"Gerbang Kayangan" – tiada dapat disangkal bahawa ia adalah salah satu karya terbaik dihasilkan SIL KHANNAZ. Ia album kedua mengikut kronologi diskografi band yang telah menghampiri usia 30 tahun keujudannya. "Gerbang Kayangan" diriliskan buat pertama kali sekitar tahun 1997 oleh NEBIULA PRODUCTION. Rilisan ini cukup berkesan tarikannya bilamana inilah album di mana SIL KHANNAZ mula memperkenalkan lagu-lagu dalam senikata berbahasa Melayu. INTERGLOBAL (IGM) pernah juga mengeluar dan memasar semula album ini dalam pakej yang digelar Deluxe Edition (2006).
Integriti "Gerbang Kayangan" tidak pernah mati. Ia sebuah album malarhijau, yang terus segar untuk dinikmati biarpun sudah 18 tahun memberi khidmat di telinga-telinga para pendengar muzik metal tempatan. Lagu-lagu seperti Santapan Terakhir Raja Bersiong. Purnamarjuna dan lagu judul album Gerbang Kayangan terutamanya telah menjadi siulan hampir dua dekad, dari generasi ke generasi. Reputasi SIL KHANNAZ yang terus hidup, teguh berkarya hingga ke hari ini perlu diberi penghormatan. Sudah sampai masanya "Gerbang Kayangan" dinaiktaraf ke satu peringkat yang lebih dihargai dan bernilai tinggi.
Ironinya, Jaie sang vokalis yang menjadi tunjang hadapan SIL KHANNAZ telah mengumumkan penutupan label beliau NEBIULA PRODUCTION pada penghujung 2014 namun berjanji meneruskan kegiatan band di bawah pengurusan SIL KHANNAZ MANAGEMENT. Maka terdapat perkhabaran di awal tahun 2015 di mana adanya pakatan kerjasama dengan GATES OF METAL RECORDS untuk mengeluarkan "Gerbang Kayangan" dalam format eksklusif 12” LP; piringhitam pelbagai warna terhad 300 unit dijadualkan berada di pasaran sekitar Februari atau Mac 2015. Biarpun mungkin ada sedikit penundaan, SIL KHANNAZ Gerbang Kayangan 12" LP dapat diedar sepenuhnya sekitar pertengahan tahun. Ia adalah satu martabat yang terbela!
Side Gerbang (A)
1. Gerbang Kayangan
2. Santapan Terakhir Raja Bersiong
3. Debauch Absorbtion
4. Purnamarjuna
5. Merong Mahawangsa
Side Kayangan (B)
6. Hamba Malam
7. Eastern Barbaric Skullkrusher *
8. Angin Sharshar **
9. The Fading Lunar **
*live **bonus
Pemilikan SIL KHANNAZ Gerbang Kayangan 12" LP adalah sesuatu yang amat disarankan buat para pengumpul keluaran berbentuk piringhitam di Malaysia ini, paling khusus kemestian kepada penyokong setia perjalanan dan perjuangan band SIL KHANNAZ itu sendiri. Kurang pasti dengan kedudukan stok ketika artikel ini ditulis, segeralah hubungi MAMAT RECORDS (GATES OF METAL RECORDS) untuk dapatkan salinan anda. Piring dikeluarkan dalam 4 warna berbeza; putih, kuning, merah dan hitam. Pengeluaran yang berwarna penuh, disertai 4 mukasurat inlay serta percuma poster bersaiz A3 pasti menjadi sebahagian dari kebanggaan anda. Peringatan: Bertindak sekarang kerana hanya ini peluang yang anda ada!
SIL KHANNAZ sememangnya berhak untuk diberi dan menerima segala penghormatan tertinggi hasil usaha mereka selama ini. Mereka adalah antara wajah dan wadah asal yang merintis dan membina lorong-lorong yang ada dalam scene metal underground tempatan hari ini. Setelah "Gerbang Kayangan" dan album pertama "Conception of Madness" (Gempita Records, 2011) diberi improvisasi dalam format piringhitam (vinyl), harapnya akan ada pihak pula yang tampil untuk melakukan perkara yang sama ke atas album ketiga SIL KHANNAZ "Bara Pawaka" (Nebiula Production, 2000). Sekian.
INFORMASI:
facebook.com/mamat.rec.1
facebook.com/pages/Sil-Khannaz/44886560846
Tiada ulasan:
Catat Ulasan