Nama AL-AZAZHIL telah melewati 10 tahun bermain di bibir penyokong dan penggemar seni muzik Black Metal tempatan. Ianya perjuangan berusia satu dekad yang telah mendewasakan band asal Kuala Lipis, Pahang ini. Berkarya tanpa henti, AL-AZAZHIL dilihat mencapai satu lagi aras kejayaan melalui EP terbaharu mereka berjudul “Forbidden Kalth” yang mula dipasarkan pada pertengahan Ogos 2015 lepas. Ianya bukan sekadar susulan kepada rilisan-rilisan terdahulu, tetapi dikatakan cermin kematangan sebuah band yang telah bergelumang dengan segala macam sensasi dan kontroversi dalam arena muzik metal di negara ini, khususnya irama metal berwarna kelam!
Pengkaryaan “Forbidden Kalth” dijana oleh Syaf yang menggalas instrumen gitar dan bass di samping watak utama sebagai vokalis serta tenaga Lost di posisi dram. Rakaman berlangsung di sebuah studio persendirian menghasilkan 6 buah trek; Intro, Night Wing (A Death Whisper), Kalth, The Dusk, Tsu Flood Angker Divisi, dan Saitan’s Throne. EP 2015 ini kemudiannya secara rasmi rilis dalam format Pro-CDR (pakej DVD) pada 10 Ogos melalui WAKAF PRODUCTION dan diikuti dengan pengeluaran versi Pro-Tape di bawah WITCHERY RECORDS pada 16 Ogos 2015. Masing-masing sangat terhad kuantiti pengeluarannya dan harus segera dimiliki. EKSTRIM mendapatkan saudara Syaf (gitar/bass/vokal) untuk berbicara tentang “Forbidden Kalth”.
Tahniah di atas pengeluaran EP terbaharu. “Forbidden Kalth” – apa ertinya EP 2015 ini kepada 10 tahun perjalanan AL-AZAZHIL di persada muzik Black Metal?
Syaf: Pertama sekali bagi pihak Al-Azazhil saya nak ucapkan terima kasih kepada abang Sufian di atas sokongan kepada kami sepanjang kewujudan kami dalam scene metal Malaysia ini. Berkaitan “Forbidden Kalth”, EP terbaru ini sebenarnya boleh dikatakan sebagai satu “kematangan” dalam perjalanan muzik Al-Azazhil dari segi muzik dan juga pembawakan band itu sendiri.
Apakah kelainan atau keistimewaan yang dipertaruhkan dalam “Forbidden Kalth” kalau hendak dibanding dengan keluaran terdahulu; “Karak Puakarh” EP 2014 dan “Pope Phaligh Bhunian Weighh” CD 2011 umpamanya – dari aspek muzikal?
Syaf: “Forbidden Kalth” merupakan satu rilis “melawan arus” jika dibandingkan dengan EP “Karak Puakarh” dan rilisan-rilisan sebelum ini dan yang pasti “Forbidden Kalth” adalah rilis yang laju dan banyak berlaku ekperimentasi di dalam lagu-lagunya. Jika sebelum ini kami lebih bermelodi dan berkiblatkan Eastern Black Metal tapi tidak untuk kali ini. Walaubagaimanapun trademark sound Al-Azazhil itu sendiri masih kami kekalkan.
Secara keseluruhan, adakah AL-AZAZHIL berpuashati dengan produksi “Forbidden Kalth”, terutamanya berkaitan kualiti bunyi dan hasil rakaman di Forbidden Kult Studio?
Syaf: Ya, kami berpuashati untuk produksi keseluruhan EP ini dan ini pertama kali kami merakam di Forbidden Kalth Studio iaitu studio record dan praktis private kami.. dan hasilnya lebih dari apa yang kami jangkakan walaupun kami akui ada beberapa aspek yang kami perlu baiki dan tambahbaik lagi.
Depressive Possessed – ilustrasi yang digunapakai sebagai hiasan kulit “Forbidden Kalth” adalah karya Hantu Kepalang (ANTABOGA). Sedikit penjelasan mengenainya?
Syaf: Kebanyakan artwork Al-Azazhil adalah lakaran dari Hantu Kepalang. Kredit untuk artis muda dan berbakat ini. Beliau tahu apa yang kami mahukan. Depressive Possessed satu gambaran “tekanan” di dalam melalui hidup sebagai manusia yang dipenuhi dosa dan cela. Satu ekspresi putus asa dalam kebaikan dan sinar harapan.
Apakah harapan AL-AZAZHIL terhadap penerimaan ke atas “Forbidden Kalth” dan mengapa disarankan setiap peminat muzik gelap wajar memiliki EP ini?
Syaf: Harapan kami terhadap “Forbidden Kalth” ini adalah pendengar-pendengar kami dapat menerima muzik kami ini. Secara peribadi, ini rilisan yang special dan pelik dari segi konsepnya dan muziknya dan EP ini adalah gambaran untuk album kedua kami yang bakal rilis tahun hadapan. Perlu juga diingatkan ini adalah rilisan yang limited dari kami. Terima kasih abang Sufian dan EKSTRIM sebab sudi interview kami. Hail!
“Forbidden Kalth” EP format CD (keluaran Wakaf Production) adalah terhad kepada 66 salinan sahaja diijual pada harga RM15 manakala untuk versi Tape (keluaran Witchery Records) hanya ada di pasaran sebanyak 150 unit beredar pada harga RM20 (disertakan logo pin badge). Kos tambahan poslaju adalah RM6 (Semenanjung) atau RM10 (Sabah/Sarawak). Bagi kedua-dua format, pembeli boleh memilih warna kulit sampulnya; samada Emas (Gold) dan Perak (Silver) – sila rujuk juga penulisan terdahulu. Tanpa berlengah, hubungilah facebook.com/syaf.suhaime atau AL-AZAZHIL atau mana-mana pihak label untuk dapatkan salinan anda! Blessed those forbidden art!!!
INFORMASI:
facebook.com/AL-AZAZHIL-475088460625
facebook.com/WakafProduction
facebook.com/witcheryrecords
BERKAITAN:
AL-AZAZHIL - FORBIDDEN KALTH EP 2015 [FORMAT CD]
AL-AZAZHIL - FORBIDDEN KALTH EP 2015 [FORMAT MC]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan