Memaparkan catatan dengan label ULASAN - Piring Hitam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ULASAN - Piring Hitam. Papar semua catatan

2015-09-21

LANGSUYR - THE EASTERN CRUELTY LP (2015)



Mereka adalah arkitek budaya. Pencetus ideologi "eastern" dalam irama Metal Ekstrim tempatan. Peledak satu fenomena yang merebak mendadak menjadi ikutan. Itulah LANGSUYR, perintis Eastern Metal yang disanjung tinggi dan inspirasi kebanyakan pada ketika itu (malah hingga sekarang). Jika kembarnya dari Singapura AS-SAHAR menjurus kepada Eastern Black Metal, LANGSUYR mendukung Eastern Death Metal dalam laluan karier mereka. LANGSUYR pada asalnya dieja LANGSUIR, malah pernah disebut RIUSGNAL.

Eastern Metal begitu berleluasa sekitar pertengahan tahun 90-an kesan dari rilisan-rilisan seperti "Meditation Embun Pagi" dan "Phenomistik" (kedua-duanya oleh AS-SAHAR) serta "Occultus Mysticism" Demo 1993 oleh LANGSUIR. Sekitar tahun 1996, LANGSUIR melalui label berprestij NEBIULA PRODUCTION telah melahirkan sebuah lagi Mahakarya Eastern Metal iaitu "The Eastern Cruelty" Cass.EP (format kaset) yang cukup-cukup memberikan impak kepada scene metal underground, mengakibatkan kegilaan di kalangan penggemar muzik metal tempatan malah penyebab tumbuhnya bagai cendawan selepas hujan band-band yang mahu menyuntik irama sedemikian.


"The Eastern Cruelty" kekal sebagai produk terhebat dari kem LANGSUIR (kini LANGSUYR). Ianya EP ataupun mini album 4 buah lagu yang tiada tandingannya. Lagu-lagu berhantu seperti My Oath for Thee dan Tangisan Embun Pagi jadi dambaan setiap warga metal Malaysia. Alunannya benar-benar memikat dan melekat! Tidak cukup itu, Nebiula Production mengulangi kemahsyuran "The Eastern Cruelty" bilamana ianya dikeluarkan pula dalam format CD pada tahun 2005. Lebih menarik, keluaran CD ini turut memuatkan khazanah berpuaka "Occultus Mysticism" Demo 1993. [Nota: Juga 2 lagu dari kompilasi "Ipoh's Metal Militant Supremacist"].

Setelah itu, LANGSUYR melalui fasa perubahan dan peralihan. Album debut mereka "Asyik" (Clockwork Records, 2005) menerima pelbagai respon pro dan kontra. Namun apa keadaan sekalipun, LANGSUYR tetap diangkat sebagai Wirama Eastern Metal Malaysia. Rilisan seperti "The Eastern Cruelty" tidak akan pernah dilupakan oleh sebahagian besar pengikut dan penggiat muzik metal di negara ini, malah di persekitaran nusantara termasuklah Singapura, Brunei dan Indonesia. Generasi hari ini yang baru lahir mahupun belum lahir pada ketika dan saat itu turut mencari dan ingin mengenali apa itu "The Eastern Cruelty". Itulah gelombang metal timur yang menakjubkan!


MAMAT RECORDS (awalnya dinama Gates Of Metal Records) membuktikan sifat baru wujud mereka bukan sia-sia! Setelah merealisasikan album kedua SIL KHANNAZ "Gerbang Kayangan" dalam format piringhitam, kini tiba giliran LANGSUYR "The Eastern Cruelty" dinaikkan darjatnya, dipelihara kehormatannya, dizahirkan ke alam nyata dalam format 12" vinyl LP. Ini barang eksklusif! Terhad 300 unit dan akan tiada ulang-cetak! Disediakan dalam 4 warna piring berbeza untuk anda buat pilihan; BLACK (90 unit), CLEAR (80 unit), ORANGE (70 unit) dan PUTIH (60 unit).

SIDE A
1. My Oath for Thee
2. Bastardized Rejaman Sihir/Pontianak
3. The Seven Headed Dragon of Pelangi
4. Tangisan Embun Pagi

SIDE B
1. The Seventh One
2. In The Name of Sil-Khannas
3. Occultus Mysticism

LANGSUYR - Tangisan Embun Pagi (Penang MetalFest 1997)

Demi identiti "The Eastern Cruelty", artwork asal turut digunakan untuk edisi 12" LP ini akan tetapi diberi sentuhan semula oleh KOMPGRAPHNER - facebook.com/kompgraphner, sebuah agensi grafik yang dilaksana sendiri oleh salah seorang ahli anggota LANGSUYR. "The Eastern Cruelty" LP sudah boleh diperolehi sekarang, berada di pasaran pada harga RM90. Untuk pembelian melalui pos, pertanyaan lanjut atau sebarang urusan perniagaan silalah berhubung terus dengan MAMAT RECORDS. 

