Agak terlewat sedikit bagi Ekstrim dalam mengetengahkan cerita mengenai rilisan dari band PHENOMISTIK ini. Namun, album mini dalam bentuk digipack ini adalah satu kemestian bagi setiap media underground bagi berkongsi pendapat mengenainya.
Wan As-Sahar, ataupun lebih dikenali sebagai One Barchiel… Siapa yang tidak kenal nama ini yang begitu sinonim dengan band beliau yang dahulu iaitu As-Sahar. Sebagai nadi utama dalam As-Sahar dahulu di mana Wan As-Sahar bertindak sebagai gitaris merangkap vokalis dan juga komposer hampir keseluruhan lagu-lagu band tersebut, tindakan beliau meninggalkan As-Sahar pada 2012 lalu jelas sekali telah melumpuhkan perjalanan band tersebut. Sehingga kini, As-Sahar masih belum dapat pengganti yang setaraf hebatnya seperti Wan As-Sahar pada posisi-posisi yang telah beliau kosongkan.
Bukan sahaja Wan As-Sahar, malah Wan Akhzareth (dram) turut meninggalkan As-Sahar dan mereka kemudiannya menubuhkan PHENOMISTIK. Di sini, jelas terlihatnya legasi As-Sahar itu ada pada PHENOMISTIK di mana dua pertiga daripada As-Sahar yang sepatutnya terus mengembangkan aura Nusantara Metal di dalam band yang ‘baru’ tetapi dengan semangat yang lama.
Judul album-mini ini iaitu “As-Sahar” adalah objektif yang ingin mereka ketengahkan mengenai legasi, aura dan semangat daripada band asal mereka. Media kami berpendapat, pengikut dan penyokong Wan As-Sahar tidak perlu merindui kehadirannya di dalam As-Sahar kerana PHENOMISTIK ini adalah As-Sahar yang sepatutnya, hanya berlainan nama band sahaja. Pada temubual kami bersama kedua-dua Wan As-Sahar dan Wan Akhzareth, mereka enggan mengupas lebih terperinci mengenai hal pengunduran mereka daripada As-Sahar. “Kami tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan mengulas mengenai As-Sahar. Siapa-siapa yang mengikuti perkembangan kami akan faham kenapa dan apa itu PHENOMISTIK. Tiada gunanya mengungkit kisah silam. Fokus kami kini 200% pada band baru ini” menurut Wan As-Sahar.
Jika mereka berbicarakan mengenai fokus, album-mini ini jelas menampakkan keberhasilannya. Mantap dari segi musicianship pada semua aspek dan masih berlandaskan muzik As-Sahar sebelum ini. Apatah lagi 3 daripada 4 lagu-lagu yanga ada adalah rakaman semula lagu-lagu As-Sahar yang pernah terdapat dalam album-album As-Sahar sebelum ini. Gaya muzik Metal bercirikan ke-Nusantaraan itu tetap wujud, maaf cakap, itulah identiti yang luput pada As-Sahar sekarang. Identiti tersebut dibawa oleh Wan As-Sahar ke dalam band baru beliau, disuntik auranya sekali.
Satu perbezaan ketara yang media kami nampak di dalam PHENOMISTIK ini adalah kualiti bunyi rakaman. Jika As-Sahar sebelum ini sering mengeluarkan produksi-produksi dengan sound yang hambar, di dalam PHENOMISTIK, Wan As-Sahar dan Wan Akhzareth menumpukan pada produksi sound yang lebih proper - jitu, jelas dan mantap. Rakaman semula tiga lagu As-Sahar dalam album-mini ini lebih menyerlahkan kualiti lagu-lagu tersebut yang sebelum ini bukanlah lagu-lagu pilihan atau kegemaran di kalangan peminat-peminat As-Sahar. Tiga lagu tersebut “As-Sahar”, “Possi Lana Dari Celebes” dan “Star Sirius” tidaklah gah sepertimana “Tinggam” ataupun “Meditation Embun Pagi”, namun dengan olahan minimal dan rakaman semula dengan kualiti bunyi yang baik, ianya dapat mengangkat naik martabat lagu-lagu tersebut.
PHENOMISTIK turut menampilkan karya terbaru mereka iaitu lagu “Lautan Dan Rupawan” di dalam album-mini ini. Lagu yang kuatnya pengaruh retro-Metal ala-ala Bathory. Lagu yang lirikalnya mengupas mengenai misteri Ulek Mayang. Menurut Wan As-Sahar, lagu tersebut khas mereka buat untuk peminat mereka di Pantai Timur.
Keseluruhannya, PHENOMISTIK “As-Sahar” adalah rilisan 5-bintang bagi sebuah produksi lokal dan ianya satu CD yang kami highly recommended sebagai harus ada dalam simpanan anda.
Diberitakan cetakan terhad 500 CD yang dikeluarkan oleh label Mariners Music Singapore ini telah langsai dijual kurang dari sebulan sejak ianya berada di pasaran pada Februari lalu. Label tersebut kini telah mengulang cetak CD tersebut kerana masih ada permintaan ramai untuk memilikinya. Untuk mendapatkan CD ini, bolehlah berhubung terus dengan Wan As-Sahar melalui facebook beliau facebook.com/wan.assahar ataupun whatsapp +6596182633.
INFORMASI:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan