengan sebuah lagi band bernama Twilight Fauna. Ianya mengandungi dua lagu yang dipetik daripada demo terbaru yang sedang di dalam proses gubahan. Paul Ravenwood telah melakukan yang terbaik untuk mempromosikan split tersebut dan yang pastinya, hasil daripada itu, split tersebut berjaya memperkenalkan Filsufatia kepada lebih ramai lagi peminat Atmospheric Melancholic black metal seluruh dunia.

Selain daripada split berjudul “Fallen Leaves In A Tide of Sorrow” bersama Twilight Fauna, Filsufatia turut mengusahakan demo bertajuk “Eulogy” bakal terbit penghujung 2013 nanti. “Berkenaan dengan demo yang sedang disiapkan ini, demo terbaru ini merupakan demo Filsufatia yang kesembilan dan ianya akan diterbitkan dan dikeluarkan dalam tahun ini juga bagi memastikan disiplin satu demo setiap tahun yang kami ikuti sejak tahun 2006, diikuti dengan sempurna. Ianya bakal memuatkan 5-6 lagu dan yang pastinya, ianya adalah karya yang terbaik buat kami setakat ini”, jelas Benign Nor Hafeez. 

“Kami sering mendapat komen dari sahabat-sahabat di dalam dan luar negara tentang progress Filsufatia untuk setiap demo. Pada pendapat mereka, setiap demo Filsufatia menunjukkan peningkatan dari segi gubahan lagu dan juga falsafah depression yang cuba diketengahkan oleh kami. Setiap demo menunjukkan kematangan kami sebagai pencipta lagu-lagu berbentuk depressive dan melancholic”, kata Benign Nor Hafeez berkaitan tahap kepuasannya terhadap rilisan-rilisan Filsufatia.

Berkaitan persembahan secara langsung di atas pentas, saudara Benign Nor Hafeez dilaporkan berkata, “Seperti yang saudara tahu, Filsufatia adalah sebuah studio band dan amat mustahil menjadi sebuah band yang dapat bermain secara live. Namun untuk band-band lain, saya pasti, persembahan live adalah sesuatu yang cukup penting. Ini dapat membentuk karakter setiap pemuziknya serta membantu tatacara interaksi bersama mereka-mereka yang hadir di persembahan-persembahan mereka”. 

Berhubung dengan penulisan lagu-lagu baru dan rilisan-rilisan baru yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat, setakat ini Filsufatia masih sedang menyempurnakan beberapa lagu untuk dimuatkan kedalam demo terakhir mereka yang bakal diberi judul “Eulogy”. Sudah 4 lagu yang telah berjaya digubah setakat ini. Dua daripada lagu-lagu tersebut telah dimuatkan ke dalam Split Rilis yang bertajuk “Fallen Leaves In A Tide of Sorrow”, bersama dengan sebuah band Atmospheric Black Folk Metal dari U.S bernama Twilight Fauna. “Pada asalnya ia diterbitkan secara digital, tetapi sebuah label kecil dari Kanada, Spectrelights Recordings telah bersetuju untuk menerbitkannya secara format tape. Mungkin akan diterbitkan dalam bulan Jun tahun ini” kata Benign Nor Hafeez.

Selebihnya turut dimaklumkan, “Selain daripada itu, sebuah lagi label kecil dari U.S, Fragile Branch Records telah menerbitkan demo keenam kami, Buried Beneath & Forgotten dalam bentuk tape beberapa minggu yang lalu. Kami mendapat beberapa tawaran daripada beberapa buah label kecil termasuk daripada label tempatan yang berhasrat untuk menerbitkan semula demo-demo Filsufatia tetapi mungkin di atas beberapa masalah yang tidak dapat diatasi, ianya terbengkalai dengan begitu sahaja. Yang pasti, kami tidak akan berputus asa untuk cuba mempromosikan Filsufatia ke mata dunia dan sekaligus mempromosikan metal daripada Malaysia kepada peminat-peminat metal dari segenap benua. Insya Allah, sekiranya ada rezeki”. 

“Harapan saya terhadap Filsufatia sudah pastinya adalah untuk mendapatkan penghargaan ke atas hasil-hasil muzik kami selama ini. Filsufatia adalah sebuah band yang dibentuk untuk menjadi satu platform bagi saya berkarya. Tidak ada keseronokan yang lebih tinggi melainkan sekiranya lagu-lagu Filsufatia diminati dan dihargai” bicara Benign Nor Hafeez dalam menyatakan harapannya tentang masa depan band Filsufatia. 

Tambah beliau, “Untuk masa depan Filsufatia, demo yang sedang disiapkan sekarang adalah demo yang terakhir kami buat masa sekarang. Sudah tiba masa untuk saya mencuba sesuatu yang baru selepas 8 demo setiap tahun dari tahun 2006 dan berpuluh buah lagu tercipta. Kadang-kadang, menjadi prolific ini adalah sesuatu yang memenatkan. Yang pastinya Filsufatia tidak akan berkubur. Hanya berehat seketika untuk memberi ruang kepada eksperimen-eksperimen yang baru”. 

EKSTRIM ingin melahirkan rasa bangga dan tabik hormat buat saudara Benign Nor Hafeez yang begitu gigih dan bersungguh dalam memartabatkan Metal bernuansakan Depresif dan Atmosferik buatan Malaysia. Dimaklumkan setakat hari ini beliau hanya menumpukan perhatian kepada Filsufatia sahaja. Beliau memberitahu yang beliau ada juga beberapa band projek tetapi menurutnya buat masa sekarang ia hanya berada di peringkat yang terlalu awal.

Mengakhiri perbualan kami untuk penyediaan profil ini, Benign Nor Hafeez menyuarakan kata penghargaannya: “Terima kasih kepada saudara Pian kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Filsufatia sejak daripada hari pertama penubuhan band ini. Terima kasih juga kepada bekas-bekas forummers Metal to Metals dari website Metal Terus yang telah memberi ruang buat Filsufatia untuk berkongsi demo-demo sejak dari tahun 2005. Terima kasih kepada peminat-peminat metal di Malaysia dan seluruh dunia yang berani memberikan peluang kepada band aneh seperti Filsufatia untuk terus berkarya. Hail The Malaysian Depreshvn!”. 

FILSUFATIA bukanlah sebuah band sembarangan. Ia telah lama bergerak dalam arus minoriti Depressive & Atmospheric Metal negara ini. Umum mungkin terlepas pandang dek kerana taksub dengan kegilaan Metal jahat dan ganas. Tanpa disedari dalam diam Filsufatia mengorak langkah mencorak nama jauh melebihi dari apa yang mungkin anda tahu. Bagi yang ingin mencuba muzik Filsufatia boleh lah berkunjung ke:
atau hubungi:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...