Kelahiran LANGSUYR The Eastern Cruelty 12" LP adalah Darjat Yang Terpelihara. Ayuh bermohon agar 2 lagu lagi dari kompilasi Ipoh's Metal Militant Supremacist; Descent of the Fire-Breathed dan Kucemari didokumentasikan dalam satu rilisan 7" EP. Sekian.

INFORMASI:

2015-09-20

SIL KHANNAZ - GERBANG KAYANGAN LP (2015)


"Gerbang Kayangan" – tiada dapat disangkal bahawa ia adalah salah satu karya terbaik dihasilkan SIL KHANNAZ. Ia album kedua mengikut kronologi diskografi band yang telah menghampiri usia 30 tahun keujudannya. "Gerbang Kayangan" diriliskan buat pertama kali sekitar tahun 1997 oleh NEBIULA PRODUCTION. Rilisan ini cukup berkesan tarikannya bilamana inilah album di mana SIL KHANNAZ mula memperkenalkan lagu-lagu dalam senikata berbahasa Melayu. INTERGLOBAL (IGM) pernah juga mengeluar dan memasar semula album ini dalam pakej yang digelar Deluxe Edition (2006).

Integriti "Gerbang Kayangan" tidak pernah mati. Ia sebuah album malarhijau, yang terus segar untuk dinikmati biarpun sudah 18 tahun memberi khidmat di telinga-telinga para pendengar muzik metal tempatan. Lagu-lagu seperti Santapan Terakhir Raja Bersiong. Purnamarjuna dan lagu judul album Gerbang Kayangan terutamanya telah menjadi siulan hampir dua dekad, dari generasi ke generasi. Reputasi SIL KHANNAZ yang terus hidup, teguh berkarya hingga ke hari ini perlu diberi penghormatan. Sudah sampai masanya "Gerbang Kayangan" dinaiktaraf ke satu peringkat yang lebih dihargai dan bernilai tinggi.


Ironinya, Jaie sang vokalis yang menjadi tunjang hadapan SIL KHANNAZ telah mengumumkan penutupan label beliau NEBIULA PRODUCTION pada penghujung 2014 namun berjanji meneruskan kegiatan band di bawah pengurusan SIL KHANNAZ MANAGEMENT. Maka terdapat perkhabaran di awal tahun 2015 di mana adanya pakatan kerjasama dengan GATES OF METAL RECORDS untuk mengeluarkan "Gerbang Kayangan" dalam format eksklusif 12” LP; piringhitam pelbagai warna terhad 300 unit dijadualkan berada di pasaran sekitar Februari atau Mac 2015. Biarpun mungkin ada sedikit penundaan, SIL KHANNAZ Gerbang Kayangan 12" LP dapat diedar sepenuhnya sekitar pertengahan tahun. Ia adalah satu martabat yang terbela!

Side Gerbang (A)
1. Gerbang Kayangan
2. Santapan Terakhir Raja Bersiong
3. Debauch Absorbtion
4. Purnamarjuna
5. Merong Mahawangsa

Side Kayangan (B)
6. Hamba Malam
7. Eastern Barbaric Skullkrusher *
8. Angin Sharshar **
9. The Fading Lunar **
*live **bonus


Pemilikan SIL KHANNAZ Gerbang Kayangan 12" LP adalah sesuatu yang amat disarankan buat para pengumpul keluaran berbentuk piringhitam di Malaysia ini, paling khusus kemestian kepada penyokong setia perjalanan dan perjuangan band SIL KHANNAZ itu sendiri. Kurang pasti dengan kedudukan stok ketika artikel ini ditulis, segeralah hubungi MAMAT RECORDS (GATES OF METAL RECORDS) untuk dapatkan salinan anda. Piring dikeluarkan dalam 4 warna berbeza; putih, kuning, merah dan hitam. Pengeluaran yang berwarna penuh, disertai 4 mukasurat inlay serta percuma poster bersaiz A3 pasti menjadi sebahagian dari kebanggaan anda. Peringatan: Bertindak sekarang kerana hanya ini peluang yang anda ada!

SIL KHANNAZ sememangnya berhak untuk diberi dan menerima segala penghormatan tertinggi hasil usaha mereka selama ini. Mereka adalah antara wajah dan wadah asal yang merintis dan membina lorong-lorong yang ada dalam scene metal underground tempatan hari ini. Setelah "Gerbang Kayangan" dan album pertama "Conception of Madness" (Gempita Records, 2011) diberi improvisasi dalam format piringhitam (vinyl), harapnya akan ada pihak pula yang tampil untuk melakukan perkara yang sama ke atas album ketiga SIL KHANNAZ "Bara Pawaka" (Nebiula Production, 2000). Sekian.

INFORMASI:
facebook.com/mamat.rec.1
facebook.com/pages/Sil-Khannaz/44886560846
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...