MAMAT FEST adalah acara di mana saya kembali menjejakkan kaki di pelantar gig setelah setahun tidak kemana. Kali terakhir pada penghujung tahun 2014 pada acara Nebiula Production 20th Anniversary & Farewell Party di lokasi yang sama, Black Box Publika, Solaris Dutamas. Harsat menyaksikan Kuala Lumpur Thrashed pada 31 Oktober 2015 terbantut ekoran pembatalan saat akhir. Mamat Fest bertarikh 2 Januari 2016 ini acara julung kalinya dianjurkan sebuah label baru, Mamat Records disertai 8 buah band; Mu-Aru, Sil Khannaz, Atomicdeath, Sicksociety, Taste (Jepun), Humiliation, The Pilgrims dan Langsuyr.
Mamat Fest bermula tepat jam 3:30 petang. Pentas dihangatkan oleh Mu-Aru, unit Deathrash nusantara yang datang dari selatan, Bandar DiRaja Muar. Tidak seperti yang saya lihat sebelum ini, pada gig Budak Jahat II (17/05/2014 di Pennyland Studio, Petaling Jaya), Mu-Aru sudah berempat. Buang memberikan tumpuan sepenuhnya di posisi vokal sambil mainan bass yang digalasnya sebelum ini dipertanggungjawabkan kepada seorang pemuzik baru dalam Mu-Aru. Tahniah Mu-Aru kerana berpeluang berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam scene metal/underground tempatan. Rugi buat mereka yang masih leka bersembang dan berkeliaran di luar dewan sedangkan anda membayar penuh RM40 untuk menjadi saksi keseluruhan acara Mamat Fest sejak dari persembahan band pertama. Mu-Aru mengambil peluang ini seratus-peratus, memberikan segalanya; tiada erti segan-silu, penuh kegarangan dan energetik secukupnya. Set mereka dilengkapi dengan lagu-lagu dari demo “Evil Sadistic Mythology”, sebuah lagu baru dan tak ketinggalan cover mereka untuk Desaster.
Setlist Mu-Aru:
01. Returning Vengence
02. Time Will Come
03. Puaka Mythology
04. Curse Of Parit Kadir (lagu baru)
05. In A Winter Battle (Desaster)
Mengejutkan! Sil Khannaz muncul di giliran kedua. Ia tidak sepertimana acara-acara terdahulu di mana nama berpengaruh besar ini mengisi 2 atau 3 slot terakhir. Mungkin juga ini strategi berkesan untuk menarik perhatian crowd memasuki dewan lebih awal. Sil Khannaz seperti biasa, tiada kecacatan dan tak pernah mengecewakan tiap kali muncul di atas pentas. Jaie kali ini dengan gaya ala mendiang Lemmy Kilmister. Faktor usia bukan halangan buat sebuah band metal. Tenaga Sil Khannaz sentiasa muda sepertimana mereka 20 atau 30 tahun yang lalu. Pentas ini menjadi medan berterusan Sil Khannaz mempromosi EP terbaharu mereka “Thunder Roar” yang rilis sekitar September 2015 di bawah Mamat Records. Lagu-lagu baru (dari EP tersebut) memenuhi set Sil Khannaz; Stench Of The Fallen, Makar 6 dan semestinya Thunder Roar. Beberapa lagu lama dari album pertama dan kedua, antaranya termasuklah lagu berhantu Santapan Terakhir Raja Bersiong turut menjadi daya tarikan buat crowd terus head-banging dan menyanyi bersama. Jaie dan rakan-rakannya menutup set dengan satu tribute buat Motörhead, maka berkumandanglah Iron Fist menggamatkan suasana menyimpulkan betapa gemilangnya wirama Death Metal tempatan ini!
Menyusul, Atomicdeath antara aksi yang menjadi keutamaan untuk saya saksi pada petang bersejarah itu. Kekuatan Thrash/Crust Metal yang ada pada mereka ditambah pengalaman pernah menjajahi sebahagian benua Eropah beberapa ketika dahulu sangat saya hormati! Empat anak muda ini memang benar-benar berkuasa tinggi; 666% agresif dan energetik! Di lantai gig secara total panas dengan gelombang head-banging dan gelora warga metal meraikan persembahan Atomicdeath. Di puncak pentas, Faiz (vokal/bass), Kerry (gitar), Patto (gitar) dan Remmy (dram) tanpa kasihan meledakkan satu demi satu irama Crust Thrash buatan mereka. Suasana bagaikan diletus atom!! Set band ini dilengkapi lagu-lagu dari rilisan seperti “Missile Massacre” Cass.EP 2009, “Hellish Nuclear Destruction” split CD (bersama Bloodstone) 2011 dan “Re-Atomation” 7" EP 2014. Ada juga diselitkan sebuah lagu baru (yang difahamkan belum ada idea untuk judulnya) serta sebuah cover dari Driller Killer. Saya tiada kata, saya berada di hadapan dan di situ saya terpegun bangga melihat anak-anak muda ini mewarisi kecemerlangan muzik metal Malaysia.
Setlist Atomicdeath:
01. Intro
02. Zero Tolerance
03. Hellbangers Nuclear Slaughter
04. Hell Reign on Earth
05. Forever Black Hell
06. From Out Of Nowhere (Driller Killer)
07. untitled (lagu baru)
08. Kombat Six Six Six
Sicksociety kemudiannya mengambil alih ruang pentas. Ini satu lagi band yang perlu saya tonton pada hari tersebut. Sudah terlalu banyak tahun saya tidak menyaksikan persembahan Sicksociety. Kali terakhir di acara Ekstrim Terrorism, Kota Bharu sekitar 2009 jika tidak silap. Hari ini, rasanya hanya Adib (vokalis) yang tinggal sebagai anggota asal. Sicksociety yang ada pada hari ini lebih dewasa, lebih merbahaya!! Sicksociety sentiasa ada dalam pertimbangan saya bahawa mereka adalah pencetus fenomena Brutal Death Metal di bumi Malaysia. Di pentas mereka bagaikan sang maharaja buas! Situasi bunyi berat dan padat menyelubungi segenap sudut dewan. Pesta moshing, head-banging dan slamming menghiasi lantaian gig yang kian dibasahi titik-peluh pengunjung. Suhu persekitaran naik mendadak! Nasiblah Adib selangi lagu demi lagu tujahan band ini dengan sepatah dua kata interaksi bersama crowd demi sedikit ruang bernafas untuk semua yang berada di dewan. Set dipenuhi dengan lagu-lagu baru Sicksociety yang dijadualkan merilis album debut bersama Grundar Production. Kelibat Wira Rastara (dari band Savagely Tortured dan Bunuhdiri) ketika disampaikan lagu cover dari Devourment turut mengundang kegilaan maksima penampilan Sicksociety di Mamat Fest ini.
Setlist Sicksociety:
01. Intro
02. Purification Of Parallel
03. Kiblat Kiri
04. Impulsive Dismemberment
05. Babykiller (Devourment)
06. Arch Angelical Autopsy
Sejujurnya saya tidak pernah mendengar nama Taste sebelum ini. Terima kasih Mamat Fest kerana memperkenalkan nama ini kepada saya. Terima kasih juga buat sahabat lama saya Yutaka Kimura dari Bloodbath Records yang membawa band asal Sendai, Jepun ini ke Malaysia. Kajian saya di metal-archives.com mendapati Taste bukanlah band baru. Mereka ditubuhkan pada 1997 dan telah menghasilkan 3 full-length: “Desolation of Spirit” (2002), “Division Increase Extermination” (2006) dan “Retaliation of Discomfort Organisms” (2012). Juga atas dasar pengalaman baru bersama Taste, saya sama-sekali tidak familiar dengan lagu-lagu yang dimainkan. Petang itu, dua kali juga saya terpedaya ingatkan Takashi Harima (vokal/bass) dan teman-teman sekumpulannya telahpun memulakan persembahan, rupanya mereka sekadar menguji dan mencari sound yang mereka mahukan. Aksi sebenar Taste dimulai dengan satu intro seakan alunan tradisional orang Jepun. Tanpa lengah, Taste terus menghukum, membedal dan merobek pentas dengan Death Metal maha ganas dan maha berat buatan mereka. Mamat Fest dijadikan platform terbaik mereka mempromosi rilisan Split CD bersama dewa perang Death Metal tempatan, Humiliation yang mana secara rasmi diriliskan pada hari tersebut, keluaran Bloodbath Records. Taste menyempurnakan aksi dengan jayanya, mengakhiri sessi petang tatkala remang senja menghiasi wajah di luar dewan. Mamat Fest direhatkan seketika untuk aktiviti kesegaran dan solat Maghrib.
Sessi kedua, sebelah malam seawal jam 8:00 malam disambung oleh kemunculan Humiliation. Band ini saya percaya antara aksi yang paling dinanti ramai. Benar, penampilan Humiliation tidak pernah gagal. Mereka cukup unggul di pentas, baik dari segi lagu-lagunya mahupun penyampaian mereka secara live. Kredibiliti dan intergriti Humiliation di sebalik nuansa old-school Military Death Metal mereka tidak pernah berubah malah kian menyerlah biarpun telah bertukar ganti anggota baru kali ini. Ketika Humiliation kelihatan begitu perkasa menguasai pentas, di bawah berhadapan mereka, crowd seakan hilang segala sifat sopan; maka di sana-sini berombak-ombaklah pesta head-banging dan jerit-pekik mereka merayakan penuh puas set Humiliation. Aksi di malam yang masih muda itu bukan sahaja sebahagian promosi pengeluaran Split CD mereka bersama Taste, malah ini pemanas badan buat Humiliation yang bakal kembali menjelajahi bumi Jepun tidak berapa lama lagi.
Setlist Humiliation:
01. Into The Truth And The Battle
02. Operation Python
03. Death Order
04. Liberated Area
05. Restless Fight
06. Warpath
07. Counter Offensive
08. With One Objective
09. Towards A Target
10. Battlefield
The Pilgrims kembali ke pentas dengan satu objektif. Mereka mahu crowd tahu bahawa The Pilgrims kali ini lebih thrash!! Muzik mereka tidak lagi punk-rock semata-mata tetapi lebih keras, padu dan menghentam! The Pilgrims mahu memberitahu semua bahawa mereka kembali kepada asal-usul mereka, ketika mereka bernama Hijrah yang lahir dengan demo “Pilgrimage To Nowhere” di tahun 1990 dahulu. Ini dibuktikan dalam rilisan album “Achtung! Riders” yang dikeluarkan kira-kira sebulan lebih awal dari tarikh berlangsungnya Mamat Fest. Maka itu tidak hairanlah pengisian The Pilgrims kali ini dibarisi lagu-lagu baru dari album tersebut. Pada pemerhatian saya, persembahan The Pilgrims bukanlah hambar, cuma crowd yang kurang responsif, mungkin tidak biasa dengan irama terkini dendangan mereka. Jaie (Sil Khannaz) dijemput naik untuk bersama dalam lagu pembukaan, Buka Panggung. Majlis Tari Menari, Bunohan, Kota Pincang dan sudah tentu Achtung Riders antara yang turut disampaikan. Pada satu ketika saya kagum dengan kegilaan dan kehebatan lagu Tayar Golek. Bob (vokal) seperti biasa penuh aura satira-nya. Kombat pula mengambil peluang memperjelaskan maksud “Achtung! Riders”. Kalau dalam ertikata piawai, ia bermakna “Awas! Penunggang Motosikal” atau dalam bahasa mudah, “weiii, mat motor tuuu!!”. Proses menghayati dan memahami lagu-lagu baru diakhiri oleh satu langkah bijak The Pilgrims bilamana mereka memperdengarkan lagu klasik Sua Sue Good Morning membuatkan crowd kembali ceria dan bergembira.
Langsuyr tampil di pentas sebagai band terakhir membuat persembahan. Saya kira mereka adalah headline untuk acara Mamat Fest ini. Lebih-lebih lagi tarikh ini 2 Januari 2016 sejarah baru dalam kronologi karier Langsuyr – tarikh di mana EP terbaharu “Bantaigram” (keluaran Mamat Records) dilancarkan secara rasmi. Ketidakhadiran pemain bass dalam persembahan Langsuyr kali ini bukanlah satu perkara besar yang boleh merencatkan penyampaian menyeluruh band berprestij ini. Langsuyr tetap menyengat dan berbisa di persada pentas. Apatah lagi senarai lagu yang dimainkan merangkumi kesemua rilisan-rilisan mereka; dari demo “Occultus Mysticism”, “The Eastern Cruelty” EP, album “Asyik” hinggalah ke EP terbaharu mereka yang saya sebutkan tadi. Aksi dan reaksi Azlan (vokalis) terus kekal dalam kaedah penyampaiannya yang unik dan tersendiri; gaya “sasau” dan “menggila” yang telahpun dicop mohor sebagai “trademark” identiti Azlan. Para crowd di bawah yang memang pun telah arif dengan lagu-lagu Langsuyr terus-menerus meluahkan ekspresi masing-masing; berdansa, menghangguk dan menghayunkan kepada tanpa henti tanda sokongan terhadap semua lagu-lagu mainan Langsuyr. Gema lelagu seperti Mata Ayer, My Oath For Thee dan In The Name Of Sil Khannas mengisi kepuasan semua yang hadir. Malam juga satu introduksi terbaik kepada “Bantaigram”. Sunut menutup acara Mamat Fest tatkala jarum menghampiri jam 11 malam. Hail Langsuyr!!!
Setlist Langsuyr:
01. Occultus Mysticism
02. Mata Ayer
03. Malam
04. My Oath For Thee
05. In The Name Of Sil Khannas
06. Sunut
Mamat Fest telahpun berlangsung dengan sempurna dan penuh jaya. Tahniah buat Mamat Records walaupun ini kali pertama sebuah acara berskala sederhana dianjurkan di bawah nama label baru tersebut. Biarpun ada yang berpendapat Mamat Fest sekadar kesinambungan legasi yang ditinggalkan Nebiula Production, tetapi pada saya, Mamat Records memiliki wadah tersendiri dalam membentuk kelangsungan scene metal/underground tanahair. Di Mamat Fest ini cukup jelas kelihatan himpunan generasi baru dan muka lama bersatu berkongsi satu pentas. Mamat Fest/Records telah letakkan satu tanda aras baru kelangsungan muzik metal tempatan yang pastinya mencetuskan impak kekuatan dan kecemerlangan Metal Malaysia sepanjang tahun baru 2016 ini; baik dari segi rilisan mahupun acara-acara gig & konsert. Mamat Fest/Records benar-benar membuktikan mereka teguh dan utuh di sebalik jenama Mamat itu sendiri – Muzik Arus Metal Anak Tempatan. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan