2015-10-21

DEMONICAL CRISIS ASSEMBLY - DISKOGRAFI DALAM SATU KASET


DEMONICAL CRISIS ASSEMBLY adalah sebuah nama yang secara dasarnya tidak lagi aktif setelah mereka merilis album penuh "Open Fire" melalui Infernal Kaos Productions, sebuah label Korea Selatan, pada Julai 2010. Ringkasnya dikenali sebagai DCA, band ini adalah yang terawal merintis irama War Black Metal di bumi Malaysia, malah imej ekstrim mereka diberikan liputan meluas di dada makalah sensasi Mastika suatu ketika dahulu. Sebelum "Open Fire", DCA terlebih dahulu memperkenalkan diri mereka melalui promo-tape "Blood War Death" (2003) dan EP "Blood War Death" (2005). Infernal Kaos Productions pernah merilis semula EP "Blood War Death" dengan penambahan beberapa lagu live sebagai bonus dan DCA juga pernah terbabit dalam kompilasi Metal To Metals dengan lagu berjudul "War to End All Wars".

Kini, setelah 5 tahun berlalu dan ketika DCA dilihat semakin jauh menyepi dari arena muzik metal tempatan, VARMT STÅL RECORDS (sebuah label yang diusahakan oleh salah seorang anggota DCA) telah mengambil langkah menghimpunkan kesemua lagu-lagu yang pernah dirakam dalam satu rilisan berformat Pro-Tape, berjudul "War to End All Wars" menampilkan ilustrasi yang pernah diguna pada kulit asal EP "Blood War Death" sebagai penghias hadapan kaset ini. Lebih menarik, material audio yang dimuatkan dalam kompilasi diskografi ini telah diberikan tenaga baru, remixed dan remastered di Temple of Incense oleh Marbuel. Pengeluaran pita "War to End All Wars" adalah cukup terhad pada kuantiti 100 salinan sahaja dan ianya dilancar dan mula diedar pada 17 Oktober 2015 bersempena Cassette Store Day pada hari tersebut. Harga jualan setiap unit hanyalah RM13 (tidak termasuk kos penghantaran pos).


Kepada yang berkeinginan untuk mendapatkan produk istimewa ini, sila dengan kadar segera hubungi pihak VARMT STÅL RECORDS di laman facebook.com/varmtasshit sebelum anda meracau sendirian terlepas peluang memiliki sebuah rilisan berstatus emas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...